PARIS: Hajat Aaron-Wooi Yik untuk miliki pingat emas tidak kesampaian apabila pasangan beregu lelaki negara itu ditewaskan pasangan dari China.
Pada set pertama, pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah tipis kepada pasangan China Liang Wei Keng dan Wang Chang dengan mata 19-21.
Wakil Malaysia ini bangkit dan meninggalkan pasangan China hingga membolehkan mereka menang dengan mata 21-15 pada set kedua.
Namun selepas bermain selama 26 minit pada set ketiga, pasangan China kembali menguasai perlawanan hingga menewaskan pasangan Malaysia dengan mata 21-17.
Secara keseluruhan, perlawanan selama 72 minit itu bukanlah perjuangan yang sia-sia bagi pasukan negara.
Hal ini kerana pemenang pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tidak beri laluan mudah kepada pihak lawan untuk mencapai kemenangan.
Menerusi temu bual dengan wartawan daripada Astro Arena, Aaron menegaskan bahawa mereka telah memberi yang terbaik dan berjuang habis-habisan.
Sementara Wooi Yik pula berkata, “Match begini sememangnya sengit, kita tidak tahu apa yang akan berlaku.”
“Kami berharap permainan yang seterusnya akan lebih baik,” Tambah Wooi Yik.
Meskipun tewas, Aaron-Wooi Yik masih berpeluang untuk membawa pulang pingat gangsa menerusi pertemuan dengan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen kelak.
Sementara itu, bagi merebut pingat emas pula pasangan China akan menentang pasangan dari Taiwan iaitu Lee Yang dan Wang Chi-Lin.
Mari doakan agar hajat Aaron-Wooi Yik untuk memiliki pingat gangsa tercapai.
Teruskan mengikuti perkembangan pencapaian atlet Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024.