ISKANDAR PUTERI: Tiga pekerja warga asing cedera dalam kebakaran membabitkan empat unit kilang, termasuk gudang logistik dengan berlaku beberapa letupan di Kawasan Perindustrian SILC dekat Iskandar Puteri, Johor pada pagi 10 Oktober.
Kebakaran telah menyebabkan tiga pekerja warga Bangladesh dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami 30 peratus melecur tahap pertama.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, enam lagi pekerja di kilang terbabit tidak mengalami kecederaan.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 11.33 pagi.
“Enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) melibatkan Iskandar Puteri, Larkin, Skudai, Pekan Nenas, Pontian Baharu dan Sebana Cove bagi memadamkan kebakaran di kawasan tersebut.
“Sebaik menerima panggilan tersebut pasukan keluaran operasi (PKO), melibatkan tiga jentera fire rescue tender, dua unit jentera perkhidmatan penyelamatan, perawatan, kecemasan, satu unit jentera foam tender, satu water tanker 20,000 liter, satu pacuan empat roda Hilux dan satu jentera compact fire rescue tenders (CFRT), dari kesemua BBP berkenaan dihantar ke lokasi.
“Setibanya PKO ke lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang seperti yang dilaporkan. PKO kemudiannya bertindak membuat pemadaman di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Majoriti.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Faiz Suleiman berkata, satu daripada kilang itu dipercayai ada menyimpan bahan kimia dan menyebabkan letupan.
“Terdapat tiga unit kilang yang terbakar. Salah satunya ada penyimpanan bahan kimia termasuk ‘thinner’. Memang ada letupan berlaku, tetapi tiada kecederaan kepada anggota kita (bomba),” katanya.
Sejumlah 39 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran itu.
Gudang logistik mengalami kerosakan 80 peratus manakala tiga kilang milik syarikat kimia 90 peratus terbakar.
Terdahulu, tular beberapa video dan gambar memaparkan berlaku kebakaran di kawasan tersebut.
Orang awam yang berada di lokasi kejadian juga turut mendakwa beberapa pekerja kilang di kawasan yang terjejas berkemungkinan cedera parah ekoran tular satu video memaparkan dua orang lelaki yang melecur di seluruh anggota badan.