Ramai yang pasti akan bersetuju jika dikatakan bahawa zaman persekolahan adalah salah satu zaman yang sangat dekat dengan diri kita kerana ketika itulah, pelbagai memori indah bersama rakan-rakan terukir, yang boleh membuatkan kita tersenyum apabila terkenangkannya.
Begitu jugalah yang berlaku di sebuah bandar di Indonesia, iaitu Tasikmalaya, apabila seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di bandar itu menerima kejutan yang tidak disangka-sangka daripada rakan-rakan sekelasnya.
@rfirzl_/TikTok
Menerusi perkongsian video oleh @rfirzl_ , video itu pada mulanya menunjukkan rupa kasut salah seorang rakannya yang kelihatan sudah uzur, mempunyai beberapa kesan koyakan dan mungkin sudah terlalu lama digunapakai. Lalu, melihatkan keadaan yang menyedihkan itu, @rfirzl_ dan rakan sekelasnya bernekad untuk mengumpul wang bersama-sama bagi tujuan membelikan kasut yang baharu buat rakannya itu.
@rfirzl_/TikTok
@rfirzl_/TikTok
Dalam salah satu paparan, dapat dilihat bahawa nilai matlamat yang diletakkan untuk membeli kasut sekolah itu adalah sebanyak Rp 217,000 (RM63) dan di bawahnya, terdapat senarai beberapa orang nama yang memberi sumbangan bagi menjayakan misi berkenaan. Nilainya tidak pula ditetapkan, ada antara mereka yang menyumbang antara Rp 2,000 (RM0.50) hingga Rp 50,000 (RM15). Tidak mengapa, janji nilai matlamatnya tetap tercapai!
@rfirzl_/TikTok
Dengan terkumpulnya sumbangan itu, penonton seterusnya dapat melihat saat-saat apabila @rfirzl_ dan rakan-rakannya meletakkan sebuah kotak kasut di bawah meja rakannya yang sangat beruntung itu.
Setelah diketahui tentang hadiah berkenaan, wajah rakannya kelihatan sangat terharu dan tidak henti tersenyum sambil memegang kotak kasut berkenaan, dan dalam masa yang sama rakan-rakannya turut datang meraikan suasana yang meriah itu.
Sejak dimuatnaik, video itu telahpun menerima sebanyak 2.1 juta sukaan dengan kira-kira 41,800 komen daripada warganet yang rata-ratanya sangat terharu dan berterima kasih dengan bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada pelajar yang beruntung itu.
“Sepatutnya pelajar-pelajar sekolah sememangnya begini, saling menyanyangi dan bantu-membantu jika ada yang kesusahan. Semoga semakin ramai pelajar begini”
Nampaknya, selepas ini pelajar ini semakin bersemangatlah untuk hadir ke sekolah dan hubungan sesama rakan sekelasnya pasti akan menjadi lebih akrab!
Tabik hormat!
Pilihan Editor: