Seluruh dunia bertukar muram dan menjejaskan kehidupan serta pendapatan semua orang sejak pandemik COVID-19 bermula lebih setahun yang lalu.
Kini ia mula berubah fasa dengan menjejaskan kedudukan ekonomi rakyat Malaysia tidak kira golongan, yang terpaksa berjuang keras untuk terus bertahan. Selain kumpulan B40, sektor perniagaan dan pelancongan terjejas teruk ekoran pandemik.
Baru-baru ini, sebuah video yang disiarkan Bernama menjadi tular di media sosial, yang merakam seorang pengusaha hotel di Pulau Pinang bersama kakitangannya berusaha keras menyelamatkan hotel kesayangan mereka dengan menjual makanan hotel demi kelangsungan hidup.
Dalam video tersebut, pengusaha Hotel Red Rock di Pulau Pinang bernama Jeffrey Lim dilihat memegang sepanduk di tepi jalan dengan tulisan ‘RM3.00 sahaja’ di atasnya sambil menjual makanan yang dihasilkan oleh kakitangan hotelnya.
Menurut Jeffrey Lim, hotel ini harus mencari sumber pendapatan lain agar kakitangan hotel tidak kehilangan pekerjaan kerana mereka tidak mempunyai ramai tetamu dan pelanggan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0.
Akibatnya, kakitangan hotel terpaksa mula menjual hidangan yang dimasak oleh tukang masak mereka demi mendapatkan pendapatan tambahan.
Jeffrey berkata antara hidangan yang dijual adalah mihun tomyam, nasi goreng, nasi ayam, dan beberapa hidangan lain yang terpaksa dijual dengan harga lebih murah demi menarik perhatian pelanggan.
Perkongsian video di Twitter itu telah mendapat pelbagai reaksi dan komen ribuan netizen.
Ada yang terkejut dengan kegigihan dan kesungguhan pengusaha hotel sendiri yang berusaha untuk menyelamatkan pekerjaan kakitangan hotel itu.
Sekiranya anda berada berdekatan lokasi hotel ini, sila sokong perniagaan Hotel Red Rock.
Mudah-mudahan dengan harapan, sokongan yang diberi mencukupi untuk menampung perniagaan hotel dan menyelamatkan pekerjaan kakitangan demi kelangsungan hidup mereka ketika waktu yang sangat sukar ini.
Tonton video di bawah: