Satu paparan video oleh seorang wanita yang mendedahkan warga emas wanita yang tinggal bersendirian di dalam rumah usang telah menyentak hati netizen menjadi hiba.
Video perkongsian Nurhidaya Mahmud itu pada mulanya memaparkan beliau membawa pulang seorang nenek, yang menjual kerepek sebagai punca pendapatannya di sekitar bandar Tawau di Sabah.

Apabila tiba di rumah kayunya di Kinabutan Ria, Nurhidaya telah bertanya kepada warga emas itu, “Mak cik tinggal di sini seorang dirikah? Siapa ada lagi di dalam?”
Wanita itu menjawab yang dia tinggal seorang sendiri dan tiada sesiapa di dalam.

Semasa dia membuka pintu ruang tamunya, Nurhidaya terkejut melihat keadaan rumah yang sangat uzur itu sehingga kedengaran suaranya sebak dan terus menangis.
Rakaman video itu menunjukkan bumbung zink rumah telah rosak akibat karat dan lantai simen semuanya telah retak dan pecah, dengan keadaan perabot yang kebanyakannya telah usang.

“Mak cik tinggal sini kah? Tinggal sorang-sorang di sini? Mak cik tidur di mana?” tanya Nurhidaya sambil menangis.
Dalam hantarannya, Nurhidaya menulis yang beliau tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir.

Katanya, beliau berharap sesiapa yang melalui kawasan berkenaan dapat menghulurkan bantuan dan menderma beberapa keperluan asas kepada warga emas itu.
Video meruntun jiwa yang kemudiannya telah mendapat perhatian ribuan netizen dengan ramai yang menyatakan rasa simpati dan bersedia untuk menawarkan bantuan.

Nurhidaya kemudian dalam kemas kininya memberitahu ramai yang telah menghantar mesej kepadanya bertanyakan tentang bagaimana mereka boleh membantu ‘mak cik’ warga emas itu.

“Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus ke Kinabutan Ria berhampiran masjid,” kata Nurhidaya.
Pilihan Editor: