27.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024
UtamaBerita UtamaPelosok Sabah teruja meriahkan Kembara Kenali Borneo, Al-Sultan Abdullah terhibur dipanggil ‘Pakcik...

Pelosok Sabah teruja meriahkan Kembara Kenali Borneo, Al-Sultan Abdullah terhibur dipanggil ‘Pakcik Agong’

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terhibur apabila ada kalangan rakyat yang memanggil baginda ‘Pakcik Agong’ dan ‘Abang Agong’ sepanjang Kembara Kenali Borneo di Sabah yang bermula 3 September lalu.

Baginda bertitah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dipanggil ‘Datin Permaisuri’ ketika disapa masyarakat pelbagai etnik di sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo.

“Saya terharu apabila anak muda panggil saya Pakcik Agong, ada juga yang panggil saya Abang Agong, ada juga panggil gong, gong, gong. Sekurang-kurangnya menghiburkan saya.

“Raja Permaisuri Agong dipanggil Datin Permaisuri, ada pujian-pujian kepada isteri saya, ooh cantik sekali, Alhamdulillah,” titah baginda pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam 6 September.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Permaisuri ke majlis itu disambut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda amat gembira dan begitu terharu atas layanan mesra rakyat Sabah sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo di negeri itu.

“Keramahan rakyat yang saya temui di sepanjang perjalanan terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum, Kadazandusun, Bajau, Rungus, Tagahas, Kagayan, Murut, Orang Sungai, Iranun, Kadayan, Bisaya, Cocos, saya begitu terharu.

“Saya nak sebut setiap kaum ini kerana setiap kali mereka menghulur tangan, saya mesti salam kerana saya tak tahu dia golongan mana. Pada saya mereka ini semua sama, bagi saya rakyat Malaysia, rakyat Sabah.

“Ini mustahak kerana niat saya adalah merapatkan dan menyantuni setiap kaum, setiap rakyat. Selagi saya mampu menghulur tangan, saya tetap hulur,” titah baginda.

Kembara berkenaan dinamakan sebagai Kembara Kenali Borneo kerana baginda teringin melihat seluruh pelosok Sabah dan Sarawak selepas hanya melawat Kota Kinabalu dan Kuching pada setiap kali melawat ke kedua-dua negeri sebelum ini.

“Luar dari Kota Kinabalu atau Kuching saya tidak pernah jejak. Jadi saya fikir, umur pun sudah meningkat, saya cuba nak melihat sendiri dengan mata kasar saya bersama keluarga, nak tengok keadaan, nak kenal rakyat Sabah di seluruh pelosok luar Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah, ini sudah saya dapat realisasikan di Sabah mulai 3 September hingga hari ini, saya sudah memandu sendiri kereta sejauh 759 kilometer dan Alhamdulillah, pinggang saya masih kuat lagi,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda akan memberi pandangan berhubung aduan diterima daripada rakyat negeri ini, khususnya usaha mengatasi isu berkaitan jalan raya, bekalan elektrik dan air susulan program Kembara Kenali Borneo.

Al-Sultan Abdullah bertitah sepanjang Kembara Kenali Borneo, baginda ada mendengar pelbagai suara rakyat Sabah terutama yang melibatkan kemajuan negeri, malah berseloroh dengan Raja Permaisuri Agong dalam perjalanan itu supaya menjadi ‘tukang catit’ dengan apa yang disuarakan oleh rakyat negeri itu.

Baginda bertitah, akan memanggil mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyuarakan perkara yang patut disuarakan rakyat Sabah sekembali ke Kuala Lumpur nanti, termasuk aduan penduduk kampung dekat Sungai Liwagu di Ranau berhubung kerosakan jambatan yang menjejaskan perhubungan mereka.

Baginda turut bertitah Sabah memerlukan kestabilan politik dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat bagi memastikan negeri itu bergerak maju.

Seri Paduka Baginda berangkat melakukan perjalanan Kembara Kenali Borneo sejauh 2,154 kilometer dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI