33.8 C
Kuala Lumpur
Friday, July 18, 2025
Utama Blog Laman 16

Jin Wei akur tewas di tangan pemain ranking ke-17 dunia

0

PARIS: Pemain perseorangan wanita badminton Goh Jin Wei akur tewas di tangan pemain ranking ke-17 dunia Kim Ga Eun dalam aksi terakhir Kumpulan H.

OLYMPICS.COM

Pertemuan sengit antara Jin Wei dan Ga Eun berakhir selepas 65 minit bertarung dengan keputusan akhir memihak kepada Ga Eun.

Pada set pertama Jin Wei kalah kepada Ga Eun dengan mata 17-21. Namun dia bangkit dan berjaya menewaskan Ga Eun dengan mata 22-20 pada set kedua.

Walau bagaimanapun, selepas bermain selama 25 minit dalam set ketiga di Porte de La Chapelle Arena, Jin Wei akur tewas kepada Ga Eun dengan mata akhir 21-23.

Ga Eun dikatakan lebih bijak mengawal tekanan apabila bangkit sehingga berjaya mengikat keputusan 21-21 sebelum memintas Jin Wei dengan lebihan dua mata.

BERITA HARIAN

Dengan kekalahan tersebut, maka berakhirlah perjalanan bekas juara remaja dunia itu di Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir.

Memetik laporan yang dikongsi Berita Harian, Jin Wei berkata dia tidak mahu memberi sebarang alasan apabila menyifatkan kekalahan itu adalah berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.

“Memang ada peluang tetapi saya tidak dapat menyudahkannya. Ga Eun mengawal tekanan dengan lebih baik dalam perlawanan hari ini.”

“Saya tidak mahu beri sebarang alasan kerana apa yang berlaku disebabkan kesilapan saya sendiri.”

“Saya akan lihat semula rakaman perlawanan hari ini dan tengok apa lagi yang kurang untuk saya perbaiki,” Kata Jin Wei.

Menurut pemain ranking ke-32 dunia ini, kekalahan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain badminton.

“Saya akan terus berjuang, saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya dalam hidup ini.”

“Saya akan perbaiki kelemahan untuk menghadapi cabaran seterusnya tetapi buat sementara saya mahu berehat dulu,” Kata Jin Wei.

Biarpun gagal membawa pulang sebarang pingat, namun pencapaian layak beraksi di Olimpik Paris merupakan satu pencapaian membanggakan buat Jin Wei.

BERITA HARIAN

Hal ini dikatakan demikian kerana Jin Wei pernah mengumumkan persaraan pada September 2021 selepas terpaksa menjalani pembedahan membuang usus perutnya.

Sungguhpun begitu, Jin Wei keluar daripada persaraannya lima bulan dan bergelar pemain profesional.

Pada Olimpik kali ini, Jin Wei berdepan dengan cabaran apabila tidak dapat ditemani jurulatihnya, Nova Armada.

Ini disebabkan oleh kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Jin Wei dibantu Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.

Rekod menunjukkan pencapaian terbaik pemain perseorangn wanita negara di Sukan Olimpik adalah menerusi Datin Wong Mew Choo yang mara ke suku akhir edisi Olimpik Beijing 2008.

Atlet Turkiye selamba beraksi dalam acara menembak tanpa peralatan khas, menang pingat perak Olimpik

0

Dua atlet Turkiye iaitu Yusuf Dikec dan Sevval Ilayda Tarhan mencatat sejarah buat negara mereka selepas memenangi pingat perak dalam acara menembak 100 meter kategori campuran pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pasangan penembak Turkiye itu bersemuka dengan atlet dari Serbia Damir Mikec dan Zorana Arunovic dalam perlawanan akhir. 

@TurkishArc / X

Beraksi dalam persaingan yang sengit, Dikec dan Tarhan akhirnya terpaksa akur dengan meraih pingat perak selepas menamatkan perlawanan dengan mata 16-14.

Dalam acara menembak itu, atlet Yusuf Dikec yang berusia 51 tahun menjadi tular dan memukau perhatian penonton dengan kekaguman apabila tampil beraksi dengan begitu selamba tanpa memakai peralatan yang lazimnya dipakai oleh atlet menembak.

Facebook

Kebiasaannya, mereka akan memakai beberapa peralatan khas seperti kanta mengelak penglihatan kabur, kanta ketepatan lebih baik dan pelindung telinga bagi mengurangkan bunyi tembakan dan sorakan penyokong.

Akan tetapi, Yusuf Dikec tidak memakai ketiga-tiga peralatan ini melainkan hanya memakai kaca mata biasa, sambil selamba meletak tangan di poket seluar ketika beraksi, namun masih berjaya memenangi pingat perak untuk pasukan negaranya.

Pingat perak ini adalah pencapaian besar dan membanggakan kerana ia adalah pingat Olimpik pertama Turkiye dalam acara menembak. Menteri Belia dan Sukan Turkiye, Osman Askin Bak turut hadir memberikan sokongan untuk kedua atlet ini.

Selain menembak, Turkiye mempunyai sejarah cemerlang dalam acara gusti, angkat berat, taekwondo, tinju, karate, olahraga, judo, memanah dan gimnastik.

Kemaraan Tang Jie-Ee Wei terkandas di suku akhir, tewas kepada pasangan Korea Selatan

0

PARIS: Hasrat beregu badminton campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk terus mara menjelmakan kilauan pingat di pentas sukan Olimpik Paris 2024 terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan.

Aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu sukar untuk menyekat kemaraan gandingan nombor lapan dunia, Kim Won Ho-Jeong Na Eun sebelum tewas 19-21,14-21.

Berita Harian Online / Facebook

Set pertama menyaksikan pasangan negara memberi tentangan sengit kepada Won Ho-Na Eun apabila saling mengutip mata.

Namun, kecederaan yang dialami Ee Wei ketika kedudukan 9-11 menyebabkan rentak pasangan negara terbabit terganggu sebelum akur tewas 19-21 pada set pertama.

Pasangan negara cuba bangkit pada set kedua namun rentak permainan yang dipamerkan mereka serba tidak menjadi hingga satu ketika ketinggalan 1-10.

Usaha wakil negara untuk cuba mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berjaya apabila pasangan Korea Selatan itu terus melakukan serangan bertali arus untuk menjarakkan kedudukan sebelum memenangi perlawanan 21-14.

Walaupun tewas, pasangan beregu campuran negara itu boleh berbangga apabila penampilan pertama di pentas Olimpik berjaya membawa mereka hingga ke pusingan suku akhir.

Pasangan Korea Selatan itu akan bertemu rakan senegaranya, Seo Seung-jae and Chae Yu-jung di pentas separuh akhir.

Olimpik Paris: Beregu wanita Pearly-Thinaah mara ke suku akhir, tumpaskan pasangan Indonesia

0

PARIS: Beregu badminton wanita negara Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan (Kedudukan dunia: 13) mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok lapan pemain terbaik dunia dengan mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Pearly dan Thinaah menundukkan Siti Fadia Silva Ramadhanti dan Apriyani Rahayu dari Indonesia (kedudukan dunia: 9) dengan kemenangan straight set 21-18, 21-9 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.

Pasangan beregu kesayangan negara itu pada mulanya tewas kepada Chen Qingchen dan Jia Yifan dari China (Kedudukan Dunia: 1) pada pusingan pertama tetapi berjaya menewaskan Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara dari Jepun (Kedudukan Dunia: 6) pada pusingan kedua.

Kemaraan Pearly dan Thinaah ke suku akhir juga adalah hasil kemenangan beregu wanita nombor satu dunia dari China menentang Jepun.

@olympicmas / X

Saingan Kumpulan A disifatkan sebagai “kumpulan maut” apabila pasangan beregu wanita dari China, Jepun dan Indonesia kesemuanya mempunyai rekod cemerlang serta pernah merangkul gelaran juara dunia.

Pearly Tan dan M.Thinaah akan berdepan pemenang pingat gangsa Olimpik edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 Khamis ini.

Gua Niah rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

0

Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak kini telah diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pada 27 Julai lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) mengumumkan 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia memberikan pengiktirafan berprestij itu semasa sesi mesyuarat ke-46 di New Delhi, India, yang berlangsung pada 21 Julai hingga 31 Julai 2024.

Niah National Park

Proses pencalonan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bermula sejak 2019, dengan senarai tentatif dokumen diserahkan kepada UNESCO pada 22 Januari 2021.

Dokumen rasmi telah diserahkan kepada Sekretariat UNESCO di Paris pada 31 Januari 2023.

Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Negara Niah, juga dikenali sebagai Gua Niah merupakan tapak rangka manusia tertua yang ditemui di Asia Tenggara, menjadikannya mercu tanda bersejarah dan tapak warisan arkeologi yang penting.

Kompleks gua batu kapur itu telah meninggalkan rangka dan tengkorak manusia yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 50,000 tahun, serta artifak berbentuk lukisan di dinding gua, keranda berbentuk bot, dan perhiasan yang diperbuat daripada tulang, batu, atau tanah liat.

Dengan pengiktirafan terbaru ini, Malaysia kini mempunyai lima Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ini termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town (2008), dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).

Menurut MOTAC, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia UNESCO menjadi idaman oleh seluruh negara di dunia kerana ia adalah pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.

“Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan, memperlihatkan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong,” kata MOTAC.

Malaysia kini sedang berusaha mencalonkan beberapa lagi kawasan lain sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk Taman Hutan FRIM Selangor, Taman Negeri Royal Belum, dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).

Pekedai beri selonggok durian udang merah bantu warga emas

0

Baru-baru ini kisah seorang pekedai memberikan selonggok durian udang merah bantu warga emas mencuri perhatian ramai.

Menurut pemilik Restoran Mr Patin House yang terletak di Balok Kuantan, Pahang, seorang lelaki warga emas datang ke kedainya ketika kedai hampir tutup.

Lelaki berusia sekitar 70-an itu datang dan menghulurkan sekeping nota berbunyi, “Pakcik nak minta buah satu biji anak pakcik nak makan tapi pakcik tak ada duit. Terima Kasih.”

Menurut pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal, dia tidak berada di kedai ketika warga emas itu datang ke kedainya. Hanya pekerjanya sahaja yang membantu warga emas tersebut.

Mengikut cerita Rizal kepada Mstar, sebaik sahaja menerima nota tersebut, pekerjanya terus memberikan selonggok durian udang emas.

Difahamkan warga emas tersebut hanya mahukan durian yang murah harganya namun mereka memberikan durian yang lebih berkualiti kepada warga emas berkenaan.

Bagi mengelakkan salah faham, warga emas tersebut turut menunjukkan kad orang kurang upaya (OKU) bisu yang dimilikinya.

Rizal bersyukur kerana pekerjanya pantas membantu warga emas tersebut.

Ramai warga siber yang membaca kisah tersebut memuji sikap pekedai tersebut yang sudi berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan pertolongan.

Murid sekolah rendah di Sandakan maut dalam kes keracunan makanan terbaru

0

SANDAKAN: Seorang murid Tahun 4 di sebuah sekolah rendah di Sandakan, Sabah, meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan pada 25 Julai lalu, yang terbaru dalam siri kes keracunan makanan di seluruh negara.

Mohd Mifzal Anaqi Rizal, 10, pelajar di Sekolah Kebangsaan Taman Rimba Sandakan juga pelatih bola sepak di bawah akademi bola sepak sekolah berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook rasmi mereka, akademi itu berkata Mohd Mifzal, yang pernah mewakili akademi itu dalam kategori bawah 10 tahun, meninggal dunia di rumahnya.

Gambar Daily Express

Sementara itu, ADUN Sekong Alias ​​Sani berkata beliau akan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sama ada kematian Mifzal disebabkan makanan yang tercemar atau kekurangan air bersih di Sandakan.

Dalam perkembangan terbaru, Daily Express melaporkan kematian Mohd Mifzal akibat keracunan makanan telah disahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, bagaimanapun ia berpunca daripada makanan yang dibeli oleh bapanya, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna pada Ahad, 28 Julai.

Jelasnya, keracunan makanan Mohd Mifzal bukan disebabkan makanan dari sekolahnya, kerana ibunya turut mengalami simptom yang sama.

Siri kes keracunan makanan di seluruh negara hangat diperkatakan baru-baru ini.

Gambar Hiasan

Ini termasuk satu kes di Gombak, Selangor, yang membawa kepada kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Kes itu menyaksikan 82 orang, termasuk dua yang maut, mengalami keracunan makanan daripada makanan yang disediakan pada satu majlis di sebuah sekolah di Gombak.

Kejadian sama dilaporkan bulan lalu membabitkan 90 pelajar dan sembilan kakitangan sekolah di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor serta 91 pelajar di sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah beberapa hari lalu.

Awal bulan ini, 28 pelajar SM Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di George Town, Pulau Pinang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan selepas mereka memakan hidangan ayam tandoori di sekolah mereka.

Olimpik Paris: Tang Jie-Ee Wei kejutkan pasangan No 2 dunia

0

PARIS: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar satu lagi kejutan buat Malaysia apabila berjaya menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selaku juara Kumpulan D, dalam perlawanan pagi tadi, waktu tempatan.

Pertarungan selama 70 minit di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan beregu campuran negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu meraih kemenangan menakjubkan 17-21, 21-15, 21-16.

Gambar OCM

Setelah tewas di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit menggegar venue pertandingan yang dibanjiri kira-kira 8,000 penonton seawal 8.30 pagi waktu tempatan, dengan mempamerkan permainan terbaik mereka untuk mendominasi dua set berikutnya.

Berdasarkan format perlawanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan berdepan naib juara kumpulan dan hanya akan diketahui dalam undian esok, selepas semua aksi peringkat kumpulan acara beregu selesai.

Naib juara Terbuka Switzerland dan Thailand Masters itu memulakan kempen pada Sabtu dengan menewaskan pasangan Singapura Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12, sebelum meraih kemenangan kedua mengatasi wakil Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22.

Gambar Reuters

Mengenai kemenangan hari ini, Ee Wei berkata keberanian mereka untuk melawan secara berhabis-habisan menentang Yan Zhe-Dong Ping tanpa mempedulikan status juara bertahan seteru mereka itu, berjaya mengubah keputusan ‘atas kertas’.

“Sebagai juara bertahan, permainan mereka sangat baik dan menyukarkan kami. Tapi kunci kejayaan kami adalah percaya satu sama lain dan komunikasi yang baik dalam gelanggang, kita tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Ee Wei.

“Mereka beregu utama dunia dan mempunyai kualiti permainan sangat bagus. Tapi kali hari ini, kita tidak terlalu ikutkan perasaan apabila ketinggalan seperti dulu, kita lawan balik dengan mereka,” tambahnya.

Dong Ping merangkul pingat emas di Tokyo 2020 bersama gandingannya ketika itu Wang Yi Lyu, yang mengumumkan persaraan tahun lalu kerana kecederaan.

Sementara itu, Tang Jie berkata mereka tidak mahu terlalu teruja dengan kemenangan hari ini tetapi mahu meneruskan momentum kemenangan mereka di peringkat suku akhir kelak.

“Pada perlawanan hari ini, kita cuba cari bagaimana cara untuk mengatasi kehebatan mereka, dan strategi kita berjalan lancar hingga menang. Kita akan gunakan sehari rehat esok untuk pemulihan dan mempersiapkan diri untuk perlawanan suku akhir nanti,” katanya.

Penganjur Olimpik Paris mohon maaf atas sebarang kelemahan upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024

0

Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 pada 28 Julai berkata pihaknya “amat menyesali” atas sebarang kelemahan yang berlaku semasa upacara pembukaan temasya sukan berprestij tersebut sambil menafikan sebarang niat untuk “tidak menghormati” mana-mana agama selepas menerima aduan daripada kumpulan agama di Perancis dan beberapa negara lain.

Beberapa kumpulan Katolik dan biskop di Perancis telah mengkritik dengan apa yang mereka lihat sebagai “adegan yang mencemuh dan mengejek agama Kristian” dalam persembahan pada 26 Julai yang dikoreografi oleh pengarah kreatif Thomas Jolly.

Gambar CBS

Kontroversi dan kecaman tertumpu kepada persembahan yang melibatkan para penari dan seorang DJ yang seolah-olah memaparkan adegan “The Last Supper”. 

“Jelas sekali tidak ada niat untuk menunjukkan rasa tidak hormat terhadap mana-mana kumpulan agama,” kata jurucakap Sukan Olimpik Paris 2024 Anne Descamps kepada para wartawan dalam kenyataannya.

“Sekiranya terdapat sebarang kesalahan dan kelemahan, kami sudah tentu benar-benar menyesalinya,” tambah beliau.

Gambar CBS

Sementara itu, Thomas Jolly menafikan mengambil inspirasi daripada “The Last Supper” untuk upacara perasmian selama hampir empat jam itu, yang berlangsung dalam hujan lebat di Sungai Seine.

Adegan itu, bertujuan untuk menggalakkan sikap toleransi terhadap identiti seksual dan jantina yang berbeza, yang turut menampilkan pelakon Perancis Philippe Katerine.

“Ideanya adalah untuk mengadakan pesta besar-besaran yang dikaitkan dengan dewa-dewa Olympus,” kata Jolly.

Video rasmi upacara pembukaan Paris 2024 telah pun dipadam dari akaun Olympics kerana menerima terlalu banyak komen negatif.

Memetik Dailymail UK, para pengguna media sosial dilihat berkongsi tangkap skrin yang menunjukkan video tersebut juga telah dipadam di semua akaun media sosial Olympics.

Bukan setakat itu, tayangan persembahan pembukaan itu juga tidak lagi kelihatan di saluran YouTube Olympics meskipun terdapat liputan tentang sukan sebelum dan selepas upacara pembukaan.

Tangkap Skrin YouTube

Ramai yang menyelar gimik pembukaan yang memaparkan persembahan Drag Queen iaitu lelaki berpakain wanita yang kononnya ingin mengetengahkan nilai-nilai Perancis tentang kebebasan, persaudaraan dan kesaksamaan.

Tidak hanya itu, penganut agama Kristian juga turut mengecam penutup persembahan itu yang didakwa mencipta parodi ‘woke’ berhubung lukisan Leonardo da Vinci, “The Last Supper” yang dikaitkan dengan makan malam terakhir Jesus bersama sahabat-sahabatnya.

Malah, ada segelintir individu yang berpendapat video persembahan pembukaan acara terbabit tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

Selain itu, acara pembukaan terbabit juga digelar sebagai yang terburuk pernah diadakan penganjur Olimpik kerana ia berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

Para penonton mendakwa tidak disediakan tempat duduk berbumbung menyebabkan mereka terpaksa berdiri dalam keadaan basah kuyup.

@runews / X

Pembukaan tirai acara itu juga dicemari oleh beberapa kesilapan, termasuk masalah nama negara tersalah umum dan bendera Olimpik yang secara tidak sengaja dinaikkan secara terbalik.

Dalam kenyataan permohonan maaf pada 28 Julai itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut memohon maaf kepada Korea Selatan selepas delegasi mereka dilabelkan sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) dalam siaran langsung semasa acara pembukaan temasya sukan itu di Sungai Seine.

Lelaki tidak dikenali minta izin petik daun kari depan rumah pemilik, tinggalkan dahan hampir tiada apa

0

Kadang kala ada manusia tidak memahami maksud pepatah “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa” dan itulah yang terjadi kepada Vicky.

Dalam hantaran Facebook tularnya, Vicky Liang baru-baru ini berkongsi pertemuan mengejutkan dengan seorang lelaki ‘luar biasa’ yang memetik daun kari yang ditanam di luar rumahnya di Klang. 

Secara kebiasaan, Vicky akan membiarkan jiran-jirannya memetik sendiri tangkai daun kari mengikut keperluan masing-masing selepas mendapat kebenaran dan keizinannya.

Facebook

Bagaimanapun, pada malam 24 Julai, Vicky terkejut melihat lelaki itu memetik sedahan besar daun kari dari pokoknya. Untuk menjelaskan apa yang berlaku, lelaki itu telah meminta kebenaran daripada anak lelaki Vicky sebelum dia memetik daun kari berkenaan, tetapi tidak seorang pun yang menjangka lelaki itu tergamak boleh mengambil sebanyak itu.

Apabila Vicky keluar untuk memeriksa pokok karinya, dia terkejut apabila ia hanya tinggal dahan kosong dengan beberapa tangkai dan helai daun kari sahaja yang tinggal.

“Dia ada keberanian datang memberitahu yang dia meninggalkan saya dengan beberapa batang daun kari di atas pokok itu,” kata Vicky dalam hantarannya.

Vicky kemudian meminta lelaki itu membayar RM10 untuk daun kari yang diambilnya, yang mana lelaki itu meminta diskaun RM5 kerana merasakan harganya terlalu mahal.

“Jika anda fikir bayarannya terlalu banyak, jadi jangan datang ke sini lagi lain kali,” kata Vicky.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Menanam daun kari bukan satu proses yang mudah. Menurut Gardener’s Path, ia boleh mengambil masa sehingga 2 tahun sebelum anda boleh mula menuai daunnya, dan berdasarkan pohon kari tanaman Vicky, nampaknya dia telah menghabiskan masa melebihi 2 tahun untuk mendapatkan hasil sebanyak itu.

Vicky berkata lelaki itu pada mulanya berkeras untuk membayar hanya RM5. Dia akhirnya tidak mempunyai pilihan selain membayar jumlah yang Vicky mahukan.

“Dia hanya ada RM10 bersamanya dan dia meminta saya baki lima ringgitnya. Saya memberitahunya daun kari yang diambil terlalu banyak untuk RM5, jadi saya berkeras dan dia membayar saya RM10.”

Vicky berkata dia merasakan lelaki itu dikenakan bayaran yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Kata Vicky, dia pergi ke pasar pada 25 Julai dan bertanyakan harga daun kari, di mana RM10 untuk sekilogram. Katanya lelaki itu telah dikenakan bayaran yang terlalu sedikit.

Rupa-rupanya ia bukan lawatan kejiranan pertama lelaki itu di kawasan perumahan yang didiami Vicky.

Facebook

Semasa berdepan dengannya, Vicky telah meminta lelaki itu supaya pergi sahaja ke rumah lain untuk memetik daun kari, dan lelaki itu memberitahu dengan penuh jujur, “Oh! maksud kamu ke rumah di hujung jalan tu? Saya telah pergi ke sana hari tu..”

Apabila ditanya sama ada lelaki itu mahu meniaga atau mahu menanam daun kari yang diambilnya, Vicky berkata dia tidak pasti tentang perkara itu.

Biasa juga dalam dunia hari ini, ada orang yang tidak faham pun diri mereka agak keterlaluan atau melampau apabila diberi peluang untuk mengambil kesempatan di atas kebaikan hati orang lain.