28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, August 8, 2025
Utama Blog Laman 2

YouTuber dedah taktik PKC sebar ideologi di TikTok menerusi aktiviti budaya dan pelancongan

0

Baru-baru ini, seorang YouTuber dikenali @luiswong90 mendakwa sebuah restoran barbeku Cina di Klang, Selangor telah cuba mempromosi budaya komunisme.

YouTuber itu berkata berdasarkan maklumat daripada pengikutnya mengenai restoran itu, beliau telah bergegas bersama rakannya ke lokasi yang dimaksudkan di Bandar Botanic Klang untuk menyaksikan sendiri kebenarannya.

Katanya, setibanya di restoran berkenaan, ia kelihatan biasa sahaja di bahagian luar. Beliau berjaya merakam keadaan di dalam restoran itu yang menggunakan peralatan pinggan mangkuk, cawan seramik bersama sudu makan yang mempromosi gambar dan slogan komunisme.

@luiswong90 / YouTube

Katanya, beberapa tahun lalu, terdapat sebuah restoran di Pulau Pinang yang mempunyai kes yang hampir serupa namun pihak berkuasa telah mengambil tindakan drastik terhadap restoran terbabit.

Menurut @luiswong90, pengikut YouTubenya sudah membuat laporan polis sambil menyeru kepada orang ramai agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada individu yang mempromosi budaya komunisme di Malaysia kerana ia adalah satu perilaku yang menyalahi undang-undang.

Berikutan pendedahan video @luiswong90 yang tular, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan telah membuat serbuan ke atas restoran berkenaan dan menahan seorang pengurus restoran berusia 20 tahun kerana dipercayai menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis pada 4 Disember.

@luiswong90 / YouTube

Pengurus restoran itu diberkas oleh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada jam 10 malam.

Beliau berkata, hasil serbuan dilakukan, sebanyak lima mangkuk seramik saiz kecil warna putih berjalur biru tercatit tulisan bahasa Cina dan bergambar disyaki muka Pengasas dan Pemimpin Komunis China Mao Zedong telah dirampas.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah cawan kaca teh seramik berwarna putih berjalur biru tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar beberapa individu, selain tiga sudu sup seramik berwarna putih berjalur biru yang terdapat gambar dengan muka Mao Zedong serta 3 keping resit perniagaan bertarikh 4 Disember.

@luiswong90 / YouTube

Susulan serbuan yang dilakukan oleh PDRM, @luiswong90 memuat naik video terbaru bertajuk “Taktik Komunis China di TikTok: Ancaman kepada Malaysia”.

Menurutnya, dua orang YouTuber Taiwan dalam satu dokumentari baru-baru ini mendedahkan Parti Komunis China (PKC) membeli pempengaruh Taiwan untuk mengkhianati negara mereka dengan operasi cuci otak.

Seperti mana yang berlaku di Taiwan, dakwanya PKC juga sedang melakukan perkara yang sama di Malaysia.

“PKC menggunakan aktiviti budaya dan pelancongan sebagai cara menyusup,” katanya.

@luiswong90 / YouTube

Di Taiwan, PKC menawarkan subsidi kewangan dan aktiviti sosial untuk menarik pempengaruh dan anak muda mencipta kandungan video santai seperti makan dan berseronok.

“Pempengaruh ini digalak menyampaikan mesej mereka untuk menyukai China dan seterusnya menyokong PKC, budaya Cina disamakan dengan China lalu mengaitkannya dengan PKC,” kata @luiswong90.

Strategi yang membuatkan orang yang mencintai budaya Cina atau China untuk percaya mereka juga perlu menyokong Parti Komunis China.

YouTuber itu mendedahkan sudah melihat bukan sahaja pempengaruh Cina di Malaysia, malahan pempengaruh Melayu turut termakan taktik yang digunakan PKC melalui TikTok untuk membuat video memuji kehebatan China.

@luiswong90 / YouTube

“Untuk menentang propaganda ini, ingatlah sebanyak mana pun keindahan yang dimiliki China, ia tidak mewakili PKC bukan sebagai sistem diktator.

“Ia juga tidak mewakili fakta bahawa PKC tidak menindas orang Uyghur atau cuba menceroboh laut dalam wilayah negara kita,” pesan @luiswong90 supaya menentang penyusupan unsur komunisme di Malaysia.

Tonton video di bawah:

Bil rawatan belum dijelaskan, hospital swasta tahan ibu dan jenazah bayi disimpan dua minggu

0

Tular di media sosial apabila seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna sifat dan didakwa dihina oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta di Klang.

Menurut satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur.

Wan Cai mendedahkan bayi berkenaan disimpan selama dua minggu di dalam peti beku, selain ibunya ditahan oleh pihak hospital kerana tidak membayar kos rawatan di situ.

Mr Wan Cai Official / Facebook

Beliau mempersoalkan motif pihak hospital menahan ibu bersama jasad bayi dan mempertikaikan sifat kemanusiaan doktor di hospital terbabit.

“Dalam isu yang berlaku, jelas tindakan pemilik hospital menahan jenazah adik Adham dari diuruskan adalah satu tindakan tidak wajar dan kejam.

“Seperti yang dimaklumkan, pihak hospital menahan ibunya keluar dari wad selagi bayaran tidak dibuat oleh si bapa.

“Yang menjadi persoalan, kenapa jenazah adik Adham perlu ditahan dan disimpan di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu?

“Bukankah si ibu sudah ditahan untuk dijadikan jaminan kepada pihak hospital,” soal Wan Cai menerusi hantaran itu.

Mr Wan Cai Official / Facebook

Difahamkan bil yang sepatutnya dibayar kepada pihak hospital dianggarkan kira-kira RM3,600 dan dijelaskan oleh bapa bayi berkenaan pada jam 11 pagi 11 Disember.

Wan Cai menjelaskan, pihaknya yang menguruskan bayi itu terpaksa menggunakan air panas yang dicampur air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi berkenaan.

Menurut hantaran itu juga, Wan Cai memaklumkan ibu bayi berkenaan mengadu sakit sebelum dihantar oleh jiran ke sebuah hospital swasta.

“Ketika kejadian suaminya sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya,” katanya.

Mr Wan Cai Official / Facebook

Pada hantaran itu, satu video menunjukkan jenazah bayi berkenaan dimandikan, disolatkan dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Selangor pada 11 Disember.

Katanya, pengurusan jenazah bayi itu dapat sempurna diselesaikan setelah menerima hasil sumbangan orang ramai kepada pihak pengurusan jenazah berkenaan.

Polis serbu restoran barbeku di Klang promosi budaya komunis

0

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah restoran barbeku yang dikesan mempromosikan budaya komunisme dengan mempunyai peralatan hidangan makanan dan minuman yang memaparkan cetakan gambar pemimpin komunis di Bandar Botanic, Klang, Selangor, pada 5 Disember.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, ke sebuah restoran di Jalan Kasuarina 6, pada jam 10 malam berdasarkan risikan yang dijalankan susulan pendedahan satu video yang tular di YouTube.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. (Gambar NSTP)

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya mengambil tindakan segera menyerbu restoran itu selepas didapati terdapatnya elemen yang mempromosikan budaya komunis.

“Pada peringkat awal, kita menerima maklumat ini daripada pautan YouTube atas akaun ‘luiswong90’ sebelum menjalankan risikan lanjut.

“Susulan risikan yang dibuat, Polis Daerah Klang Selatan melakukan serbuan dan menahan seorang lelaki yang juga pengurus restoran terbabit berusia 20 tahun.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas lima mangkuk seramik berwarna putih tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar muka Pemimpin Komunis China, Mao Zedong bersama rakan-rakannya; cawan kaca teh seramik tercatit tulisan Bahasa Cina berserta gambar; sudu sup seramik mempunyai gambar Mao Zedong dan resit perniagaan,” katanya.

@luiswong90/YouTube

Razarudin berkata, hasil soal siasat terhadap suspek yang bekerja sejak Oktober tahun lalu, peralatan hidangan itu dibeli oleh rakan pemilik restoran yang tinggal di negara China untuk digunakan di restoran berkenaan.

“Permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Klang selama dua hari sehingga 7 Disember, untuk siasatan lanjut dan semakan lesen akan dibuat kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Semakan ke atas pemilik akaun ‘luiswong90’ juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memastikan tiada pihak yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian negara selain mendatangkan kegusaran awam.

Hong Kong memperketat saringan kesihatan lapangan terbang ekoran penyakit misteri di Congo ragut 79 nyawa

0

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong telah memperketatkan saringan kesihatan di lapangan terbang untuk semua penerbangan yang tiba dari hab transit Afrika sebagai langkah persediaan menghadapi potensi risiko yang dikaitkan dengan penyakit misteri yang belum dikenal pasti di Republik Demokratik Congo, lapor South China Morning Post (SCMP).

Menurut Pusat Perlindungan Kesihatan (CHP), wabak di Congo telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 79 kematian dan lebih 300 jangkitan sejak akhir Oktober, yang dilaporkan berlaku di Panzi di wilayah barat daya Kwango.

Gambar SCMP

Menurut SCMP, simptom penyakit yang dilaporkan oleh pegawai kesihatan Congo termasuk demam, sakit kepala, hidung berair (selesema), batuk, kesukaran bernafas dan anemia, terutamanya yang menjangkiti individu berumur 15 tahun ke atas.

CHP memaklumkan telah menghubungi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, dan pihak berkuasa kesihatan Congo bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan wabak.

Walaupun tiada penerbangan terus antara Congo dan Hong Kong, CHP berkata pengembara biasanya akan tiba ke bandar itu melalui hab transit Afrika, seperti Johannesburg di Afrika Selatan dan Addis Ababa di Ethiopia.

Dilaporkan sebagai langkah berjaga-jaga, CHP telah segera meningkatkan pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang untuk penumpang dalam semua penerbangan yang tiba di Hong Kong dari hab transit.

Pengembara dalam penerbangan ini akan menjalani pemeriksaan suhu, dan mereka yang menunjukkan gejala akan dinilai oleh petugas kesihatan, dan akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan jika perlu.

Pihak berkuasa Hong Kong telah memperketatkan langkah saringan kesihatan di lapangan terbang untuk semua penerbangan yang tiba dari hab transit Afrika. (Gambar AFP)

CHP menasihatkan para pengembara supaya berwaspada dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengelakkan kawasan sesak atau berhubung dengan individu yang sakit, serta mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka berasa tidak sihat selepas kembali ke Hong Kong.

Dalam satu sidang media, Dieudonne Mwamba, Ketua Pengarah Institut Kesihatan Awam Nasional Republik Demokratik Congo Dieudonne Mwamba berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada penyakit ini berpunca daripada virus atau bakteria.

“Pasukan intervensi khas dihantar ke lapangan untuk mengenal pasti sifat penyakit ini.

“Kami masih menunggu keputusan analisis awal bagi menentukan penyebab sebenar,” katanya.

Tambah Mwamba, kadar kematian sekitar 7.8 peratus di wilayah Kwango tidak sepadan dengan ciri-ciri COVID-19, namun analisis lanjut akan dilakukan.

Fenomena air laut terbahagi dua di Kelantan

0

Fenomena air laut terbahagi dua atau terbelah seperti yang berlaku di beberapa tempat seperti di Langkawi, Kedah baru-baru ini terjadi pula di Kota Bharu, Kelantan.

Kejadian itu berjaya dirakam juruvideo Shah Saleh yang menunjukkan fenomena tersebut berlaku apabila air dari Sungai Kelantan bertemu air Laut China Selatan di Kuala Besar, Kota Bharu.

Facebook

Klip video yang diambil menggunakan dron itu menunjukkan keajaiban alam berkenaan selepas negeri itu dilanda bencana banjir besar sejak hujung minggu lalu.

“Air Sungai Kelantan bertemu air Laut China Selatan di Kuala Besar. Di situlah pengakhiran air Sungai Kelantan dan akan bertemu air laut.

Facebook

“Ini sudah tertulis dalam al-Quran di mana Allah telah jadikan air laut terbelah dua yang satunya masin dan satu lagi air tawar dan Allah ciptakan juga di bawah lautan yang besar dan luas terdapat air sungai,” tulisnya.

Facebook

Katanya lagi, air tawar di bawah lautan besar itu diciptakan tidak sama sekali akan bercampur dengan air masin dari laut.

“Sungguh besar ciptaan Allah di atas muka bumi ini, Subhanallah,” kata Shah Saleh.

Presiden Korea Selatan tarik balik pengisytiharan undang-undang tentera selepas desakan Parlimen

0

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengumumkan penarikan semula perintah undang-undang tentera (darurat) susulan undian di Parlimen yang membatalkan pengisytiharan berkenaan.

Menurut Yoon, beliau akan menarik balik perintah undang-undang tenteranya sebaik sahaja mendapat tahap sokongan yang diperlukan daripada Kabinetnya.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berucap semasa taklimat media di pejabat presiden di Seoul, Korea Selatan, pada 3 Disember 2024. (Gambar AP)

Kabinet kemudian meluluskan usul penamatan undang-undang darurat itu pada jam 4.30 pagi 4 Disember, kira-kira enam jam selepas Suk-yeol mengisytiharkannya pada jam 11.00 malam 3 Disember, sambil menuduh pembangkang ‘melumpuhkan’ kerajaan dengan ‘aktiviti anti-negara’.

Serentak itu, Presiden Yoon turut menarik balik tentera yang dikerahkan untuk melaksanakan perintah tersebut selepas Dewan Negara mengundi dengan 190 Ahli Parlimen sepakat menyekat dekri itu.

Dalam kenyataan terbaharu itu juga, beliau sekali lagi menyerang parti pembangkang kerana mengecewakan langkah kerajaannya, menggandakan justifikasi awal untuk perintah itu.

“Undang-undang tentera ini bertujuan membanteras kumpulan pro-Korea Utara dan melindungi kestabilan perlembagaan berteraskan kebebasan,” kata Yoon dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Langkah ini diambil selepas Parti Demokratik pembangkang meluluskan rang undang-undang belanjawan berskala kecil dalam jawatankuasa belanjawan Parlimen, selain mengemukakan usul pendakwaan terhadap seorang juruaudit negara dan ketua pendakwa raya.

Tentera Korea Selatan cuba memasuki Dewan Perhimpunan di Seoul, Korea Selatan, pada 3 Disember 2024 selepas Presiden Yoon Suk Yeol mengumumkan perintah undang-undang tentera. (Gambar oleh Chung Sung-Jun/Getty Images)

Berikut adalah kenyataan penuh Presiden Yoon Suk Yeol:

“Seluruh rakyat yang dihormati, saya mengisytiharkan undang-undang tentera pada pukul 11 malam tadi dengan tekad yang kuat untuk menyelamatkan negara daripada pasukan anti-negara yang cuba melumpuhkan fungsi penting negara dan memusnahkan perintah Perlembagaan demokrasi liberal.

“Bagaimanapun, sebentar tadi, Dewan Negara menuntut supaya undang-undang tentera ditarik balik, maka tentera yang dikerahkan untuk urusan undang-undang tentera ditarik balik.

“Undang-undang tentera akan ditarik balik serta-merta dengan menerima permintaan Dewan Negara melalui mesyuarat Majlis Negeri (Kabinet).

“Bagaimanapun, walaupun kita telah segera mengadakan mesyuarat Majlis Negeri, memandangkan masih awal pagi dan kuorum penyelesaian masih belum dipenuhi, undang-undang tentera akan ditarik balik sebaik sahaja ia dicapai.

“Bagaimanapun, kami meminta Dewan Negara untuk segera menghentikan tindakan melulu yang melumpuhkan fungsi negara melalui pemecatan berulang, manipulasi perundangan dan manipulasi bajet.”

Rakyat berkumpul di luar Dewan Perhimpunan di Seoul pada 4 Disember 2024, selepas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera. (Gambar oleh Anthony Wallace/AFP/Getty Images)

Ini yang perlu diketahui mengenai penggunaan undang-undang tentera di Korea Selatan:

  • Perlembagaan Korea Selatan membenarkan penggunaan undang-undang tentera apabila dianggap perlu untuk bertindak balas terhadap ancaman ketenteraan atau untuk mengekalkan keselamatan awam.
  • Ketika mengumumkan perintah itu, Yoon berjanji untuk menghapuskan pasukan “anti-negara” dan menuduh Parti Demokratik liberal yang menentang bersimpati dengan komunis Korea Utara.
  • Undang-undang Korea Selatan membenarkan perintah undang-undang tentera ditarik balik dengan undi majoriti di parlimen.
  • Parti Demokratik Korea Selatan mempunyai kawalan majoriti ke atas parlimen, dan kesemua 190 ahli parlimen yang mengambil bahagian dalam undian menyokong penarikan perintah undang-undang tentera.
  • Anggota tentera pada mulanya ditempatkan di bangunan parlimen untuk cuba menghalang penggubal undang-undang daripada masuk dan mengundi untuk membatalkan pengisytiharan Yoon.
  • Selepas undian, tentera berkata perintah itu akan kekal berkuat kuasa sehingga Yoon menarik balik, sebelum akhirnya meninggalkan bangunan itu.
  • Penunjuk perasaan berkumpul di luar semasa pengundian dan bertempur dengan anggota tentera selepas mereka keluar.
  • Han Dong-hoon, ketua Parti Kuasa Rakyat (PPP) konservatif Yoon, menggelar perintah undang-undang tentera sebagai “salah” dan berjanji untuk “menghentikannya bersama rakyat.”
Kehadiran polis mengawal keadaan di luar Dewan Perhimpunan Korea Selatan di Seoul pada 4 Disember 2024, selepas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera mengejut pada jam 11 malam 3 Disember 2024, sebelum membatalkannya beberapa jam kemudian. ( Gambar The Epoch Times )
  • Undang-undang tentera telah diisytiharkan di Korea Selatan beberapa kali sejak penubuhan negara itu sebagai Republik pada tahun 1948.
  • Dua kejadian yang berlaku pada 1961 dan 1980 apabila pegawai tentera Park Chung-hee dan Chun Doo-hwan, masing-masing, melakukan rampasan kuasa tentera.
  • Yoon memenangi pilihan raya 2022 dengan kurang daripada 1 peratus undi, dan penilaian ratingnya tidak berubah pada sekitar 20 peratus selama berbulan-bulan.
  • PPP Yoon hilang kawalan parlimen dalam pilihan raya awal tahun ini.
  • Yoon dan partinya berhadapan percanggahan pendapat dengan pembangkang liberal mengenai rang undang-undang bajet 2025 negara, dan pembangkang yang sama telah cuba meluluskan usul untuk mendakwa tiga pendakwa raya tertinggi, termasuk mereka yang sedang menyiasat Lee Jae-myung, pemimpin Parti Demokratik.
  • Lee tewas kepada Yoon pada 2022 dan merupakan pencabar utama untuk pilihan raya presiden akan datang, menurut tinjauan pendapat.

Air bah merah di Kelantan jadi bualan warga siber

0

PETALING JAYA: Bencana banjir di Bachok, Kelantan jadi bualan warga siber apabila tular video yang memaparkan air bah itu bertukar menjadi warna merah.

TikTok

Menerusi perkongsian di TikTok Azam Jusoh, air bah merah kelihatan di perkarangan rumahnya dekat Kampung Telaga Bata, kelmarin.

Ramai warga siber yang memberikan pendapat masing-masing ekoran kejadian itu. Antaranya mereka beranggapan pencemaran tersebut berpunca dari tempat pembuatan kain batik.

Selain itu, ada juga yang meluahkan kebimbangan sekiranya kejadian bah merah berulang kembali di negeri itu.

Untuk rekod, air bah merah merujuk kepada bencana banjir besar yang pernah berlaku di Kelantan pada tahun 1926.

TikTok

Kejadian tersebut dikatakan berlaku apabila air bah bercampur dengan air pasang yang menyebabkan ia bertukar menjadi merah.

Walau bagaimanapun, menurut Azam Jusoh, kejadian tersebut sebenarnya berpunca daripada pewarna sos yang tumpah dari sebuah kilang berhampiran.

Kosmo! Online melaporkan setakat ini banjir gelombang pertama di Kelantan semakin pulih apabila seramai 34,200 orang mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing susulan cuaca semakin baik di kebanyakan kawasan di negeri itu sejak semalam.

Banjir 6 negeri memburuk, lebih 35,000 mangsa ditempatkan di PPS

0

Bilangan penduduk terjejas akibat banjir di enam negeri dilaporkan meningkat apabila 35,426 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi 28 November.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 305 PPS telah dibuka di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Johor dan Perak.

Gambar Bernama

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 29,113 orang yang ditempatkan di 305 PPS di sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Ia menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 12,526 mangsa banjir di Kelantan setakat 4 petang 27 November.

Jumlah mangsa banjir juga meningkat di Terengganu, daripada 1,851 pada 27 November kepada 5,906 pada 8 pagi 28 November. Penduduk terjejas ditempatkan di 144 pusat perlindungan di enam daerah.

Gambar Bernama

Keadaan juga bertambah buruk di Kedah dan Perlis, yang masing-masing mencatatkan seramai 180 dan 179 orang mangsa.

Di Perak dan Johor, jumlah mangsa banjir masing-masing kekal 20 dan 28 orang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga Jumaat, 29 November.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk bagi tempoh sama.

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang; Pulau Pinang; Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar).

Amaran sama juga dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah hingga 29 November.

Eva dan Luna curi tumpuan bersaing dengan Moo Deng untuk mahkota haiwan tercomel di Thailand

0

Nampaknya Moo Deng, anak badak air tular, mempunyai persaingan serius untuk merebut mahkota haiwan paling comel di Thailand, negara yang ada banyak haiwan comel-comel belaka.

Terbaru Eva dan Luna, dua beradik harimau emas baka jarang ditemui yang menakjubkan telah berjaya mencuri hati para pengunjung di Chiang Mai Night Safari, Thailand.

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Eva, anak harimau emas berusia 3 tahun, menjadi tular selepas safari itu berkongsi gambarnya pada 19 November 2024, mendapat lebih 37,000 reaksi dan 29,000 perkongsian di Facebook.

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Daya tarikannya dengan wajah unik dan bermata comel, seperti rupa anak patung memberikan perasaan hangat memikat kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Sebelum itu kakaknya Luna, pertama kali diperkenalkan kepada umum pada 29 Oktober 2024 dalam satu hantaran yang menggambarkannya sebagai “harimau emas berwajah manis.”

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Walaupun penampilan sulungnya lebih senyap berbanding Eva, Luna masih memikat hati dengan sifatnya yang tenang dan anggun.

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Hantaran Chiang Mai Night Safari yang memaparkan Luna berehat di tepi kolam dan berendam di bawah sinaran matahari menerima 4,800 reaksi dan 1,500 perkongsian, membuktikan kuasa bintangnya yang tersendiri.

Eva dan Luna adalah sebahagian daripada kumpulan baka harimau yang sangat jarang ditemui dikenali “harimau emas” atau “harimau strawberi.”

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Warna unik mereka disebabkan oleh gen resesif yang mempengaruhi pigmentasi bulu. 

Chiang Mai Night Safari / Facebook

Menurut Bangkok Post, walaupun harimau putih berlaku kira-kira 1 dalam setiap 10,000 kelahiran harimau, harimau emas lebih jarang berlaku, dengan kurang daripada 100 ekor dipercayai wujud di seluruh dunia.

Pemandu lori mengundur ditahan, kemalangan menyebabkan penunggang motosikal maut

0

Polis trafik Kuala Lumpur mengesahkan kemalangan maut di hadapan The Sphere di Bangsar South, yang terbaru dalam siri kemalangan membabitkan lori.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, pihaknya menerima laporan kejadian kemalangan membabitkan motosikal, lori dan kereta pada pagi 23 November.

@shahrimtamrin/X

Mohd Zamzuri memaklumkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang merupakan penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori pengangkut yang secara tiba-tiba mengundur dari tapak pembinaan.

Dalam kenyataannya, Mohd Zamzuri berkata pemandu lori itu, juga seorang lelaki berusia 32 tahun, berada di tapak pembinaan untuk mengisi minyak brek kenderaan itu sebelum ia tiba-tiba bergerak mengundur dengan sendirinya.

Lori mengundur itu kemudian merempuh pagar pintu keselamatan menuju ke jalan utama menyebabkan sebuah motosikal Modenas Kriss hilang kawalan ketika penunggangnya cuba mengelak.

@shahrimtamrin/X

Mangsa kemudian terjatuh dan terperosok di tayar belakang sebelah kanan lori itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lori itu turut melanggar sebuah kereta Honda Jazz yang mana pemandunya, seorang lelaki yang sedang melalui jalan utama ketika itu, mengalami kecederaan di dahi.

Kejadian ini berlaku sekitar jam 8.34 pagi, 23 November di Jalan Kerinchi, dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru, berhadapan The Sphere Bangsar South.

Pemandu lori sudah ditahan pada hari yang sama untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.

Gambar Sinar Harian

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan keluarga mangsa yang maut, Mohd Hanis Sehat merancang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemandu lori berkenaan.

Abang kepada mangsa, Muhammad Hanif Sehat berkata mereka sekeluarga berharap agar pemandu lori yang menyebabkan kemalangan maut itu dikenakan hukuman setimpal di atas apa yang berlaku.