Imej pemain ping pong Olimpik dari Korea Utara dan Korea Selatan mengambil swafoto bersama di podium selepas meraih pingat di Paris menjadi tular di Korea Selatan pada Rabu lalu, dan ia menerima pujian ramai sebagai momen perpaduan rentas sempadan yang jarang berlaku.
Korea Utara negara bersenjata nuklear mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utamanya awal tahun ini dan ketegangan antara kedua-dua negara berada pada satu titik tertinggi dalam beberapa tahun.
Tetapi selepas Korea Selatan memenangi pingat gangsa dan Korea Utara memenangi perak dalam acara beregu campuran di belakang China, atlet Korea Selatan Lim Jong-hoon mengambil inisiatif untuk mengambil gambar kumpulan bersama selepas acara penyampaian pingat selesai.
Ri Jong Sik dan Kim Kum Yong dari Korea Utara, Shin Yu-bin dari Korea Selatan dan pasukan China diwakili pemenang emas Wang Chuqin dan Sun Yingsha semuanya tersenyum gembira ketika berswafoto menggunakan telefon Samsung buatan Korea Selatan milik Lim Jong-hoon.
“Swafoto dengan kedua-dua bendera kebangsaan Korea dan telefon Samsung,” kata akhbar harian JongAng Ilbo yang dibaca secara meluas.
Ia adalah kali pertama Korea Utara berada di podium Olimpik sejak 2016, kerana negara itu tidak menghantar atlet ke Sukan Olimpik Tokyo akibat pandemik COVID-19.
“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka selepas dinobatkan sebagai pemenang pingat Perak,” kata Lim kepada media Korea selepas majlis selesai.
Sementara itu, apabila wartawan bertanya sama ada pasukan Korea Utara merasakan sebarang “persaingan” terhadap rakan atlet dari Korea Selatan, pemain Korea Utara Kim Kum-yong hanya berkata, “Tidak, kami tidak rasa begitu.”
Penyiar Korea Selatan telah berulang kali menyiarkan video swafoto itu, dengan ramai pengulas merenung tentang kepentingan detik perpaduan yang jarang berlaku.
“Inilah semangat sebenar Sukan Olimpik,” kata seorang pengulas.