Pemilik kenderaan yang menggunakan tayar dengan rim terkeluar dari badan kereta atau ‘hellaflush’ boleh berhadapan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.
Menerusi laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak mereka menjelaskan trend mengubah suai kereta dengan tayar kangkang atau ‘hellaflush’ kini semakin giat menjadi ikutan oleh segelintir pemilik kenderaan, dan ia merupakan satu kesalahan trafik yang serius.
Jelas PDRM, pengubahsuaian itu boleh mengakibatkan sistem pemanduan terjejas disebabkan sistem jalinan keselamatan mengalami kegagalan selain brek tidak dapat berfungsi dengan cekap, yang mampu merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain.
Tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya pemilik kenderaan masih berdegil menggunakan tayar kangkang.
Oleh kerana bimbang semakin ramai pengguna yang mengubahsuai kereta mereka seperti itu, PDRM akan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang menggunakannya di atas jalan raya.
Gaya pengubahsuaian tayar itu semakin berkembang pesat dan menjadi trend ekoran ia berasal dari kejohanan kereta ‘drift’, yang diadakan di gelanggang atau litar yang khas.
Pemilik kenderaan akan memodifikasi tayar menjadi lebih rendah dan lebar terkeluar, yang dikenali ‘hellaflush’.
Oleh kerana di Malaysia juga terdapat pemilik kenderaan yang kurang arif atau berpura-pura tidak tahu dengan peruntukan undang-undang lalulintas dan trafik di Malaysia, ada antara mereka telah mengubahsuai kenderaan secara ekstrim dengan pilihan tayar kangkang ke atas kereta mereka.
Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 6, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 170/59 , iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi daripada enam bulan.