Bila anak-anak mengharapkan kehadiran ibu bapa untuk memberi sokongan dan semangat ketika mereka membuat persembahan di sekolah atau tadika, maka ambillah masa dan peluang itu untuk menjadikan ia satu memori berharga.
Anak-anak pasti amat teruja dan bergembira dengan kehadiran ibu bapa yang datang menyaksikan apa-apa sahaja persembahan yang mereka telah berlatih bersungguh-sungguh dengan pelbagai persiapan di sekolah.

Itulah yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @suealzahraa yang menyaksikan sendiri bagaimana seorang kanak-kanak lelaki bernama Mikael sempat mencari ayahnya dan menyapanya dengan penuh perhatian sebelum membuat ‘show’ istimewanya bersama rakan-rakan.
Dalam video berdurasi 14 saat itu, adik Mikael sempat memerhatikan hadirin yang datang menyaksikan persembahannya “Demi Matahari” di hari graduasi tadika dengan memfokus untuk mencari ayahnya di celah-celah penonton dalam dewan.

Selepas menemui ayahnya, Mikael pun bersorak lega, “Ha tu Ayah!!” kepada rakan di sebelahnya.
Aksi lucunya spontan disambut dengan riuh ketawa para tetamu dan penonton di dewan itu.
Pengacara majlis turut spontan berseloroh memberitahu seisi dewan, “Haaa tu Ayah dia!”

Suasana lucu dalam dewan bertambah gamat dengan hilai ketawa penonton apabila Mikael bergerak comel dengan menari keriangan di hadapan mikrofon, sambil memberitahu dia ternampak adiknya yang bernama Mateen juga bersama ayahnya.
Mikael terus tersenyum tanpa henti dan melambai-lambai ke arah ayahnya. Seronok betul dia pada hari itu apabila ayahnya datang menyaksikan persembahannya bersama rakan-rakan sekelas.

Aksi teruja Mikael dengan wajahnya yang tulen gembira membuatkan kita orang dewasa yang melihat menyedari betapa pentingnya kehadiran ibu bapa dan penjaga memeriahkan hari penting anak-anak.
Jelas anak-anak memerlukan perhatian serta sokongan ibu bapa demi menaikkan semangat mereka untuk melakukan apa sahaja dengan penuh keberanian dan keyakinan. Detik penting yang membolehkan anak-anak mencipta kekuatan dengan potensi diri untuk menjadi insan yang positif dan berjaya.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: