TOKYO: Jepun melaporkan peningkatan kes Covid-19 dan influenza secara serentak di seluruh negara, menurut data rasmi, mendorong kementerian kesihatan untuk mengambil langkah pencegahan semasa musim sejuk.
Jumlah kes influenza baharu meningkat kepada 44,673 pada 8 Disember, kira-kira 20,000 lebih berbanding minggu sebelumnya, dengan anggaran 347,000 pesakit di seluruh negara.

Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat kepada 15,163 dalam tempoh yang sama, meningkat lebih 3,200 berbanding tujuh hari sebelumnya dan ini merupakan minggu kedua berturut-turut kes baharu dilaporkan meningkat, dengan lebih 1,600 pesakit baharu dimasukkan ke hospital.
Purata 9.03 pesakit influenza baharu mendapatkan rawatan di institusi perubatan termasuk hospital dan klinik, dengan kebanyakan kes baharu dilaporkan di wilayah Fukuoka dan Oita, Jepun barat, diikuti Chiba, di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Narita terletak.
Jumlah tertinggi pesakit baharu Covid-19 dilaporkan di wilayah Akita dan Hokkaido utara.

Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun berkata jangkitan cenderung merebak semasa musim sejuk setiap tahun, dan mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan asas dengan serius, termasuk memakai pelitup muka serta mencuci tangan serta berkumur secara berkala.
Bagi mengurangkan penularan penyakit, kementerian menyarankan orang ramai perlu mematuhi etika batuk dengan menutup mulut atau hidung dengan tisu atau menutup pada siku atau jaket masing-masing.
Menurut kementerian, gejala influenza biasa menjejaskan saluran pernafasan yang termasuk batuk, sakit kepala, hidung berair, demam, keletihan dan sakit sendi. Ia boleh menjadi lebih teruk di kalangan warga emas, bayi atau mereka yang mempunyai sistem imun yang terjejas.

Data Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan melaporkan lebih 32,000 warga Jepun meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh 12 bulan selepas Mei 2023 apabila kebanyakan langkah pencegahan kesihatan termasuk kuarantin untuk kes positif ditarik balik, dengan mereka yang berusia 65 tahun ke atas menyumbang 97 peratus daripada kematian.
Terdapat 2,244 kematian berkaitan influenza dalam tempoh sama.