Anak anjing dengan kaki kecilnya sudah cukup comel, tetapi bayangkan anak anjing dengan enam kaki comel dan dua ekor comel.
Hospital Veterinar Neel menerusi laman Facebook mereka telah memperkenalkan seekor anak anjing luar biasa bernama Skipper sebaik sahaja dia dilahirkan ke dunia, anak anjing yang baru lahir dengan mempunyai enam kaki dan dua ekor.
Mereka menulis, “Ini adalah keajaiban bernama Skipper. Secara literal. Dia bertahan lebih lama daripada yang kita jangkakan berbanding anjing lain (pada usia empat hari, penyelidikan yang diterbitkan tidak menunjukkan bahawa keadaan dilahirkan sebegini akan bertahan hidup) dengan kombinasi keadaan kongenitalnya.”

“Dia mengalami gangguan kongenital yang disebut monocephalus dipygus dan monocephalus rachipagus dibrachius tetrapus, yang bermaksud dia mempunyai satu rongga kepala dan dada tetapi dua kawasan pelvik, dua saluran kencing, dua sistem pembiakan, dua ekor dan enam kaki, yang antara lain,” jelas posting itu.
“Dia juga mempunyai tanda-tanda spina bifida di sepanjang tulang belakangnya,” jelas mereka lagi.
Berdasarkan keadaannya, mereka menyimpulkan bahawa anak anjing itu sepatutnya mempunyai pasangan kembar, tetapi mereka mungkin tidak berpisah di dalam rahim ibunya.

“Secara positif, organ tubuhnya kelihatan amat baik, dia kencing dan buang air besar seperti biasa, dan dia sangat kuat! Skipper menyusu dengan baik dan membesar dengan baik setakat ini. Semua kakinya bergerak dan bertindak balas terhadap rangsangan seperti anak anjing biasa,” tambah mereka.
Walaupun begitu, Skipper akan memerlukan terapi fizikal dan bantuan mobiliti sebaik dia mencapai usia dewasa.

“Kami akan terus meneliti keadaannya, memantau perkembangannya semasa menjalani pemeriksaan dan membantu Skipper bebas daripada rasa sakit dan selesa di sepanjang hidupnya,” tambah mereka.
Memandangkan hakikat bahawa Skipper mungkin anak anjing pertama yang dilahirkan hidup dengan keadaannya yang memang luar biasa, maka ramai yang tidak sabar untuk melihat bagaimana dia berhadapan dunia.