Darsha Nair dinobat Miss Petite Global 2023 pada majlis yang berlangsung dalam suasana gemilang di Genting Highlands, Pahang.
Peserta yang mewakili Malaysia berusia 23 tahun itu bersaing dengan 11 finalis lain dari seluruh dunia untuk memenangi edisi kedua Miss Petite Global pada 13 Mei lalu di Geo Resort & Hotel.
Menurut The Borneo Post, anak kelahiran Selangor itu membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 bersama tajaan lain.
Selain itu, Darsha turut memenangi ‘Darling of the Crowd’, ‘Best in Evening Gown’, ‘Best in Resort Wear’, dan anugerah khas ‘Best in Welcoming Dinner Outfit’.
Seorang lagi peserta Malaysia, Alya Abdul, merangkul naib juara ketiga dalam pertandingan itu.
Graduan pentadbiran perniagaan itu berkata beliau berasa amat gembira kerana tidak menyangka akan memenangi pertandingan ratu cantik berkenaan.
“Ketika dunia memuji kejayaan saya, saya menerima hakikat bahawa kecantikan sebenar bukan sahaja terletak pada penampilan tetapi juga pada kekuatan, seri dan kasih sayang yang terpancar dari dalam,” katanya.
Darsha, yang memenangi pertandingan awal Miss Petite Global Malaysia 2022 pada tahun lalu, berkongsi pertandingan itu meningkatkan keyakinannya kerana dia pernah menjadi seorang introvert dan sangat pemalu.
“Saya percaya pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik sejak memenangi gelaran kebangsaan telah membantu saya menjadi wanita seperti hari ini,” tambahnya.
Menerusi Instagram, Darsha mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan serta peminat setianya atas kasih sayang dan sokongan mereka.
“Kita berjaya Malaysia!! Kita mencipta sejarah!!!” katanya dalam hantaran itu.
Beliau juga mendedahkan bapanya membantunya memilih pakaian mempesonakan yang membantunya memenangi anugerah khas ‘Best in Evening Gown’.
Advokasi Darsha berkisar kepada semangatnya untuk menghapuskan stigma yang menyelubungi kesihatan mental.
“Stigma kesihatan mental berleluasa di Malaysia, malah sehingga hari ini. Kita boleh mengubahnya dan menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk semua,” jelasnya.
Darsha juga ingin memberi inspirasi, memperkasa, dan menjadi suara mewakili mereka yang tidak dapat bersuara.
Tahniah diucapkan kepada Miss Petite Global 2023 Darsha Nair!
Pilihan Editor: