Beberapa hari lepas kita digemparkan dengan video insiden mencampak barangan oleh pekerja sebuah syarikat kurier, J&T dipercayai berlaku di Perak, tular di media sosial.
Berdasarkan video tersebut, kelihatan pekerja membaling bungkusan barangan di gudang dan turut disambut dengan teriakan beberapa pekerja yang lain.
Nak mengadu pergi lah pejabat buruh, jangan lah campak barang customers 😢😢 pic.twitter.com/rOEW1krG3H
— 𝒊𝒎 (@imrannazri__) February 6, 2021
@imrannazri__/Twitter
Motif perlakuan tersebut juga hangat diperkatakan di mana ia dipercayai berlaku ekoran ketidakpuasan hati pekerja berhubung bayaran komisen dan gaji.
Sehubungan dengan itu, pihak J&T Express kemudian telah tampil dengan satu kenyataan bagi menjelaskan tuduhan tersebut.
J&T Express Malaysia – Perak/Facebook
“Kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia. Pendapat dan cadangan daripada semua akan diterima dan digunapakai oleh syarikat”.
“Bagi memastikan kestabilan pekerja dan pertanggungjawaban terhadap masyarakat, kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat”.
Insiden tuduhan pemotongan gaji
Menafikan tuduhan pemotongan gaji pekerja, J&T menjelaskan bahawa pihaknya komited terhadap pembangunan penyetempatan selain menambah baik pampasan dan faedah pekerja.
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa J&T telah memberikan bonus akhir tahun pekerja setelah membuat pertimbangan komprehensif, sesuai dengan peraturan dan Undang-Undang Buruh.
Turut difahamkan bahawa pekerja yang menerima bonus adalah mereka yang telah bekerja selama satu tahun.
“Untuk pekerja yang bekerja kurang daripada tempoh setahun, bonus dibayar mengikut tempoh kerja tanpa sebarang prejudis. Malangnya, sesetengah pekerja tidak jelas mengenai skim pembayaran bonus”.
Dan ia ternyata membawa kepada insiden tidak diingini semasa proses penyusunan barang pada 4 Februari lalu, lantas membawa kepada gangguan kolektif.
Tambah J&T lagi, pihak pengurusan negeri Perak telah pun mengendalikan isu tersebut manakala para pekerja telah pun menyambung kerja menyusun dan memproses barangan pelanggan pada 5 Februari.
Mereka juga menjelaskan bahawa J&T tidak akan memotong satu sen pun pendapatan pekerja, serta bersedia untuk menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi.
Aduan pelanggan – pekerja J&T mencuri makanan dan minuman daripada bungkusan
J&T Express mengakui bahawa mereka turut menggajikan pekerja sementara untuk menguruskan lambakan barangan pelanggan yang diterima sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Pekerja-pekerja sementara ini menurut mereka, hanya diberikan latihan asas. Pihak J&T turut berjanji akan menangani aspek pengurusan tersebut agar insiden barangan itu tidak akan berlaku lagi.
“Ia adalah salah pengurusan kami. Kami telah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan khusus untuk penyelesaian tuntutan dan pengawasan insiden serta penyelesaian pantas barangan yang hilang”.
“Kami berterima kasih kepada orang ramai atas kasih dan sokongan mereka terhadap J&T. Kami selalu berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan pengurusan dalaman kami”.
“Kami akan memikul tanggungjawab, meningkatkan standard pengurusan dan perkhidmatan serta memberikan latihan profesional kepada pekerja untuk perkhidmatan ekspres yang boleh dipercayai dan cekap”.
Dalam pada itu, para pekerja di Perak yang terlibat dalam video tular tersebut juga telah memohon maaf menerusi video kerana telah membaling barangan pelanggan.
“Kami ingin memohon maaf dan kami ingin menjelaskan bahawa tiada isu dalaman mahupun potongan gaji antara pihak syarikat dan pekerja J&T Express Perak”.
J&T Express kemudian memohon maaf atas segala insiden tidak diingini dan berterima kasih dengan sokongan diberikan pelanggan.