Apabila disebut nama Alif Satar, rata-rata rakyat Malaysia sudahpun mengetahui tentang bakat yang dimilikinya. Baik dari segi nyanyian, lakonan, pengacaraan mahupun dalam bidang perniagaan sekalipun, nama Alif Satar telah lama bersinar dan bakatnya juga telah diakui ramai!
Walaupun begitu, ramai yang masih belum tahu bahawa sebenarnya Alif Satar juga mahir dalam bahasa isyarat, iaitu salah satu medium komunikasi yang dipraktikkan oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk berinteraksi dengan orang lain.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila @johnlemmonn menerusi akaun TikToknya telah memuatnaik video yang menunjukkan situasi di mana seorang peminat Alif Satar, seorang pakcik OKU, menggunakan bahasa isyarat untuk bergambar dengan Alif Satar.
Yang mengejutkan penonton video, Alif Satar dilihat yang pertama menegur pakcik itu dengan menggunakan bahasa isyarat.
Tindakan Alif Satar itu membuatkan pakcik itu berasa terkejut dan teruja sambil membalas teguran Alif Satar kepadanya.
“Alif Satar ini memang manusia yang lain daripada yang lain. Penyanyi, komposer, pemain piano, usahawan, atlet sukan dan rupa-rupanya dia juga fasih dalam bahasa isyarat! Sudah bertahun aku berkawan dengannya, baru (saat ini) aku mengetahui bahawa dia mahir berbahasa isyarat!” tulis @johnlemmonn dalam kirimannya.
Melalui video, dapat dilihat bagaimana Alif Satar bertanyakan nama pakcik itu dan kemudiannya pakcik itu membalasnya dalam bahasa isyarat yang seterusnya membuatkan Alif Satar menyebut nama penuh pakcik itu untuk meminta kepastian.
Tidak cukup dengan itu, Alif Satar sempat bergurau dengan pakcik itu dengan menyatakan bahawa namanya adalah ‘Alif’, sambil menunjukkan isyarat huruf Alif dalam tulisan jawi.
Wajah pakcik itu kelihatan sangat gembira dan teruja ketika bersembang dengan Alif Satar! Mana tidaknya, bukan semua orang benar-benar fasih berbahasa isyarat!
Disebabkan itu, perkongsian video ini telah berjaya meraih tontonan ramai sehingga menjadi tular. Sehingga artikel ini dihasilkan, kiriman oleh @johnlemmonn ini telah mendapat sehingga lebih dari 2 juta tontonan, lebih dari 269,400 sukaan dan 3177 komen daripada warganet yang sangat teruja dan memuji kehebatan pemain industri hiburan yang baru-baru ini melakar nama dalam pentas Anugerah Juara Lagu ke-37.
“Jika orang-orang bisu mengetahui bahawa orang biasa fasih berbahasa isyarat, mereka akan berasa bangga. Mereka akan berasa sangat gembira. Lihatlah wajah pakcik itu menjadi ceria semasa bersembang dengannya”
“Ikon sebenar! (Alif) tidak banyak khabar angin. (Saya) pernah menjalani penggambaran dengan Alif. dia seorang pelakon yang sangat bagus! Makan semeja dengan orang yang biasapun dia akan bertegur sapa seperti sudah kenal 10 tahun lamanya”
“Suka dengan cara Alif Satar. Orangnya sangat merendah diri”
“Dia ini memang serba boleh. Sangat memberi inspirasi”
“Alif ini benar-benar satu dalam sejuta. Berbudi pekerti, personalitinya pula terjaga.”
Bakat Alif Satar tidak dapat disangkal lagi. Nampaknya Alif Satar sememangnya seorang yang serba-boleh, baik dari sekecil-kecil perkara seperti personalitinya, sehinggalah ke bakat-bakat seni yang dimilikinya, boleh dikatakan kejayaan yang ditempa Alif Satar pada hari ini adalah hasil daripada titik peluh dan bakatnya sendiri.
Tidak hairanlah bagaimana kini Alif Satar mempunyai begitu ramai peminat!
Pilihan Editor: