Bila kita melihat setiap orang gigih menjalani rutin mencari rezeki demi melengkapkan kehidupan, kita tidak pernah tahu apa dugaan dan cabaran yang mereka lalui di sebalik senyuman.
Seperti nasib yang dilalui penjual nasi lemak muda ini di mana kisahnya menjadi tular ekoran kesungguhannya mencari rezeki untuk dirinya sendiri yang yatim piatu sejak kecil dan membantu ibu saudaranya yang sakit.
Lebih membuat hati jadi sebak apabila mengetahui pemuda ini adalah pesakit jantung berlubang.
FS Channel yang sering membantu peniaga kecil menerusi YouTube dan laman Facebook mereka mendedahkan kisah Udin pemuda berusia 18 tahun, yang terpaksa menjual nasi lemak hasil air tangannya sendiri di gerai jalanan yang terletak di Kuala Kangsar, Perak.
“Saya masak sendiri nasi lemak ini cuma RM1.20 sebungkus. Dulu saya mengikuti kursus memasak semasa di sekolah,” Udin memberitahu FS Channel.
“Inilah Udin, pelajar baru lepas SPM dan juga seorang pesakit jantung berlubang. Yatim piatu sejak kecil dan dibesarkan oleh ibu saudaranya.
Dia tidak dapat bekerja dan terpaksa menjual nasi lemak kerana ingin membantu ibu saudaranya yang baru patah kaki akibat kemalangan,” catat FS Channel.
Mereka bukan sahaja membantu Udin dengan menderma wang kepadanya, malah akhirnya membeli gerai yang selesa untuk Udin menjalankan perniagaannya dengan sempurna bagi menarik perhatian lebih ramai pelanggan yang melalui jalan itu.
“Walaupun keadaan Udin uzur, dia masih bersemangat untuk berniaga. Sanggup bangun seawal jam 3 pagi. Tiada perkataan untuk menggambarkan kegigihan anak muda ini dan kami amat berbangga dengan usaha Udin,” tulis mereka.
“Nampaknya Udin sangat gembira apabila menerima gerai barunya. Saya berharap dengan adanya gerai ini, ia akan memudahkan urusan Udin sekeluarga, dan dia tidak perlu lagi menolak troli dan membawa payung setiap hari. Kami doakan Udin terus kuat,” tambah FS Channel.
Bagi mereka yang berada berdekatan lokasi, sokong perniagaan nasi lemak Udin. Anda boleh menemui Udin berhampiran stesen Petronas di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak pada setiap pagi.
Semoga terus maju jaya dalam perniagaan dan didoakan Udin sekeluarga dengan kesihatan yang baik.
Pilihan Editor: