Atlet Olimpik Paris mengadu menu yang disediakan kurang protein lantas menggesa pihak penganjur untuk membuat perubahan drastik.
Antara perubahan drastik itu adalah pihak penganjur terpaksa memesan tambahan 700 kilogram telur dan beratus-ratus kilogram daging untuk dimasukkan ke dalam menu.
Isu makanan itu bukan hanya mencetus kemarahan malah terdapat atlet yang menjadikan keadaan itu sebagai penyebab prestasi mereka kurang cemerlang.
Sebelum Olimpik bermula, penganjur dengan bangga mengumumkan bahawa 60 peratus daripada pilihan makanan untuk atlet adalah berasaskan tumbuhan.
Mereka bertindak sedemikian sebagai usaha untuk menjadikan sukan tersebut yang paling “lestari” pernah berlaku dalam sejarah Sukan Olimpik.
Namun pihak penganjur terpaksa akur dengan permintaan atlet yang mahukan lebih banyak daging, tenusu dan telur.
Bekas perenang Olimpik Australia, James Magnussen turut mengkritik menu yang disediakan.
Magnussen beranggapan ia boleh menjadi sebahagian daripada sebab kekurangan rekod dunia di Olimpik Paris.
Menerusi Australian Daily Telegraph, Magnussen berkata, “Kekurangan rekod dunia adalah disebabkan oleh mentaliti mesra alam, jejak karbon dan mengutamakan gaya hidup vegan berbanding prestasi tinggi.”
Tambah Magnussen lagi, penganjur pasti tidak menyangka ramai atlet yang akan memilih makanan berasaskan protein berbanding menu vegan.
Hal ini kerana, sehari sebelum upacara pembukaan penganjur kehabisan makanan berprotein seperti daging dan tenusu.
Lantaran daripada itu, pihak penyedia makanan terpaksa mengira semula dan membawa masuk lebih banyak produk berprotein.
Sementara itu, perenang Australia Ariarne Titmus pula menyalahkan keadaan “tidak masuk akal” di Perkampungan Olimpik.
Titmus mengatakan sedemikian kerana usahanya untuk mencatat rekod dunia dalam acara renang 400 meter gaya bebas pada hari Sabtu tidak tercapai.
“Ia mungkin bukan masa yang saya fikir saya mampu capai, tetapi tinggal di Perkampungan Olimpik menyukarkan usaha untuk mencapai prestasi cemerlang,” Kata Titmus.
MSN berkongsi kisah mengenai bekas pemain kriket Australia, Michael Clarke yang mendakwa bercakap dengan petinju yang tidak berpuas hati dengan hidangan yang diberikan kepadanya.
Menurut Michael, petinju berkenaan hanya boleh makan sejumlah kecil daging sahaja.
Keadaan ini tidak mencapai keperluan dietnya yang memerlukan maksimum dua keping daging kambing panggang.
Selain isu menu vegan, beberapa atlet turut mengadu mengenai tempat tinggal yang tidak mempunyai penyaman udara hingga menyebabkan mereka terpaksa membawanya sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Australia, Matt Carroll berkata, “Kami menghargai konsep tidak mempunyai penyaman udara kerana jejak karbon.”
Namun Matt Carroll menambah bahawa acara tersebut adalah sukan yang berprestasi tinggi dan mereka bukannya datang untuk berkelah.
Selain itu, terdapat atlet mengadu mengenai katil yang keras.
Menerusi video di TikTok, pemain polo air Tilly Kearns berkata, “Beginilah malam pertama di katil kadbod.”
Rakan sepasukan Tilly Kearns, Gabi Palm pula menambah, “Belakang saya hampir tercabut.”
Difahamkan, perabot rasmi ini digunakan sebagai penambahbaikan daripada katil “tiada seks” di Olimpik Tokyo 2021 tetapi nampaknya atlet berpendapat ia tidaklah begitu selesa.
Selain isu makanan kurang protein, keadaan tempat tinggal yang kurang memuaskan hanyalah masalah terbaru yang melanda di Sukan Olimpik Paris.
Unsur-unsur yang dianggap menghina agama menerusi upacara pembukaan telah mendapat kritikan meluas di seluruh dunia.
Sementara keadaan Sungai Seina yang kotor telah menyebabkan acara triatlon terpaksa ditangguhkan selama sehari.
Teruskan mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Paris 2024 yang pasti ada kejutan dan “drama”.