Seorang lelaki tua menghulurkan wang rekaan untuk membeli mi. Wang dan mi bertukar tangan. Apa sebenarnya yang berlaku antara mereka?
Lelaki tua itu telah mengunjungi kedai mi Li Guose selama tujuh atau lapan tahun.
Pada tahun-tahun awal, kedai mi itu diuruskan oleh bapa Li Guose. Setiap kali lelaki tua itu datang untuk membeli mi, bapa Li Guose akan memberikannya.
Selepas bapanya meninggal dunia, Li Guose mengambil alih kedai mi berkenaan dan meneruskan amalan bapanya.
Biarpun tidak menerima wang yang cukup, Li Guose tetap memberikan mi malah lebih banyak agar lelaki tua itu tidak kelaparan sepanjang hari.
Selama bertahun-tahun tidak kira pada musim sejuk atau panas, lelaki tua itu setia berkunjung ke kedai mi Li Guose.
Entah bila, lelaki tua itu mendapat idea untuk melukis wang “syiling” dengan tangan.
“Saya fikir orang tua itu mungkin mengalami masalah kewangan.” kata Li Guose.
Setiap kali menerima kunjungan lelaki tua itu, Li Guose akan memberikan lebih banyak mi agar lelaki itu tidak kelaparan.
Bagi Li Guose memberi makan kepada orang tua itu bukanlah masalah besar. Malah dia dengan senang hati menerima bayaran pelanggan istimewanya itu.
“Mudah bagi orang muda untuk mencari rezeki berbanding orang tua. Biarkan mereka cukup makan. Golongan muda seperti kamilah yang harus membantu.”
Li Guose amat memahami yang hidup ini tidak mudah.
Semasa kecil, ibunya meninggal dunia akibat sakit. Bapanya pula bekerja siang malam menjual gula-gula kapas. Lantaran itu, Li Guose tinggal bersama datuknya.
Disebabkan keluarganya miskin, dia hanya mampu makan jeruk dengan nasi. Pada usia lapan tahun, Li Guose belajar memasak sendiri.
“Ketika saya masih kecil, jiran saya akan memberi saya pakaian dan makanan.
“Datuk saya memberitahu saya bahawa walaupun kami tidak mempunyai wang, jika seseorang datang untuk meminta makanan, kami mesti memberikan makanan kepadanya,” ucap Li Guose sambil mengenang kembali kata-kata datuknya.
Li Guose amat terkesan dengan perilaku datuk dan ayahnya yang suka membantu orang yang memerlukan pertolongan.
Selama bertahun-tahun, Li Guose membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dengan sedaya upayanya.
Setiap kali menerima kunjungan orang tua yang kurang upaya, Li Guose bukan sahaja akan melebihkan mi dalam pesanan mereka malah tidak mengenakan bayaran yang tinggi.
Li Guose pernah bekerjasama dengan beberapa rakan untuk membantu seorang gadis bersama keluarganya yang susah dari Bandar Fanshan.
Pada Tahun Baru Cina, Li Guose memberikan 1,000 Yuan kepada gadis itu dengan harapan agar gadis tersebut dapat meneruskan persekolahannya.
Berbalik semula kepada kisah wang rekaan lelaki tua itu, mengapa agaknya dia melukis wang?
Rupa-rupanya lelaki itu merupakan seorang gelandangan. Nama dia Zheng Zulong. Lelaki berusia 62 tahun ini tinggal di Kampung Xinhua, Bandar Lingzi.
Difahamkan, Zheng Zulong mengalami kerosakan otak akibat terjatuh ketika remaja hingga menyebabkan dia hilang upaya untuk berfikir.
Selepas kematian ibu, hidup Zheng Zulong bertambah sukar. Dua orang abang dan anak saudara menjaganya sejak itu.
Zheng Zulong membayar mi dengan wang rekaan itu bukanlah disebabkan dia tidak mempunyai wang.
Malah, sejak tahun 2005, kerajaan tempatan memberinya elaun sara hidup dan subsidi hilang upaya berjumlah 1,300 Yuan. Wang tersebut cukup untuk menampung kehidupan asasnya.
“Tetapi kami sudah biasa hidup susah pada masa lalu dan enggan menghabiskan wang,” kata anak saudara Zheng Zulong.
Menurut abang kedua Zheng Zuzhi, mereka sedar adiknya Zheng Zulong akan pulang dengan membawa mi. Namun tidak menyangka adiknya itu menggunakan wang rekaannya sendiri.
Ini kerana, Zheng Zulong hanya belajar di sekolah rendah selama dua tahun dan tidak mempunyai kemahiran melukis. Dia hanya belajar sendiri.
Zheng Zuzhi tidak menyangka ada orang yang baik hati seperti Li Guose yang sanggup membantu adiknya yang kurang upaya itu.
Pejabat Tamadun Daerah Cangnan menyampaikan sijil penghargaan kepada Li Guose kerana sikapnya yang pemurah.
Biro Hal Ehwal Awam Daerah Cangnan menziarahi Zheng Zulong dan melihat sendiri kehidupan keluarga yang susah itu.
Pada 7 Januari 2022, Zheng Zulong mengalami kemalangan. Dia dilanggar sebuah trak besar. Dia meninggal dunia selepas usaha menyelamat gagal.
Li Guose hanya mengetahui kejadian itu pada hari ketiga selepas Zheng Zulong meninggal dunia. Dia berasa sangat sedih atas kehilangan orang yang istimewa itu.
Kisah menyentuh hati antara Li Gouse dan Zheng Zulong sangat memberi inspirasi.
Berapa ramai orang yang sanggup melayan kerenah orang kurang upaya selama bertahun-tahun? (dalam kisah ini ialah pemberian wang palsu oleh Zheng Zulong kepada Li Guose). Dan berapa ramai pula orang sanggup makan di kedai yang sama bertahun-tahun?