27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, August 8, 2025
Utama Blog Laman 6

Gempa bumi magnitud 5.7 landa Selat Cook, New Zealand

0

WELLINGTON: Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter melanda Selat Cook berhampiran ibu kota New Zealand, Wellington, kata pusat pemantau seismik kerajaan GeoNet pada Ahad, 6 Oktober tetapi laporan awal menunjukkan tiada kecederaan atau kerosakan ketara.

Gempa bumi pada 5:08 pagi waktu tempatan pada Ahad, 6 Oktober melanda 25 kilometer barat Wellington pada kedalaman 30 kilometer.

@geonet / X

Lebih 37,000 orang telah melaporkan merasakan gegaran itu, sebahagiannya sehingga ke utara Auckland di Pulau Utara, menurut kenyataan GeoNet.

GeoNet berkata tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa bumi itu.

@geonet / X

Jurucakap Bomba dan Kecemasan New Zealand berkata perkhidmatan itu tidak menerima sebarang panggilan untuk bantuan.

Sementara, Radio New Zealand milik kerajaan memaklumkan tiada kerosakan besar atau kecederaan yang dilaporkan.

Remaja lumpuh akibat dipaksa lakukan “squat” 1,000 kali oleh guru

0

Seorang remaja di China disahkan lumpuh akibat dipaksa melakukan “squat” 1,000 kali oleh guru semasa menyertai kem musim panas.

ODDITY CENTRAL

Baru-baru ini, Puan Lu, ibu kepada remaja lelaki berusia 13 tahun dari Jining, di Wilayah Shandong, China itu mendedahkan anak lelakinya didiagnosis dengan rhabdomyolysis yang menyebabkan kecacatan sepanjang hayat.

Menurut Puan Lu, perkara tersebut dikesan berpunca ketika anaknya itu menyertai kem musim panas selama tujuh hari.

Pada awal program semuanya berjalan lancar sehinggalah tiba hari graduasi, Puan Lu dan suami menatap foto anaknya yang bermata merah dan sedih. Suaminya turut menyedari salah satu kaki anak mereka kelihatan lemah. Mereka bertanyakan hal tersebut kepada pihak penganjur kem musim panas namun diberitahu bahawa remaja itu dalam keadaan baik sahaja.

Namun apabila Puan Lu dan suami datang untuk menjemput anak mereka, barulah mereka menyedari betapa seriusnya keadaan remaja itu. Remaja berkenaan sedang menunggu di kerusi kerana dia hampir tidak dapat berdiri.

Remaja lelaki itu menceritakan hal yang berlaku sebelum graduasi, yang mana salah seorang guru menangkapnya yang sedang bercakap dengan kanak-kanak lain semasa latihan. Disebabkan itu, guru tersebut mengarahkannya untuk melakukan “squat” sebanyak 1,000 kali sebagai hukuman.

Tanpa berlengah, remaja lelaki itu menurut perintah guru dan setelah mencapai 200 “squat”, dia jatuh akibat mengalami kesakitan otot. Melihatkan keadaan itu, guru tersebut tidak langsung membantu sebaliknya menendang dan membiarkan remaja itu merangkak di lantai dalam kesakitan. Remaja itu hanya dibantu untuk bangun dan duduk di kerusi apabila majlis graduasi bermula dan itu pun disebabkan ibu bapa sudah mula tiba.

Remaja itu mengadu sakit dan bapanya meminta salah seorang guru kem untuk menemaninya ke hospital berdekatan bagi memeriksa kaki anaknya itu. Di hospital, doktor mengatakan remaja itu hanya mengalami kekejangan otot biasa dan diberikan ubat sapu.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa hari, remaja lelaki itu mengadu sakit hingga dia tidak dapat berjalan atau tidur pada waktu malam. Puan Lu dan suaminya terus membawa anak mereka ke Hospital Perubatan Jining di mana doktor mengesahkan anak kesayangan mereka itu menghidap rhabdomyolysis.

Untuk makluman, rhabdomyolysis adalah keadaan yang mengancam nyawa yang biasanya disebabkan oleh senaman berintensiti tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Ia menyebabkan pemecahan otot rangka yang cepat dan jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan hati dan buah pinggang.

PUBLIC HEALTH MALAYSIA

Bagi kes remaja lelaki ini, dia mengalami rhabdomyolysis disebabkan oleh jumlah “squat” yang dilakukan terlalu banyak. Keadaannya begitu serius sehingga doktor mendudukkannya di kerusi roda. Selepas 13 hari menjalani rawatan di Hospital Perubatan Jining, remaja itu dibenarkan keluar namun tidak pulih sepenuhnya.

Kini remaja itu berusia 14 tahun dan dia masih tidak dapat menjalani kehidupan normal. Tambah Puan Lu, berkemungkinan besar anaknya itu tidak akan dapat melibatkan diri dalam sebarang aktiviti fizikal yang serius. Otot kaki anaknya kini telah mengecut dan dia juga mengalami kerosakan hati dan buah pinggang.

Puan Lu berkata selepas kejadian buruk yang menimpa anak mereka, mereka cuba berhadapan dengan penganjur kem bagi membincangkan mengenai penyeksaan fizikal yang dialami oleh remaja terbabit.

Walaupun pada mulanya semua orang menafikan sebarang salah laku, namun apabila kanak-kanak lain mengesahkan cerita remaja itu, barulah pihak penganjur mengaku mengenai hukuman fizikal tersebut. Selepas perbincangan, ibu bapa remaja dan pihak pengajur kem mencapai kata sepakat untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Kebakaran bas di Bangkok mengorbankan sekurang-kurang 23 pelajar sekolah

0

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 23 orang maut di Thailand apabila bas 2 tingkat yang membawa 39 pelajar sekolah dan enam guru dalam lawatan Sekolah Wat Khao Phraya Sangkharam dari wilayah Uthai Thani terbakar di pinggir ibu kota Bangkok, pada Selasa, 1 Oktober.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol. Gen. Kittharath Phanphet mengesahkan bas itu dalam perjalanan pulang ke Uthai Thani sebelum terbakar di Jalan Vibhavadi Rangsit di Bangkok.

@Reuters/X

Berdasarkan keterangan saksi dan rakaman CCTV, kebakaran dipercayai tercetus akibat tayar meletup dan melanggar penghadang lebuh raya, kata Kittharath.

“Letupan itu dikatakan mencetuskan percikan api yang menyambar tangki gas, menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat ke seluruh bas.

“Polis mengutamakan usaha menyelamat dan memberi sokongan kepada pelajar serta keluarga yang terjejas. Mayat mangsa telah ditemukan, namun jumlah kematian yang tepat belum dapat disahkan kerana ada mangsa yang masih terperangkap di bawah tempat duduk.

“Pasukan penyelamat sedang menanggalkan tempat duduk dengan berhati-hati untuk mengeluarkan mayat,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Gambar Reuters

Pihak polis masih dalam proses mengenal pasti identiti mangsa, dengan tiga guru dan 20 pelajar masih belum dikesan, katanya.

“Pemandu bas dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian. Polis sedang giat mengesan pemandu itu, dan syarikat bas bersama mana-mana individu yang bertanggungjawab boleh berdepan tindakan jika didapati cuai,” katanya.

Kittharath turut memaklumkan bahawa kesemua mayat akan dihantar ke Institut Forensik di Hospital Besar Polis, dan sampel DNA akan diambil daripada waris bagi membantu proses pengecaman.

“Saya mengarahkan pasukan forensik untuk mempercepatkan proses pengecaman, dengan tujuan menyelesaikannya dalam tempoh dua hari supaya keluarga dapat mengadakan upacara pengebumian mengikut agama mereka,” katanya.

Gambar AFP

Beliau menekankan siasatan akan dilakukan dengan teliti dan telus, tanpa sebarang maklumat disembunyikan daripada orang awam.

Semasa kejadian, enam belas pelajar dan tiga guru berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan segera, kata Menteri Pengangkutan Suriya Juangroongruangkit.

Rakaman video yang tular di media sosial dan disiarkan media tempatan menunjukkan api menjulang dan asap kelabu tebal keluar dari bas itu, yang sebahagiannya masih terbakar.

“Guru memberitahu kami bahawa api marak dengan cepat dan beberapa pelajar berjaya keluar melalui tingkap,” kata Kittharath.

Bas berkenaan adalah kenderaan yang beroperasi menggunakan gas asli (NGV) dan kemalangan itu telah menyebabkan pembakaran pada tangki bahan bakarnya, kata Menteri Pengangkutan Suriya.

Gambar Reuters

Sementara itu, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra mengesahkan kemalangan tragik membabitkan pelajar sekolah yang dalam perjalanan pulang daripada lawatan pendidikan menuju ke wilayah Uthai Thani, kira-kira 250 kilometer di utara ibu negara.

“Sebagai seorang ibu, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit,” tulis Paetongtarn di X.

Thailand mempunyai salah satu rekod keselamatan jalan raya terburuk di dunia, dengan kenderaan tidak selamat dan pemanduan yang buruk menyumbang kepada jumlah kematian tahunan yang tinggi, menurut AFP.

Taufan Helene badai tenggara AS ragut sekurang-kurangnya 100 nyawa

0

FLAT ROCK: Tenggara Amerika Syarikat (AS) memulakan usaha pembersihan besar-besaran dan pemulihan pada Ahad, 29 September dengan hampir 100 terkorban selepas Taufan Helene menyebabkan banjir besar dari Florida hingga ke Virginia.

Angin, hujan lebat, dan lonjakan ombak dari ribut itu meragut sekurang-kurangnya 90 nyawa di North Carolina, South Carolina, Georgia, Florida, Tennessee, dan Virginia, menurut laporan Reuters yang diperolehi pegawai negeri serta tempatan.

Gambar Reuters

Menurut pihak berkuasa, satu daerah di North Carolina sahaja melaporkan 30 kematian, ketika penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa di seluruh tenggara AS dan pegawai bimbang lebih banyak mayat akan ditemui.

Dengan menara komunikasi mudah alih rosak di seluruh kawasan tersebut, ratusan orang masih belum dapat menghubungi orang tersayang dan disenaraikan sebagai hilang manakala jutaan penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik.

Anggaran kerugian berjumlah antara AS$15 bilion (RM61.7 bilion) hingga lebih AS$100 bilion (RM411.2 bilion), kata pihak insurans dan pakar ramalan cuaca hujung minggu ini, kerana sistem air, komunikasi, dan laluan pengangkutan kritikal turut terjejas.

Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Deanne Criswell, berkata proses baik pulih akan menjadi sangat rumit di lima negeri di tenggara Amerika Syarikat itu.

Gambar Reuters

“Kami dimaklumkan mengenai kerosakan infrastruktur yang ketara kepada sistem air, komunikasi, jalan raya, laluan pengangkutan kritikal dan beberapa rumah yang baru sahaja musnah akibat taufan ini,” katanya.

Menurut statistik pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya 88 orang maut susulan bencana ribut taufan itu, 35 individu di North Carolina, 24 di South Carolina, 17 di Georgia, 11 di Florida dan seorang di Virginia.

Di daerah Buncombe di North Carolina, Syerif Quentin Miller mengesahkan 30 mangsa maut.

“Kami masih menjalankan operasi pencarian dan menyedari ini juga mungkin bertukar menjadi operasi mengeluarkan mayat,” katanya.

Gambar Reuters

Menurut Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Ken Graham, amaran banjir kilat masih berkuat kuasa di bahagian barat Carolina Utara pada Ahad, selepas mengambil kira risiko kegagalan empangan.

Tambahnya, cuaca dijangka reda di kawasan terjejas sekitar Selasa.

Hampir 2.5 juta isi rumah di tenggara AS masih terjejas tanpa bekalan elektrik pada Ahad, menurut poweroutage.us.

Pegawai Jabatan Tenaga AS, Matt Targuagno, berkata pasukan sedang bekerja keras untuk memulihkan bekalan elektrik tetapi memberi amaran bahawa ia adalah operasi yang rumit dan mungkin memakan masa beberapa hari.

Gambar Reuters

Beribu-ribu orang masih mendapatkan bantuan di pusat perlindungan yang dikendalikan oleh Palang Merah AS, kata pegawai pertubuhan itu, Jennifer Pipa.

Taufan Helene melanda pantai utara Teluk Florida sebagai taufan kategori empat yang besar dengan kelajuan angin 225 kilometer sejam (km/j).

Walaupun telah mula lemah, taufan itu masih berupaya mengakibatkan kerosakan yang besar dengan menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Presiden AS, Joe Biden, pada Ahad berkata salah seorang penasihat kanan beliau berada di Florida untuk memantau keadaan semasa.

Naib Presiden dan calon presiden Demokrat Kamala Harris merancang untuk memendekkan kempen di Nevada pada hari Isnin untuk mengambil bahagian dalam taklimat di Washington mengenai tindak balas taufan dan akan melawat wilayah itu, kata seorang pegawai Rumah Putih.

Lima termasuk bayi rentung, kebakaran empat rumah di Likas

0

KOTA KINABALU: Seorang bayi, tiga kanak-kanak dan seorang remaja rentung dalam kebakaran di kawasan setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, Sabah pada tengah hari Isnin, 30 September.

Berdasarkan maklumat awal, lima mangsa berusia antara setahun hingga 14 tahun adalah anak daripada dua keluarga yang berjiran.

Facebook

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Raina Adrian berusia setahun, Raida, 3; dan Raisa, 4, ketiga-tiganya adik beradik, manakala dua lagi anak keluarga jiran yang juga adik beradik dikenali sebagai Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya Almidah, 14.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kebakaran dilaporkan bermula kira-kira jam 12.40 tengah hari membabitkan empat rumah dan sebuah gerai.

Katanya, mangsa ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian itu.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

Facebook

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari.

Katanya, sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan dibantu BBP Kota Kinabalu, BBP Tuaran dan BBP Putatan.

“Operasi terkawal jam 1.29 petang dan pasukan bomba masih lagi memadam bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan mangsa yang terbabit,” katanya.

Gambar Harian Metro

Farhan berkata, semua mangsa sudah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Forensik JBPM,” katanya.

Dua beranak lemas dihanyutkan arus deras banjir

0

PADANG TERAP: Dua beranak lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kanan dalam kejadian pada pagi Sabtu, 28 September.

Mayat pertama remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang hanyut bersama ibunya dijumpai di dasar air dalam kebun kelapa sawit.

Ketua Zon 1, JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.25 petang oleh anggota penyelamat.

Gambar Utusan Malaysia

Menurutnya, mayat mangsa tersangkut pada pelepah kelapa sawit iaitu kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dan ibunya dipercayai hanyut.

“Semua anggota penyelamat dari bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan polis sedang melakukan pencarian mangsa kedua iaitu, Salmah Mat Zain, 46 berdekatan lokasi anaknya ditemukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar mengesahkan penemuan baharu iaitu sepasang selipar wanita dan sebelah selipar lelaki berdekatan lokasi kejadian.

@mynewshub/X

Katanya, operasi pencarian difokuskan berdekatan kawasan terbabit memandangkan pihaknya percaya selipar itu adalah milik kedua-dua mangsa.

“Keadaan air surut membolehkan operasi pencarian diteruskan sebelum mayat mangsa pertama ditemui tidak lama kemudian.

“Operasi akan diteruskan untuk mencari si ibu di lokasi pencarian sehingga jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Mulkiaman berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu, dua beranak berkenaan dipercayai baru pulang dari membeli nasi lemak dan cuba melalui jalan pintas dengan meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka.

Penduduk kampung yang melihat situasi itu cuba menjerit mengarahkan mereka supaya berpatah balik sebelum kedua-duanya dilihat cuba berpaut pada pokok getah dan akhirnya hanyut dibawa arus deras.

@mynewshub/X

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 pagi sebelum sepasukan bomba digerakkan ke lokasi.

Hujan lebat lebih dua jam bermula pukul 7.30 malam 27 September telah menyebabkan 26 rumah di Kampung Pisang, Kampung Tanjung Kiri dan Kampung Tanjung Kanan, Padang Terap dilanda banjir kilat.

Susulan itu, pihak bomba membantu memindahkan 21 penduduk di Kampung Tanjung Kanan yang terperangkap dalam banjir kilat terbabit.

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam dikuatkuasa mulai 1 Oktober

0

KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2024.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan Akta 852 merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.

Menurut KKM menerusi media sosial, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan termasuk rokok elektronik.

Akta 852 diwartakan pada Februari lalu sehingga kini masih belum dikuatkuasakan walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah KKM mewartakan Akta 852 bermula 2 Februari lalu adalah dalam usaha untuk mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.

Dr Dzulkefly berkata, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Kementerian sebelum ini dikritik kerana tanpa penguatkuasaan Akta 852, peraturan untuk mengharamkan penjualan vape kepada kanak-kanak tidak dapat dikuatkuasakan.

Ini berlaku selepas perintah untuk mengeluarkan nikotin yang digunakan dalam vape dan rokok elektronik daripada senarai bahan terhad di bawah Akta Racun.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan penguatkuasaan akta ini kerana ia sudah ditunggu selama bertahun-tahun.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

“Akta ini pasti akan menyelamatkan berjuta-juta nyawa anak muda yang ketagih rokok dan rokok elektronik atau vape yang akhirnya terjerumus dengan dadah berbahaya.

Tambahnya, pelaksanaan Akta 852 tidak hanya menyelamatkan nyawa manusia, tetapi juga alam sekitar.

“CAP menyokong penuh pelaksanaan akta ini dan ia mestilah dikuatkuasakan sepenuhnya, tindakan mestilah dilakukan dengan berkesan serta tiada lagi sekadar memberi amaran atau kompaun tetapi terus kepada tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan.

Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka landa 12 negeri: MetMalaysia

0

KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka membabitkan 12 negeri di Malaysia sehingga jam 3 petang, Rabu 25 September 2024.

Dalam kenyataan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 1.20 tengah hari, cuaca buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Johor dan Labuan.

Selain di Kedah, kawasan yang terjejas ialah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling. 

Gambar The Star

Di Perak pula melibatkan kawasan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim. 

Selain itu, turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Kelantan melibatkan kawasan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai. Sementara di Terengganu, kawasan yang terlibat ialah di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. 

Manakala di Pahang melibatkan kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.

Negeri Sembilan turut dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir serta angin kencang di kawasan Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

Sementara di Sarawak melibatkan kawasan Sri Aman, Sibu, Matu, Dalat, Mukah, Song, Kapit, Bintulu, Miri, Marudi dan Limbang.

Kawasan pedalaman Sipitang, Kuala Penyu, dan Beaufort, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, dan Tuaran) dan Tawau (Lahad Datu) di Sabah turut terjejas.

MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.

Menurut kenyataan itu, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia, tambah MetMalaysia.

Gempa bumi kuat melanda Semenanjung Minahasa, Sulawesi

0

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 pada skala Richter telah melanda Semenanjung Minahasa, Sulawesi pada pukul 3.51 pagi.

BERNAMA

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pusat gempa bumi itu terletak 0.1° Selatan dan 122.9° Timur dengan kedalaman 144km iaitu 75km Selatan dari Gorontalo, Indonesia.

“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman web jabatan berkenaan.

Tsunami kecil landa Kepulauan Izu Jepun susulan gempa bumi

0

TOKYO: Tsunami kecil melanda pulau terpencil Jepun, Hachijojima pada hari Selasa, 24 September, kata agensi cuaca negara, selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda berhampiran gugusan Kepulauan Izu.

Ombak setinggi 50 cm (20 inci) melanda Hachijojima kira-kira jam 9 pagi, selepas Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah selatan Tokyo.

Tsunami kecil itu melanda kira-kira 45 minit selepas gempa bumi, menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) yang dikesan pada kedalaman cetek iaitu 11.7 kilometer (tujuh batu).

Facebook

Di Pulau Miyakejima, gelombang tsunami yang lebih kecil iaitu 10 cm telah dilaporkan, kata JMA.

Kira-kira 25,000 orang tinggal di pulau-pulau kecil Pasifik di selatan Tokyo.

Beberapa penduduk memberitahu NHK bahawa mereka tidak merasai gempa bumi, dan tidak ada laporan segera mengenai kerosakan.

JMA berkata, pantai Pasifik Jepun yang luas dari Chiba dekat Tokyo ke Okinawa dekat Taiwan juga mungkin melihat sedikit perubahan pada permukaan laut susulan gempa bumi berkenaan.

Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama dan mengalami kira-kira 1,500 gempa bumi setiap tahun, yang kebanyakannya kecil.

Kesannya secara am adalah terkawal walaupun dengan gegaran yang lebih besar ekoran teknik pembinaan bangunan dan prosedur kecemasan yang diamalkan dengan baik oleh negara itu.

Jurucakap Agensi Meteorologi Jepun (JMA) semasa sidang akhbar di Tokyo pada 24 September 2024, mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah selatan Tokyo susulan gempa bumi melanda berhampiran gugusan Kepulauan Izu. (Gambar AP)

Tetapi potensi gempa bumi mega dengan anggaran magnitud 8-9 mempunyai kira-kira 70 peratus kebarangkalian untuk berlaku dalam tempoh 30 tahun akan datang, kata kerajaan.

Ia boleh menjejaskan sebahagian besar pantai Pasifik dan mengancam kira-kira 300,000 nyawa dalam senario terburuk, kata pakar.

Pada 2011, gempa bumi dasar laut berukuran 9.0 magnitud di timur laut Jepun mencetuskan tsunami yang mengakibatkan kira-kira 18,500 kematian atau mangsa hilang.