Seorang remaja di China disahkan lumpuh akibat dipaksa melakukan “squat” 1,000 kali oleh guru semasa menyertai kem musim panas.

Baru-baru ini, Puan Lu, ibu kepada remaja lelaki berusia 13 tahun dari Jining, di Wilayah Shandong, China itu mendedahkan anak lelakinya didiagnosis dengan rhabdomyolysis yang menyebabkan kecacatan sepanjang hayat.
Menurut Puan Lu, perkara tersebut dikesan berpunca ketika anaknya itu menyertai kem musim panas selama tujuh hari.
Pada awal program semuanya berjalan lancar sehinggalah tiba hari graduasi, Puan Lu dan suami menatap foto anaknya yang bermata merah dan sedih. Suaminya turut menyedari salah satu kaki anak mereka kelihatan lemah. Mereka bertanyakan hal tersebut kepada pihak penganjur kem musim panas namun diberitahu bahawa remaja itu dalam keadaan baik sahaja.
Namun apabila Puan Lu dan suami datang untuk menjemput anak mereka, barulah mereka menyedari betapa seriusnya keadaan remaja itu. Remaja berkenaan sedang menunggu di kerusi kerana dia hampir tidak dapat berdiri.
Remaja lelaki itu menceritakan hal yang berlaku sebelum graduasi, yang mana salah seorang guru menangkapnya yang sedang bercakap dengan kanak-kanak lain semasa latihan. Disebabkan itu, guru tersebut mengarahkannya untuk melakukan “squat” sebanyak 1,000 kali sebagai hukuman.
Tanpa berlengah, remaja lelaki itu menurut perintah guru dan setelah mencapai 200 “squat”, dia jatuh akibat mengalami kesakitan otot. Melihatkan keadaan itu, guru tersebut tidak langsung membantu sebaliknya menendang dan membiarkan remaja itu merangkak di lantai dalam kesakitan. Remaja itu hanya dibantu untuk bangun dan duduk di kerusi apabila majlis graduasi bermula dan itu pun disebabkan ibu bapa sudah mula tiba.
Remaja itu mengadu sakit dan bapanya meminta salah seorang guru kem untuk menemaninya ke hospital berdekatan bagi memeriksa kaki anaknya itu. Di hospital, doktor mengatakan remaja itu hanya mengalami kekejangan otot biasa dan diberikan ubat sapu.
Walau bagaimanapun, selepas beberapa hari, remaja lelaki itu mengadu sakit hingga dia tidak dapat berjalan atau tidur pada waktu malam. Puan Lu dan suaminya terus membawa anak mereka ke Hospital Perubatan Jining di mana doktor mengesahkan anak kesayangan mereka itu menghidap rhabdomyolysis.
Untuk makluman, rhabdomyolysis adalah keadaan yang mengancam nyawa yang biasanya disebabkan oleh senaman berintensiti tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Ia menyebabkan pemecahan otot rangka yang cepat dan jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan hati dan buah pinggang.

Bagi kes remaja lelaki ini, dia mengalami rhabdomyolysis disebabkan oleh jumlah “squat” yang dilakukan terlalu banyak. Keadaannya begitu serius sehingga doktor mendudukkannya di kerusi roda. Selepas 13 hari menjalani rawatan di Hospital Perubatan Jining, remaja itu dibenarkan keluar namun tidak pulih sepenuhnya.
Kini remaja itu berusia 14 tahun dan dia masih tidak dapat menjalani kehidupan normal. Tambah Puan Lu, berkemungkinan besar anaknya itu tidak akan dapat melibatkan diri dalam sebarang aktiviti fizikal yang serius. Otot kaki anaknya kini telah mengecut dan dia juga mengalami kerosakan hati dan buah pinggang.
Puan Lu berkata selepas kejadian buruk yang menimpa anak mereka, mereka cuba berhadapan dengan penganjur kem bagi membincangkan mengenai penyeksaan fizikal yang dialami oleh remaja terbabit.
Walaupun pada mulanya semua orang menafikan sebarang salah laku, namun apabila kanak-kanak lain mengesahkan cerita remaja itu, barulah pihak penganjur mengaku mengenai hukuman fizikal tersebut. Selepas perbincangan, ibu bapa remaja dan pihak pengajur kem mencapai kata sepakat untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.