Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil serius akan video dan foto tular menunjukkan pekerja syarikat kurier membaling barangan pelanggan baru-baru ini.
SKMM dalam pada itu turut meminta agar syarikat berkenaan menjelaskan insiden tersebut. Dalam kenyataannya, SKMM walau bagaimanapun tidak menamakan syarikat yang dimaksudkan.
Menurut SKMM, syarikat kurier yang gagal melindungi hak pengguna bakal dikenakan hukuman denda dan penjara.
Sungguhpun begitu, syarikat kurier J&T pada 7 Februari lalu ada mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
Menurut J&T, video yang tular itu disebabkan oleh salah faham antara pekerja syarikatnya mengenai bonus tahunan.
Syarikat tersebut juga turut memberi jaminan pampasan untuk bungkusan yang rosak kepada para pelanggannya.
“Semua kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 untuk patuh akan syarat peraturan yang ditetapkan dalam melindungi hak pengguna”.
Jika pemegang lesen ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari, mereka akan didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, SKMM juga turut meminta agar pengguna mengetahui dan memahami kontrak sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran.
“Pengguna perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran”.
Jika tidak berpuas hati, pengguna boleh membuat aduan kepada SKMM menerusi portal berserta maklumat agar tindakan susulan boleh dibuat.