Bekas ahli kumpulan One Direction, Liam Payne dilaporkan maut di sebuah hotel di Buenos Aires, ibu negara Argentina, pada Rabu, 16 Oktober waktu tempatan.
Memetik laporan media antarabangsa, Liam yang berusia 31 tahun ditemui meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga hotel berkenaan.

Menurut pegawai keselamatan, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Pihak polis memaklumkan, ketika panggilan diterima, laporan menyebut tentang “seorang lelaki agresif yang mungkin berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol”.

Petugas ambulans kemudian mengesahkan kematian penyanyi itu, yang ditemui di patio teres dalaman hotel.
Liam Payne berkongsi kemasyhuran global sebagai sebahagian daripada kumpulan pop One Direction yang telah dibubarkan, bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.

Kumpulan pop popular British itu bermula selepas menduduki tempat ketiga dalam rancangan bakat X Factor versi British pada 2010.
One Direction berpecah pada 2016 kerana ahlinya meneruskan projek berbeza termasuk kerjaya solo.