Tiada apa yang perlu dimalukan oleh seorang lelaki ketika membeli tuala wanita sama ada dalam kuantiti kecil atau secara pukal kerana kaum wanita memahami niat dan hasrat murni anda bagi tujuan membantu.
Seperti lelaki dari Pulau Pinang ini membuat keputusan untuk membeli 100 bungkus tuala wanita demi tujuan membantu wanita yang memerlukan, di samping bagi memberi kesedaran bahawa kaum lelaki juga boleh membantu kaum wanita untuk membelikan barangan keperluan yang wajib ini.
Pada 5 Februari, Mohamad Farid @adek_farid, 32 tahun memuat naik gambar dirinya di Twitter yang sedang berada di sebuah pasaraya dengan sebuah troli dipenuhi berbungkus-bungkus tuala wanita pakai buang.

“Ok selesai. Pengalaman buat pertama kalinya dalam hidup saya. Pada mulanya rasa malu yang amat, tetapi saya agak berani diri juga, ” kapsyen bersama gambar itu.
“Demi membantu wanita di luar sana dalam musim PKP,” jelas Mohamad Farid.
Pengasas Pertubuhan Ziarah Amal Kampung To Kampung (K2K) ini berkata beliau membeli tuala wanita pakai buang untuk disumbangkan kepada golongan gelandangan, ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Batu Kawan di Pulau Pinang.
Menurutnya, 100 bungkusan tuala wanita itu telah dibeli hasil sumbangan dan kutipan dana orang ramai juga penderma untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukannya pada 7 Februari.
“Ini pertama kalinya saya mengambil inisiatif untuk membeli dan menyumbangkan tuala wanita,” katanya kepada Harian Metro.
“Sebelum ini, saya ada melihat beberapa individu melakukan inisiatif ini tetapi mereka terdiri daripada kalangan wanita,” tambahnya.

“Jadi, saya mengambil inisiatif sendiri untuk melakukannya kerana saya menyedari bahawa tuala wanita adalah keperluan wajib buat semua wanita,” kata Mohamad Farid.
Mohamad Farid menambah bahawa itu adalah pengalaman pertamanya membeli tuala wanita dan tipulah sekiranya dia berkata yang dia tidak berasa malu.
“Terutama kerana saya membelinya dalam kuantiti besar, beberapa individu kelihatan menjenguk hairan ketika saya berada di premis itu,” katanya.
“Namun, niat saya yang sebenar adalah untuk membantu wanita yang memerlukan, terutama dalam tempoh PKP, jadi saya mengetepikan rasa malu itu. Proses pembelian itu mudah kerana saya dibantu oleh rakan wanita yang pergi membeli-belah bersama saya,” jelasnya.

Mohamad Farid menambah beliau berhasrat untuk meneruskan inisiatif ini di masa hadapan dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada individu lain di luar sana, terutama kaum lelaki.
“Saya percaya banyak NGO di luar sana yang secara aktif mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan, jadi tuala wanita boleh menjadi salah satu barang keperluan penting untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan sebagai tambahan kepada keperluan asas,” katanya.
Syabas kepada Mohamad Farid atas sikap prihatin dan kemurahan hatinya dalam membantu golongan yang memerlukan.