25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 13, 2025
Utama Blog Laman 33

Kasih sayang tidak mengenal bangsa, lelaki mulia ambil alih tanggungjawab menjaga tiga beradik yatim piatu selama 16 tahun

0

Tanpa sedikit pun berasa bangsa dan agama sebagai halangan, seorang lelaki berketurunan Tionghoa berusia 55 tahun bertindak menunjukkan kebaikan dan belas kasihan luar biasa terhadap tiga beradik berbangsa Melayu setelah mengetahui ibu bapa mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Pada usia 12 tahun, Rafei Ahmad Fauzi dan dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman dihantar ke rumah anak yatim berbeza selepas ibu bapa mereka meninggal dunia selang sebulan pada tahun yang sama. 

Gambar Harian Metro

Bertemu Michael Tong Wai Siong, yang mesra dipanggil Uncle Mike oleh Rafei dan adik-beradiknya, mereka tidak mengetahui kehidupan masing-masing yang berlainan bangsa, budaya dan agama akan berubah selama-lamanya.

Menceritakan bagaimana segalanya bermula kepada Harian Metro, Michael Tong berkata beliau menjadi sukarelawan dan sering melakukan kerja amal di rumah anak yatim di Gombak, di mana menempatkan Rafei.

“Bertemu Rafei buat pertama kali, saya mengetahui tentang kisahnya, dan saya merasakan keinginan yang kuat untuk membantu,” kata Michael.

Memerhatikan kanak-kanak itu yang suka menyendiri, Michael bercakap dengan pengurus rumah anak yatim itu yang dikenali sebagai Umi.

Setelah berbual panjang, Michael menyedari Rafei tidak suka ke sekolah. Ingin memahami keadaannya dengan lebih baik, Michael kemudiannya telah menghubungi sekolah Rafei dan berjumpa gurunya apabila mendapat tahu Rafei menghadapi masalah pembelajaran.

Bertekad untuk membantu Rafei mendapatkan kehidupan lebih baik, Michael mula menghantar kanak-kanak ini ke sekolah setiap hari, memberinya sokongan yang diperlukannya seperti mana ibu bapa normal lakukan. 

Gambar Harian Metro

Berkongsi rutinnya, Michael akan mengambil Rafei dari rumah anak yatim dan menghantarnya ke sekolah setiap hari. Selepas waktu persekolahan, salah seorang pekerja Michael akan menjemput Rafei, menghantarnya ke pusat tuisyen, sebelum Michael menghantarnya kembali ke asrama rumah anak yatim.

“Rutin itu berulang dalam keadaan yang agak lama, sehingga pengurusan rumah anak yatim mencadangkan untuk membawa sahaja Rafei tinggal bersama saya,” kata Michael.

Oleh kerana Rafei ingin tinggal bersamanya, Michael mengambil keputusan untuk menerima kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya. 

Namun pada suatu hari, Michael terjumpa nota menyayat hati daripada Rafei, yang meluahkan perasaan rindu terhadap dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman. 

Membaca nota dan mengetahui betapa rindunya kanak-kanak ini kepada adik-beradiknya, Michael tidak dapat menahan rasa sebak.

“Sehingga kini saya masih ingat nota ditulisnya yang bertanya mengapa mak ayah meninggal dunia awal dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik,” kata Michael.

Nota bernada sebak itu telah membuat Michael mengambil keputusan untuk memenuhi hasrat Rafei supaya dapat bertemu adik-beradiknya, yang berada di rumah anak yatim di Klang pada masa itu. 

Tidak sanggup menanggung kesedihan kerana memisahkan ketiga-tiga mereka, Michael kemudian mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan membuat keputusan untuk mengambil adik-beradik Rafei sebagai anak-anak angkatnya.

Mengimbau kembali masa itu, Michael Tong berkongsi beliau tidak mempunyai pengalaman menjaga anak-anak kerana sudah biasa hidup membujang selama ini.

“Saya hanya mengambil Rafei pada mulanya kerana saya tidak pasti sama ada saya boleh mengendalikan lebih daripada seorang anak. Syukurlah, saya menerima sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Mereka telah memberikan saya begitu banyak dorongan serta pertolongan,” kongsi Michael.

Selain itu, ibu Michael (Oh Siew Eng) juga mengambil giliran menjaga tiga beradik itu, yang melayan mereka bagai cucunya sendiri.

Gambar Harian Metro

Memahami kepentingan agama untuk anak-anak ini, Michael memastikan mereka meneruskan semua amalan sebagai seorang Muslim, walaupun mereka tinggal bersamanya.

Michael menjalankan tanggungjawabnya dengan memanggil seorang Ustaz ke rumah mereka pada setiap malam, untuk membolehkan kanak-kanak ini mengaji dan belajar agama dengan lebih baik, membolehkan mereka untuk terus mendapat pendidikan agama seperti mana asalnya.

Pada bulan Ramadan, Michael juga akan menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa bersama anak-anak angkatnya. Beliau sendiri melatih kanak-kanak itu berpuasa sejak kecil, memastikan mereka sentiasa berpuasa penuh sepanjang Ramadan.

“Saya masak lauk sahur dan buka puasa untuk mereka, malah kami berpuasa bersama sepanjang Ramadan. Saya buat begitu sejak mereka kecil, beri sokongan agar berpuasa penuh. Di rumah juga, saya jaga sensitiviti agama Islam terutama makanan dan minuman,” kata Michael.

Mengambil peranan sebagai ibu dan bapa kepada 3 kanak-kanak seperti anak sendiri, Michael mengimbau masa bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan untuk mereka. Beliau akan menegur, memarahi atau berleter seperti ibu bapa jika mereka nakal kerana sayang dan tidak mahukan apa-apa selain yang terbaik untuk mereka.

“Saya sayang mereka, dan saya mengambil berat tentang mereka, saya mahu mereka menjadi orang berguna,” kata Michael.

Mendedikasikan masa untuk menjaga tiga anak lelaki, Michael yang sehingga kini masih belum berkahwin berkongsi kehidupannya tidak sedikit pun berasa sunyi setelah mengambil Rafei, 29 tahun, Rasyid, 28 tahun dan Abdul Rahman, 24 tahun sebagai ahli keluarganya. 

Michael Tong berkata selepas kisah mereka disiarkan di Harian Metro, beliau agak malu dengan perhatian yang diterima sambil menambah menjaga anak-anaknya dengan niat ikhlas dan tidak mengharapkan balasan.

Gambar Harian Metro

“Sekarang saya gembira melihat tiga anak saya sudah besar, sudah bekerja dan seorang sudah mendirikan rumah tangga, dan saya juga mempunyai dua tambahan R iaitu Rayyan dan Rania, cucu saya,” katanya ketika dihubungi NST.

Michael berharap kisah keluarga mereka mampu memberi teladan kepada yang lain bahawa membantu sesama manusia tidak perlu melihat kepada bangsa dan agama.

“Saya bukanlah orang pertama yang membantu satu sama lain seperti ini. Ada orang Melayu yang membantu orang Cina dan India serta kaum lain dan sebaliknya. Ini bukti kita hidup dalam suasana harmoni walaupun masih ada segelintir yang memainkan isu perkauman.

“Sebagai rakyat negara berbilang kaum kita perlu hidup harmoni dan aman bersama-sama kerana kita semua adalah sebuah keluarga,” tambah Michael.

SPM 2023: 11,713 calon memperoleh semua A

0

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menunjukkan peningkatan yang membanggakan, dengan Gred Purata Nasional (GPN) mencatatkan 4.60, lebih baik berbanding 4.74 pada tahun 2022.

GPN yang lebih rendah mencerminkan tahap pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, seramai 11,713 calon memperoleh Gred A+, A, dan A- dalam semua mata pelajaran, menandakan peningkatan ketara dalam bilangan calon yang mencapai keputusan semua A.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan. (Gambar NST)

Sebagai perbandingan, 10,109 calon mendapat keputusan semua A pada 2022.

Terdapat juga peningkatan dalam bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.

Azman berkata 83,112 calon memperoleh keputusan purata dengan sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C bagi semua mata pelajaran pada 2023, berbanding 75,322 calon pada 2022.

“Seramai 131,480 calon lulus semua mata pelajaran dalam keputusan SPM 2023, peningkatan sebanyak 3,296 calon berbanding 128,193 calon pada 2022.

“Tahun ini, peratusan calon yang layak menerima sijil SPM adalah seramai 349,297 calon bersamaan 93.5 peratus berbanding 342,742 calon bersamaan 91.6 peratus pada 2022,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 27 Mei.

Gambar The Star

Seramai 373,525 calon menduduki SPM pada 2023, berbanding 373,974 pada 2022.

Sementara itu, Azman menyebut prestasi calon bandar dan luar bandar dalam SPM 2023 menunjukkan peningkatan, walaupun jurang pencapaian kekal pada 0.43 mata, sama seperti SPM 2022.

Selain itu, kira-kira 10,000 pelajar Tingkatan Lima tidak hadir menduduki SPM 2023, berbanding 30,000 pada 2022.

Gambar Berita Harian

“Kami akan teliti dan menganalisis satu persatu sebab dan akan melaksanakan intervensi bagi memastikan isu ini ditangani dengan sebaiknya,” kata Azman selepas mengumumkan analisis keputusan SPM 2023.

Calon sekolah dan persendirian boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM masing-masing bermula jam 10 pagi, 27 Mei sehingga jam 6 petang, 2 Jun.

Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di myresultspm.moe.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Kira-kira 10,000 calon tidak hadir peperiksaan SPM 2023

0

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 pelajar Tingkatan Lima tahun lepas tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Walaupun jumlah itu kelihatan agak tinggi, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata jumlah itu telah menurun dengan ketara.

Pada tahun 2022, seramai 30,000 orang pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022.

“Kami akan mengenal pasti dan menganalisis sebab satu persatu dan menjalankan intervensi bagi memastikan isu ini ditangani dengan betul,” kata beliau selepas mengumumkan analisis keputusan SPM 2023 pada Isnin (27hb Mei).

Seramai 395,870 calon telah menduduki peperiksaan kebangsaan tahun lepas.

Malaysia juara berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024

0

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara melakar kejayaan luar biasa apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Selepas mengungguli acara double, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final.

Gambar Bernama

Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Dibantu sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa, regu Malaysia bermula dengan aksi penuh meyakinkan apabila kekal mendahului sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan 15-8 di set pertama.

Thailand yang tersentak dengan kekalahan set pertama cuba bangkit dan memberi tentangan dalam usaha untuk mengheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, trio negara diketuai Farhan kekal tenang dalam menyerap segala asakan skuad Gajah Perang sekali gus menoktahkan kemenangan 15-12 di set kedua.

Kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double.

Gambar Bernama

Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double.

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011.

Aksi final kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang meluangkan masa menonton dan memberikan sokongan kepada pasukan negara.

COVID-19: Varian KP.2 bermutasi, sedang merebak di China dan seluruh dunia

0

Pihak berkuasa kesihatan Parti Komunis China (PKC) baru-baru ini melaporkan strain COVID-19 KP.2 yang dominan telah bermutasi di China dan kini merebak ke seluruh dunia.

Sementara itu, orang awam di China mendedahkan kepada The Epoch Times edisi bahasa Cina bahawa wabak COVID-19 tempatan lebih teruk daripada yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kerana pegawai tempatan terus menyembunyikan maklumat tentang jumlah sebenar kematian COVID-19.

Pada 14 Mei, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit rejim China mengeluarkan notis menyatakan varian KP.2 dikesan buat pertama kali dalam kes tempatan di Wilayah Guangdong pada 11 Mac. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setakat 12 Mei, sejumlah 25 jujukan KP.2 telah dilaporkan di seluruh China.

Gambar oleh Lintao Zhang /Getty Images

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan PKC mendakwa bahagian KP.2 berada pada tahap yang sangat rendah dan pada masa ini, tiga strain mutan teratas di China ialah JN.1, JN.1.16 dan JN.1.4.

Sejak Januari, KP.2 telah menyumbang kepada peningkatan peratusan kes di seluruh dunia. Pada 3 Mei, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan varian COVID-19 KP.2 sebagai Varian Dalam Pemantauan (VUM).

Pada 13 Mei, Zhao Wei, pengarah Pusat Penyelidikan Bio-Keselamatan di Universiti Perubatan Selatan China, memberitahu media negara China bahawa kemunculan strain mutan baharu COVID-19 menunjukkan bahawa virus itu belum lenyap di China.

PKC menangguhkan semua ujian COVID-19 di hospital apabila China tiba-tiba meninggalkan dasar dan langkah kawalan “COVID sifar” pada Disember 2022, yang diikuti oleh gelombang jangkitan besar-besaran dan kematian yang tidak terkira di seluruh negara.

Rejim China PKC telah mengaitkan gelombang jangkitan pernafasan yang menyerupai simptom COVID-19 di China dengan pelbagai patogen dan punca lain, seperti mycoplasma pneumonia, influenza A dan influenza B, sambil dengan sengaja mengelak sebarang sebutan COVID-19.

KP.2 (juga dikenali sebagai FLiRT) adalah varian terbitan Omicron JN.1 yang telah mengembangkan tiga mutasi tambahan secara bebas dalam spike protein yang pakar kesihatan katakan boleh meningkatkan kebolehjangkitan virus dan keupayaan untuk mengelak antibodi sedia ada daripada jangkitan atau vaksin sebelumnya. Ia pertama kali dilaporkan di India pada 2 Januari.

Orang awam di China memberi respons di media sosial terhadap pengumuman CDC mengenai varian baharu itu.

“Strain mutan ini atau strain mutan itu, doktor mengatakan mereka semua dirawat sebagai selesema.” kata satu hantaran. “Tidak kira betapa seriusnya wabak itu, mereka tidak pernah menguji sama ada ia COVID-19.”

Laporan orang awam tentang wabak berterusan di China

Warga China di seluruh negara memberitahu The Epoch Times bahawa COVID-19 tidak pernah hilang dari China dan pihak berkuasa terus menyembunyikan kebenaran mengenainya, yang membawa kepada lonjakan insiden kes teruk dan kematian mengejut.

Pada 13 Mei, Yan, seorang penduduk kampung di Daerah Fangzheng di Bandar Harbin yang terletak di timur laut China, berkata wabak COVID-19 tempatan adalah serius dan ramai orang di sekelilingnya telah mengalami demam dan selesema berulang, dengan simptom yang serupa COVID-19. Kematian mengejut atas sebab yang tidak diketahui kerap berlaku, katanya.

“Saya juga mengalami demam dan selesema dua hari lalu. Hospital tidak menguji dan merawatnya sebagai selesema, tetapi ia tidak dapat diubati. Pada masa kini, ramai pesakit telah mendapat penyakit paru-paru putih. Ramai yang telah meninggal dunia dalam dua tahun ini. Kami berada di kawasan pergunungan, dan kebanyakannya adalah pengebumian tanah. Terdapat kubur baru di mana-mana,” katanya kepada The Epoch Times.

Yang, seorang penduduk Wilayah Guizhou di barat daya China, mendedahkan sejak musim sejuk, ramai orang di sekelilingnya telah berulang kali dijangkiti. Apabila dia sakit, hospital tempatan tidak menjalankan ujian COVID-19. Tetapi dia diuji positif COVID-19 ketika menggunakan kit ujian pantas di rumah. Dia berkata doktor masih merawatnya seperti yang mereka lakukan untuk selesema.

“Ini telah membawa kepada kematian ramai warga emas, dan terdapat banyak kematian mengejut individu yang berusia 60-an dan 70-an,” katanya kepada The Epoch Times.

Chen, seorang penduduk Sanmenxia di Wilayah Henan, berkata kini terdapat kurang sedikit orang yang mengalami simptom demam dan selesema berbanding pada bulan Mac, tetapi terdapat ramai pesakit tenat masih mengalami “paru-paru putih” selepas jangkitan mereka.

Gambar CFOTO/Future Publishing/Getty Images

Sun, warga Bandar Baoding di Wilayah Hebei di utara China, memberitahu The Epoch Times bahawa sepanjang tahun lalu, ramai orang yang dikenalinya mengalami batuk yang berterusan.

“Ramai orang mati, tetapi punca kematian mereka tidak jelas. Pihak hospital hanya memberitahu keluarga mereka meninggal dunia akibat penyakit asas,” katanya.

Wang, seorang warga Wilayah Jiangxi di tenggara China berkata: “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai orang di sekeliling saya mengalami selesema dan batuk berulang kali. Ramai rakan sekelas dan rakan zaman kanak-kanak saya telah mengalami nodul pulmonari. … Mereka berkata tahap kesihatan mereka tidak lagi baik.

“Ramai orang telah meninggal dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan rumah pengebumian tidak boleh membakar mereka semua. Rumah pengebumian tempatan tidak dapat menampung begitu banyak mayat, jadi rumah yang baru telah dibuka tahun lalu.”

7 cara mudah singkirkan lebihan barang dari rumah anda

0

Tahukah anda lebihan barang dalam rumah hanya merumitkan kehidupan harian? Inilah 7 cara mudah singkirkan lebihan barang dari rumah anda.

Imej janaan Copilot.

Namun sebelum itu, mari lihat apakah akibat membiarkan lebihan barang yang disimpan di dalam rumah:

  • Semakin banyak barang yang disimpan, semakin sukar untuk mencari barang yang anda perlukan. Selain banyak masa terbuang, berkemungkinan anda akan membeli barang yang baharu kerana tidak dapat menemui barang yang lama.
  • Barang yang terbesar dan pelbagai di dalam rumah seperti almari boleh memberikan kesan visual yang tidak menyenangkan dan membuatkan rumah anda terlihat bersepah.
  • Kemalangan di dalam rumah seperti tergelincir atau tersandung boleh berlaku akibat barang-barang yang tidak disusun dengan rapi.
  • Ruang untuk melakukan aktiviti lain seperti bersantai bersama keluarga semakin sedikit disebabkan banyaknya barang yang disimpan.
  • Tekanan mental serta kegelisahan boleh berlaku akibat keadaan rumah yang bersepah.
Imej janaan ChatGPT4o

Ramai sebenarnya yang terperangkap dengan rasa bersalah, takut atau menyesal jika membuang barang yang dikatakan mengandungi ‘sentimental value’.

Selain itu, perasaan seperti “kalau saya memerlukannya satu hari nanti macam mana?” atau “barang ini masih boleh digunakan, jadi lebih baik saya simpan daripada beli yang baru” merupakan antara punca barang semakin banyak disimpan di dalam rumah.

Contohnya pakaian lama yang anda pakai semasa zaman remaja, barang hiasan yang diberikan oleh seseorang yang anda sayangi atau pinggan mangkuk hasil cabutan bertuah suatu ketika dahulu.

Harus diingatkan bahawa semua itu hanyalah objek kerana yang lebih penting ialah kenangan yang tersimpan dalam ingatan anda.

Imej janaan ChatGPT4o

Oleh yang demikian, anda memang perlu singkirkan lebihan barang dari rumah dan inilah 7 cara mudah melakukannya tanpa rasa bersalah:

  • Kenal pasti barang yang mempunyai nilai sentimental. Fikirkan tentang apa yang membuatkan anda berasa terikat kepada barang tersebut dan nilai sendiri sama ada barang itu masih relevan dalam kehidupan anda atau tidak.
  • Tetapkan had untuk setiap jenis barang. Sebagai contoh, tetapkan had untuk jumlah pakaian, perkakasan dapur, atau barang hiasan yang anda masih ingin simpan.
  • Asingkan barang mengikut kategori seperti “keperluan harian”, “nilai sentimental”, “barang simpanan”, dan “barang untuk dibuang”.
Imej janaan ChatGPT4o
  • Amalkan kaedah “satu masuk, satu keluar”. Caranya ialah setiap kali anda hendak membawa masuk satu barang baharu ke dalam rumah, anda mesti mengeluarkan satu barang lama dari rumah. Terpulang kepada anda sama ada untuk membuang atau mendermakannya.
  • Buang terus barang yang rosak atau tidak berfungsi. Percayalah dengan segera membuang barang yang rosak atau tidak berfungsi selepas anda cuba membaikinya akan memudahkan urusan anda pada masa hadapan.
Imej janaan ChatGPT4o
  • Libatkan keluarga dalam proses pengemasan dan pembuangan. Tidak salah untuk mendapatkan pandangan ahli keluarga ketika anda sedang melalui proses pengemasan dan pembuangan barang-barang. Proses ini dapat membantu mengurangkan rasa bersalah atau kekecewaan.
  • Cekalkan diri untuk buang barang yang tidak diperlukan. Jika anda berasa tergoda untuk menyimpan sesuatu, ingatkan diri anda tentang matlamat anda untuk menjaga rumah supaya kemas dan teratur.
Imej janaan ChatGPT4o

Dengan mengamalkan langkah-langkah tersebut secara berterusan, anda akan dapat mengatasi kekangan sifat sentimental. Malah rumah anda akan bersih sepanjang masa. Selamat mencuba!

Seorang penumpang insiden Singapore Airlines meninggal dunia

0

SINGAPURA: Seorang penumpang British berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung manakala sekurang-kurangnya 30 orang cedera dalam insiden Singapore Airlines.

Reuters

Penerbangan yang dijadualkan dari London ke Singapura menerusi pesawat Boeing 777-300ER dilencongkan ke Bangkok selepas pesawat berkenaan dilanda turbulens.

Sementara itu, lebih 140 orang penumpang dan kru penerbangan Singapore Airlines selamat tiba di Singapura pada pagi Rabu selepas pendaratan cemas di Bangkok.

Dzafran Azmir, pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan tersebut berkata kepada Reuters, “Saya melihat orang dari seberang lorong melayang ke kedudukan mendatar sepenuhnya, terhantuk ke siling dan jatuh kembali dalam posisi yang sangat janggal. Mereka mengalami luka besar di kepala, konkusi.”

Foto dari dalam pesawat menunjukkan kerosakan pada panel atas kabin, topeng oksigen dan panel tergantung dari siling serta bagasi bertaburan.

Reuters

Seorang penumpang berkata beberapa orang terhantuk kepala pada lampu di atas tempat duduk dan menyebabkan panel berlubang.

Singapore Airlines yang membawa 131 orang penumpang dan 12 orang kru menerusi penerbangan bantuan dari Bangkok tiba di Singapura sebelum pukul 5 pagi.

Terdapat 211 orang penumpang asal yang terdiri daripada rakyat Australia, British dan Singapura serta 18 orang kru, penumpang yang cedera serta keluarga mereka masih berada di Bangkok.

“Saya mewakili Singapore Airlines, mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang bagi mangsa yang meninggal dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Airlines, Goh Choon Phong.

Insiden itu sedang disiasat oleh Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) serta dibantu oleh wakil daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS. Boeing juga dikatakan akan turut serta memberi sokongan kepada Singapore Airlines.

Dilaporkan penerbangan tersebut mengalami turbulens udara yang teruk secara tiba-tiba dan juruterbang mengisytiharkan perubatan kecemasan dan penerbangan dilencongkan ke Bangkok.

Menurut penyedia penjejakan pesawat FlightRadar 24, data penjejakan penerbangan menunjukkan sekitar pukul 7.49 pagi GMT pesawat mengalami “perubahan mendadak dalam kadar menegak, konsisten dengan turbulens tiba-tiba”.

Reuters

Reuters terdahulu melaporkan Pengurus besar lapangan terbang Bangkok Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata kebanyakan penumpang yang ditemu bual memakai tali pinggan keledar ketika kejadian berlaku.

Singapore Airlines yang terkenal sebagai salah satu peneraju utama penerbangan dunia tidak mengalami insiden besar beberapa tahun lalu.

Insiden terbesar terakhir yang berlaku adalah pada 31 Oktober 2000 di mana seramai 83 daripada 179 orang penumpang maut ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Los Angeles melalui Taipei.

Mengikut rekod dari Rangkaian Keselamatan Penerbangan, Singapore Airlines telah mengalami tujuh kemalangan secara keseluruhan.

Peningkatan kes COVID-19 di Singapura, KKM bersiap sedia

0

KUALA LUMPUR: Susulan peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 di Singapura, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) siap siaga hadapi situasi sama di negara ini.

Berita Harian

Sebanyak 1,230 kes COVID-19 dilaporkan pada 12 Mei hingga 18 Mei lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak 14.8 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Walau bagaimanapun, tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan sejak 25 April.

Menurut kementerian dalam satu kenyataan, biarpun jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada minggu ke-20 menunjukkan peningkatan namun ia tidak membebankan kapasiti hospital.

Sehingga kini varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya.

“Terdapat satu kes K.P.2.1 dan satu kes K.P.1.1 dilaporkan sejak Mac 2024. Kedua-dua varian K.P.2.1 dan K.P.1.1 adalah sebahagian daripada keluarga Omicron. Secara khususnya, mereka adalah sublineage daripada JN.1.11.1.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan KP.2 sebagai Currently Circulating Variant Under Monitoring (VUM) pada 3 Mei 2024.

“Namun, kemasukan varian ini tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Datuk sSeri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di negara jiran itu membabitkan dua sub varian baharu Omicron.

Berita Harian

“KKM sedang memantau trajektori gelombang baharu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 yang dilaporkan di Singapura.”

“Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan sub varian KP.1 dan KP.2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes COVID-19 di Singapura,” Katanya.

KKM menjelaskan virus COVID-19 akan terus berada dalam komuniti dan rakyat perlu berwaspada menghadapinya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memperkasakan diri bagi menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkan kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak,” katanya.

“Wap minyak boleh bergerak 10 meter jauhnya,” Pak Cik Shell jelas mengapa masak mi segera di stesen minyak undang bahaya

0

Mengapa anda tidak boleh menyalakan api untuk memasak walaupun nampak macam anda berada jauh dari stesen minyak? Stesen minyak memang sudah biasa menjadi kawasan persinggahan sementara buat anda meletakkan kenderaan, namun lokasi ini berisiko tinggi untuk berlakunya kebakaran.

Baru-baru ini, tular video yang memaparkan sekumpulan peminat kereta Honda Jazz berkumpul di hadapan stesen minyak di Genting untuk memasak mi segera dan tindakan mereka telah mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan netizen.

Gambar @localrkyt/X

Rata-rata berpendapat perbuatan memasak di stesen minyak adalah berbahaya kerana mereka berada di kawasan yang mudah berlaku kebakaran walaupun tempat meletakkan kenderaan berada agak jauh dari pam petrol.

Sebagai maklum balas, seorang lelaki yang dikenali Pak Cik Shell tampil menerusi video di Instagramnya bagi menjelaskan mengapa orang ramai dilarang memasak berhampiran stesen minyak.

Gambar pakcikshell/Instagram

Beliau menegaskan walaupun sesetengah orang berpendapat mereka berada cukup jauh dari pam petrol maka tidak apa, tetapi tindakan ini tetap salah, “kerana wap minyak boleh merebak sejauh 10 meter dari punca seperti pam, tempat turun minyak dan vent pipe.”

Dalam video pendek yang dikongsinya itu, jelas kelihatan jarak 10 meter itu sebenarnya sangat dekat. Walaupun wap minyak tidak kelihatan, namun ia boleh bergerak untuk menyalakan api dalam sekelip mata dan menimbulkan bahaya yang besar.

Gambar pakcikshell/Instagram

Pak Cik Shell atau nama sebenarnya Shairan Huzani merupakan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd yang banyak berkongsi mengenai perihal minyak dan gas serta stesen minyak di Malaysia.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan mengambil berat akan perkara ini serta menjaga keselamatan satu sama lain ketika berada di stesen minyak.

Gambar @localrkyt/X

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya sedang mencari individu-individu yang terlibat dalam video tular memasak mi segera di stesen minyak berkenaan.

Tambahnya, kertas siasatan juga sudah dibuka mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan (menyebabkan kegusaran awam) dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri).

Lagi kemalangan menyebabkan kematian Harimau Malaya yang semakin pupus 

0

Di manakah silapnya apabila terdapat banyak kemalangan melibatkan kematian spesies terancam kepupusan Harimau Malaya yang dilindungi undang-undang?

Pada pertengahan bulan ini, satu lagi kemalangan melibatkan Harimau Malaya (harimau belang) apabila haiwan yang dilindungi itu ditemukan mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Lebuhraya Karak di Kilometer 50.8 Kuala Lumpur-Karak dari arah Kuala Lumpur berhampiran Lentang di Bentong, Pahang. 

Persatuan Haiwan Malaysia / Facebook

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.28 pagi, 16 Mei 2024.

Kemalangan dengan kenderaan yang tidak dapat mengelak ketika haiwan itu sedang melintas jalan telah mengakibatkan harimau belang jantan dengan anggaran berat 130 kilogram itu mati di tempat kejadian.

INFO BERITA SEMASA / Facebook

“Harimau belang dewasa itu dianggarkan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh, jangkaan awal kita ialah haiwan terbabit datang dari Hutan Simpan Bukit Tinggi,” kata Rozidan.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam hantaran di Facebook melaporkan dalam tempoh 6 bulan bermula November 2023 sehingga Mei 2024, negara telah kehilangan sia-sia tiga ekor Harimau Malaya akibat kemalangan maut:

Pada 21 Mac 2024, seekor harimau ditemui mati dilanggar dengan anggaran kematian telah dua hari berdasarkan keadaan bangkai yang ditemui. Harimau Malaya tersebut dianggarkan berusia antara 5 hingga 10 tahun ditemukan maut dipercayai ketika melintas Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Trong – Beruas, Perak.

Dan pada 9 November 2023, seekor Harimau Malaya turut jadi mangsa dilanggar sebuah lori treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sebelah Gua Tempurung.

Persatuan Haiwan Malaysia / Facebook

Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan bermula 2016 sehingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.

Pixabay

Walaupun Harimau Malaya dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sebagai haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya, tiada tindakan bersungguh-sungguh dijalankan oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah penurunan populasi harimau di Malaysia.

Konflik dengan manusia yang mengganggu habitat harimau dan sumber makanannya sentiasa menjadi punca Harimau Malaya berada dalam senarai spesies terancam.

Tonton video di sini.