SUNGAI PETANI: Remaja tikam pemandu e-hailing ditahan polis pada Isnin selepas pemandu terbabit membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata warga emas tersebut menerima pesanan melalui aplikasi Grab pada pukul 5.43 petang untuk mengambil penumpang di Lorong Taman Keladi.
Ketika dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang iaitu remaja lelaki hendak meminjam wang RM50 daripada pemandu untuk membayar sewa rumah.
Pemandu itu memberitahu jika tiada wang, dia terpaksa menurunkan penumpang terbabit di lokasi berkenaan.
Remaja tersebut enggan dan meminta pemandu membawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar tambang.
Namun, sebaik sahaja tiba di rumah, remaja berkenaan meminta pemandu membawanya semula ke Taman Keladi.
Remaja tersebut memberi bayaran RM18 dan melengahkan pemanduan pemandu dengan membawanya ke beberapa lorong kecil.
Bagaimanapun, pemandu mengatakan dia terpaksa menurunkan remaja itu di lokasi berkenaan dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM9.
Ketika pemandu mahu memulangkan baki wang, remaja berkenaan bertindak agresif dengan cuba menikam dada kiri pemandu.
Malah dia juga mahu merampas wang daripada poket pemandu tersebut.
Mujurlah pemandu itu sempat merampas pisau serta menggigit tangan remaja itu untuk mempertahankan dirinya.
Remaja tersebut terus melarikan diri.
Pemandu e-hailing terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam pergelutan itu.
Dia membuat laporan polis pada pukul 8 malam dan polis berjaya menahan remaja berusia 13 tahun tersebut pada pukul 10 malam.
Polis turut merampas sebilah pisau berhulu hitam berukuran 25 sentimeter yang dibawa oleh remaja terbabit dan ditinggalkan di lokasi kejadian.
Menurut Zaidy, hasil siasatan mendapati remaja terbabit adalah anak sulung daripada empat beradik dan bukannya daripada kalangan keluarga bermasalah.
Tindakan remaja tikam pemandu itu dipercayai berpunca daripada keterlanjuran pemandu memaki remaja yang cuba mengambil semula bayaran tambang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Dalam satu kenyataan lain, anak pemandu e-hailing tersebut mengatakan bahawa bapanya masih lagi terkejut dengan kejadian yang turut tular di media sosial.
Difahamkan warga emas berusia 65 tahun itu tidak mengalami trauma namun hanya mahu berehat dan enggan berjumpa dengan sesiapa.
Dia juga tidak tahu sama ada bapanya mahu meneruskan kerjaya sebagai pemandu e-hailing atau tidak susulan tragedi hitam itu.