Buat pencinta perkakas dapur, tambahan pula mereka itu tukang masak handal, pasti agak menyakitkan hati apabila mendapati kuali atau periuk berharga itu bercalar atau renyuk, atau apa-apa sahaja yang berlaku ke atasnya seperti tangkai tudungnya pecah, patah dan hilang.
Seorang pengguna Facebook bernama Ririe Sha berkongsi cerita di MATJHN Official yang mencuit hati tentang bagaimana kecewanya dia apabila mendapati tangkai tudung periuk kepada perkakas memasak yang selalu digunakannya telah pecah dan hilang.
Darahnya menggelegak pada satu hari apabila mendapati penutup periuk itu telah tiada tangkai dan hilang entah ke mana. Spontan Ririe membebel tak sudah sehingga menyakitkan telinga ahli keluarganya.
Ririe memarahi ahli keluarganya, sambil bercerita tentang bagaimana dia tidak percaya tangkai itu boleh patah begitu sahaja dan boleh hilang pula, sebagai penghapus bukti.
Menyedari Ririe mencetuskan pencemaran bunyi yang tidak kesudahan dalam seisi rumah, dia menjelaskan dalam posting di kumpulan Facebook itu bahawa dirinya amat terharu apabila mendapati adik lelakinya tiba-tiba menghasilkan ‘hack genius’ untuk menutup mulutnya daripada terus membebel pada keesokan hari.
Kerana Ririe menerima kejutan apabila mendapati adiknya yang berusia 34 tahun, telah membetulkan tangkai tudung periuk patah itu dengan menggunakan puting bayi. Penyelesaian yang mudah dan genius bukan?
Tulis Ririe, “Semalam saya bising macam mana benda atas tudung periuk ni boleh hilang. Pagi ni saya bangun dah ada ganti tapi saya gelak sampai keras perut.”
Tambah Ririe, “Rasanya ini hanya ada satu dalam Malaysia kot, adik lelaki saya yang reka. Dia kata tangkai macam ni mudah nak pegang tak payah bising-bising…”
Posting tersebut mendapat perhatian 45,000 netizen yang suka dengan lebih 1,300 perkongsian dan 3,200 komen yang rata-rata berkata ini adalah idea yang sungguh kreatif, sambil ramai pula yang bertanya sama ada ia mampu menahan panas ketika Ririe memasak kerana puting bayi itu diperbuat daripada plastik dan getah.
Ririe Sha memberitahu, adiknya membaiki penutup periuk itu dengan penyelesaian kreatif menggunakan puting bayi cucu perempuannya.
“Saya telah memasak menggunakan penutup dengan tangkai daripada puting bayi itu dan agak mengejutkan ia berfungsi dengan baik bahkan tidak mencair,” katanya kepada WOB.
Ririe juga berkongsi gambar cucunya dengan puting bayi baru kerana mereka menggunakan yang lama sebagai tangkai baru tudung periuk. Tiadalah tuan empunya puting pula yang mengamuk sebab puting dia hilang.
Siapa sangka puting bayi mempunyai tujuan dan kegunaan lain, sebagai ‘hack’ sementara dan penceria hari duka orang lain. Terbaik dan geliga otak adik lelaki Ririe ni.
Pilihan Editor: