PARIS: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terus menampilkan sensasi tersendiri dan perlawanan hebat apabila menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Olimpik Paris 2024 pada Khamis, 1 Ogos.
Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir temasya sukan terbesar dunia itu.

Dalam aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Pearly-Thinaah dengan mudah mengatasi gandingan Korea Selatan yang berada di ranking ke-10 dunia dengan kemenangan 21-12, 21-13.
Tampil penuh bersemangat dengan pengawalan kemas apabila tidak memberi ruang kosong kepada lawan, menyaksikan Pearly-Thinaah meninggalkan lawan dengan jarak cukup selesa 7-1 di set pertama dan mendahului 10 mata di hadapan ketika di kedudukan 19-9 sebelum menamatkan perlawanan 21-12 di set pertama.
Bermula di set kedua, pasangan Korea Selatan mula memberi tentangan untuk cuba membawa aksi di set penentuan apabila saling mengejar mata demi mata sehingga berjaya mengikat mata di kedudukan 8-8.
Namun langkah Pearly-Thinaah mula konsisten selepas itu apabila berjaya menjarakkan kedudukan.
Keadaan sedikit membimbangkan ketika di kedudukan 13-12 apabila Pearly meminta sokongan perubatan akibat mengalami ketegangan di bahagian paha.

Namun dengan ketenangan dan kekal fokus yang dipamerkan Pearly-Thinaah telah berjaya menamatkan perlawanan dengan noktah kemenangan 21-13 di set kedua.
Kini mereka sudah membuktikan tiada yang mustahil boleh diciptakan ketika berada di pentas Olimpik apabila berjaya melepasi halangan ‘kumpulan maut’.
Pearly-Thinaah dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan di pusingan separuh akhir, dalam perjalanan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.