Kerajaan Malaysia telah berjaya membuat tempahan vaksin COVID-19 dengan penghantaran pertama bekalan yang dijadualkan tiba pada bulan ini. Dijangkakan seramai 26.5 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat vaksin percuma menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penghantaran pertama vaksin COVID-19 melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech, yang telah menunjukkan kadar keberkesanan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus.
“Kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas Perdana Menteri pada 4 Februari.
KKM SEDIA LAKSANA IMUNISASI VAKSIN FASA PERTAMA SEBAIK SEJURUS BEKALAN TIBA pic.twitter.com/rzlkCWu696
— MAJLIS KESELAMATAN NEGARA JABATAN PERDANA MENTERI (@MKNJPM) February 4, 2021
“Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan melibatkan tiga fasa untuk diagihkan.
Fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.
Fasa ini amat penting untuk melindungi frontliners negara yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April.
Fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Mereka ialah warga emas dan golongan rentan yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut tergolong di dalam fasa ini. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan bermula pada bulan April hingga Ogos 2021.
Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Pemberian vaksin kepada golongan ini akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.
Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.
Maklumat lanjut mengenai tatacara pendaftaran, lokasi pusat pemberian vaksin serta informasi lain yang berkaitan akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi.