BANGKOK: Sekurang-kurangnya 23 orang maut di Thailand apabila bas 2 tingkat yang membawa 39 pelajar sekolah dan enam guru dalam lawatan Sekolah Wat Khao Phraya Sangkharam dari wilayah Uthai Thani terbakar di pinggir ibu kota Bangkok, pada Selasa, 1 Oktober.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol. Gen. Kittharath Phanphet mengesahkan bas itu dalam perjalanan pulang ke Uthai Thani sebelum terbakar di Jalan Vibhavadi Rangsit di Bangkok.
Berdasarkan keterangan saksi dan rakaman CCTV, kebakaran dipercayai tercetus akibat tayar meletup dan melanggar penghadang lebuh raya, kata Kittharath.
“Letupan itu dikatakan mencetuskan percikan api yang menyambar tangki gas, menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat ke seluruh bas.
“Polis mengutamakan usaha menyelamat dan memberi sokongan kepada pelajar serta keluarga yang terjejas. Mayat mangsa telah ditemukan, namun jumlah kematian yang tepat belum dapat disahkan kerana ada mangsa yang masih terperangkap di bawah tempat duduk.
“Pasukan penyelamat sedang menanggalkan tempat duduk dengan berhati-hati untuk mengeluarkan mayat,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Pihak polis masih dalam proses mengenal pasti identiti mangsa, dengan tiga guru dan 20 pelajar masih belum dikesan, katanya.
“Pemandu bas dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian. Polis sedang giat mengesan pemandu itu, dan syarikat bas bersama mana-mana individu yang bertanggungjawab boleh berdepan tindakan jika didapati cuai,” katanya.
Kittharath turut memaklumkan bahawa kesemua mayat akan dihantar ke Institut Forensik di Hospital Besar Polis, dan sampel DNA akan diambil daripada waris bagi membantu proses pengecaman.
“Saya mengarahkan pasukan forensik untuk mempercepatkan proses pengecaman, dengan tujuan menyelesaikannya dalam tempoh dua hari supaya keluarga dapat mengadakan upacara pengebumian mengikut agama mereka,” katanya.
Beliau menekankan siasatan akan dilakukan dengan teliti dan telus, tanpa sebarang maklumat disembunyikan daripada orang awam.
Semasa kejadian, enam belas pelajar dan tiga guru berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan segera, kata Menteri Pengangkutan Suriya Juangroongruangkit.
Rakaman video yang tular di media sosial dan disiarkan media tempatan menunjukkan api menjulang dan asap kelabu tebal keluar dari bas itu, yang sebahagiannya masih terbakar.
“Guru memberitahu kami bahawa api marak dengan cepat dan beberapa pelajar berjaya keluar melalui tingkap,” kata Kittharath.
Bas berkenaan adalah kenderaan yang beroperasi menggunakan gas asli (NGV) dan kemalangan itu telah menyebabkan pembakaran pada tangki bahan bakarnya, kata Menteri Pengangkutan Suriya.
Sementara itu, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra mengesahkan kemalangan tragik membabitkan pelajar sekolah yang dalam perjalanan pulang daripada lawatan pendidikan menuju ke wilayah Uthai Thani, kira-kira 250 kilometer di utara ibu negara.
“Sebagai seorang ibu, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit,” tulis Paetongtarn di X.
Thailand mempunyai salah satu rekod keselamatan jalan raya terburuk di dunia, dengan kenderaan tidak selamat dan pemanduan yang buruk menyumbang kepada jumlah kematian tahunan yang tinggi, menurut AFP.