PARIS: Pemain perseorangan wanita badminton Goh Jin Wei akur tewas di tangan pemain ranking ke-17 dunia Kim Ga Eun dalam aksi terakhir Kumpulan H.

Pertemuan sengit antara Jin Wei dan Ga Eun berakhir selepas 65 minit bertarung dengan keputusan akhir memihak kepada Ga Eun.
Pada set pertama Jin Wei kalah kepada Ga Eun dengan mata 17-21. Namun dia bangkit dan berjaya menewaskan Ga Eun dengan mata 22-20 pada set kedua.
Walau bagaimanapun, selepas bermain selama 25 minit dalam set ketiga di Porte de La Chapelle Arena, Jin Wei akur tewas kepada Ga Eun dengan mata akhir 21-23.
Ga Eun dikatakan lebih bijak mengawal tekanan apabila bangkit sehingga berjaya mengikat keputusan 21-21 sebelum memintas Jin Wei dengan lebihan dua mata.

Dengan kekalahan tersebut, maka berakhirlah perjalanan bekas juara remaja dunia itu di Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir.
Memetik laporan yang dikongsi Berita Harian, Jin Wei berkata dia tidak mahu memberi sebarang alasan apabila menyifatkan kekalahan itu adalah berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.
“Memang ada peluang tetapi saya tidak dapat menyudahkannya. Ga Eun mengawal tekanan dengan lebih baik dalam perlawanan hari ini.”
“Saya tidak mahu beri sebarang alasan kerana apa yang berlaku disebabkan kesilapan saya sendiri.”
“Saya akan lihat semula rakaman perlawanan hari ini dan tengok apa lagi yang kurang untuk saya perbaiki,” Kata Jin Wei.
Menurut pemain ranking ke-32 dunia ini, kekalahan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain badminton.
“Saya akan terus berjuang, saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya dalam hidup ini.”
“Saya akan perbaiki kelemahan untuk menghadapi cabaran seterusnya tetapi buat sementara saya mahu berehat dulu,” Kata Jin Wei.
Biarpun gagal membawa pulang sebarang pingat, namun pencapaian layak beraksi di Olimpik Paris merupakan satu pencapaian membanggakan buat Jin Wei.

Hal ini dikatakan demikian kerana Jin Wei pernah mengumumkan persaraan pada September 2021 selepas terpaksa menjalani pembedahan membuang usus perutnya.
Sungguhpun begitu, Jin Wei keluar daripada persaraannya lima bulan dan bergelar pemain profesional.
Pada Olimpik kali ini, Jin Wei berdepan dengan cabaran apabila tidak dapat ditemani jurulatihnya, Nova Armada.
Ini disebabkan oleh kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Jin Wei dibantu Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.
Rekod menunjukkan pencapaian terbaik pemain perseorangn wanita negara di Sukan Olimpik adalah menerusi Datin Wong Mew Choo yang mara ke suku akhir edisi Olimpik Beijing 2008.