Kerajaan ada menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19.
Skim ini juga tidak memerlukan permohonan. Liputan skim ini diberikan secara automatik kepada penerima Bantuan Kos Sara Hidup (BSH) yang layak berdasarkan usia, status perkahwinan dan status pendapatan.
Pesakit juga boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari.

Anda layak jika anda merupakan penerima BSH berdasarkan ciri-ciri berikut :
- Individu yang sudah berkahwin berumur antara 18 hingga 65 tahun,
- Individu berumur antara 40 dan 65 tahun dengan pendapatan kurang dari RM24,000 setahun atau;
- Individu kurang upaya berumur antara 18 dan 65 tahun dengan pendapatan kurang dari RM24,000 setahun.
Manakala terdapat dua faedah utama liputan mySalam, iaitu :
- Tuntutan penyakit kritikal sekali sebanyak RM8,000 jika anda didiagnosis menghidap 45 penyakit ini,
- Manfaat hospitalisasi RM50 sehari selama maksimum 14 hari (atau maksimum RM700) setahun di mana-mana hospital kerajaan, tentera atau universiti.

Oleh kerana manfaat hospitalisasi terpakai untuk sebarang penyakit, jadi ia turut terpakai untuk hospitalisasi pesakit COVID-19.
Malah pesakit yang mengalami komplikasi disebabkan oleh COVID-19 yang mengakibatkan salah satu daripada 45 penyakit kritikal yang disenaraikan juga boleh membuat tuntutan di bawah manfaat penyakit kritikal.
Untuk menuntut manfaat mySalam, anda perlu menghantar beberapa dokumen secara dalam talian, seperti :
- Sekiranya anda pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, dapatkan nota pelepasan atau dokumen yang dikeluarkan oleh hospital atau Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan diagnosis anda.
- Sekiranya anda disyaki mempunyai COVID-19 dan dikuarantin di hospital atau pusat kuarantin, perintah pengasingan yang dikeluarkan oleh KKM diperlukan sebagai bukti.
Tuntutan akan diproses dalam masa 10 hari bekerja dan pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun penerima seperti yang didaftarkan dengan skim BSH.
Sebelum membuat tuntutan, anda boleh periksa dahulu sama ada anda layak ataupun tidak menerusi pautan ini.