PADANG TERAP: Dua beranak lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kanan dalam kejadian pada pagi Sabtu, 28 September.
Mayat pertama remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang hanyut bersama ibunya dijumpai di dasar air dalam kebun kelapa sawit.
Ketua Zon 1, JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.25 petang oleh anggota penyelamat.
Menurutnya, mayat mangsa tersangkut pada pelepah kelapa sawit iaitu kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dan ibunya dipercayai hanyut.
“Semua anggota penyelamat dari bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan polis sedang melakukan pencarian mangsa kedua iaitu, Salmah Mat Zain, 46 berdekatan lokasi anaknya ditemukan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar mengesahkan penemuan baharu iaitu sepasang selipar wanita dan sebelah selipar lelaki berdekatan lokasi kejadian.
Katanya, operasi pencarian difokuskan berdekatan kawasan terbabit memandangkan pihaknya percaya selipar itu adalah milik kedua-dua mangsa.
“Keadaan air surut membolehkan operasi pencarian diteruskan sebelum mayat mangsa pertama ditemui tidak lama kemudian.
“Operasi akan diteruskan untuk mencari si ibu di lokasi pencarian sehingga jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.
Mulkiaman berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Dalam kejadian pada pagi Sabtu, dua beranak berkenaan dipercayai baru pulang dari membeli nasi lemak dan cuba melalui jalan pintas dengan meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka.
Penduduk kampung yang melihat situasi itu cuba menjerit mengarahkan mereka supaya berpatah balik sebelum kedua-duanya dilihat cuba berpaut pada pokok getah dan akhirnya hanyut dibawa arus deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 pagi sebelum sepasukan bomba digerakkan ke lokasi.
Hujan lebat lebih dua jam bermula pukul 7.30 malam 27 September telah menyebabkan 26 rumah di Kampung Pisang, Kampung Tanjung Kiri dan Kampung Tanjung Kanan, Padang Terap dilanda banjir kilat.
Susulan itu, pihak bomba membantu memindahkan 21 penduduk di Kampung Tanjung Kanan yang terperangkap dalam banjir kilat terbabit.