Beberapa hari yang lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menarik perhatian ramai ekoran usahanya memikul tanggungjawab sebagai ‘ibu dan bapa’ kepada empat adik-beradiknya, setelah ibu bapa mereka dipenjarakan kerana kesalahan berkaitan dadah.
Anak-anak ini menceritakan bagaimana mereka ingin bersekolah, tetapi tidak boleh berbuat demikian disebabkan oleh masalah kewangan, dan oleh kerana keadaan mereka yang daif menyebabkan adiknya yang berusia satu tahun hanya mampu meminum susu pekat manis menggantikan susu formula atau susu tepung.
Syukurlah, perkara ini telah mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew dan pihak beliau telah tampil untuk mendaftarkan Farisya yang berusia 11 tahun dan abangnya Faris, 12 tahun di Maahad Tahfiz Manzil Furqan di Kota Bharu.
Ustaz Ebit Lew menulis, “Saya sedih melihat Farisya memasak, menggunakan dapur kayu untuk menjaga tiga adiknya. Dia terpaksa menggunakan susu pekat manis untuk menyusukan adik bongsunya, sebagai pengganti susu tepung. Adik bongsunya berusia satu tahun. Dia juga tidak boleh ke sekolah kerana menjaga mereka. Tinggal bersama datuk dan nenek yang sudah uzur. Ibu bapanya berada dalam tahanan.”
Mereka kemudian telah didaftarkan untuk belajar di Maahad Tahfiz Manzil Furqan di Kota Bharu.
“Di sini mereka dapat belajar sains, agama dan tahfiz. Sekolahnya cantik dan eksklusif. RM600 sebulan. Kami segera menghantar mereka ke sini lebih awal,” tulisnya.
“Saya bertanya mengapa adik ini mahu ke sekolah. Dia menjawab ingin berjaya seperti saya dan membantu ibu bapa serta adik-beradiknya. Dia rindu untuk belajar dan mahu membuat keluarganya gembira. Semasa kami hendak pulang, datuk dan neneknya, jiran mereka dan semua pakcik dan makcik menangis. Kami juga menangis. Teringat anak-anak di rumah, betapa beratnya dugaan anak-anak ini. Kami minta maaf kerana terlambat datang membantu,” tulisnya sayu.
Tetapi semua mampu menarik nafas lega dan gembira kerana bantuan itu telah pun sampai, dan menunaikan impian anak-anak ini untuk kembali bersekolah.
Ustaz Ebit mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu anak-anak ini mencapai impian mereka untuk pergi ke sekolah dan individu-individu yang telah membantu menarik perhatiannya untuk menyampaikan bantuan kepada mereka.
Anak-anak tidak bersalah ini sewajarnya terus dibantu demi untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik daripada keadaan yang mereka hadapi sekarang.
Berikan peluang yang terbaik dalam kehidupan mereka, agar suatu hari nanti, siapa tahu mereka juga mungkin boleh membantu orang lain seperti mana Ustaz Ebit Lew.