Sebuah firma teknologi dan universiti di Tokyo telah bekerjasama untuk menghasilkan aplikasi yang dilatih ke atas beribu-ribu gambar kucing yang mereka katakan boleh memberitahu anda apabila kucing itu sedang mengalami kesakitan.
Sejak dilancarkan pada bulan lalu, aplikasi dikenali “Cat Pain Detector” telah mengumpul 43,000 pengguna, yang bukan terhad di Jepun tetapi juga di Eropah dan Amerika Selatan, kata Go Sakioka, ketua pemaju Carelogy kepada AFP.

Carelogy bekerjasama dengan Kolej Sains Biosumber Universiti Nihon untuk mengumpulkan 6,000 gambar kucing, di mana mereka mengkaji dan meneliti kedudukan telinga, hidung, misai dan kelopak mata haiwan itu.
Mereka kemudian menggunakan sistem pemarkahan yang direka oleh Universiti Montreal untuk mengukur perbezaan kecil antara kucing yang sihat dan mereka yang mengalami kesakitan akibat penyakit yang sukar dilihat.
Seterusnya, pembangun aplikasi memasukkan maklumat tersebut ke dalam sistem pengesanan AI, yang telah diperhalusi lagi kemahirannya hasil sumbangan kira-kira 600,000 gambar yang dimuat naik oleh pengguna, kata Sakioka.
Kini aplikasi itu “mempunyai tahap ketepatan lebih daripada 90 peratus”, katanya.

“Kami mahu membantu pemilik kucing menilai dengan lebih mudah di rumah sama ada mahu berjumpa doktor haiwan atau tidak,” kata Sakioka.
“Cat Pain Detector” telah digunakan oleh beberapa doktor haiwan di Jepun.
Tetapi “sistem AI masih perlu dibangunkan dengan lebih tepat sebelum ia boleh digunakan sebagai alat piawai,” kata Sakioka memberi amaran.
Pilihan Editor: