Berita gembira untuk semua pencinta kucing di Malaysia! Kini, sebuah Taman Kucing telahpun dirasmikan di Taman Tasik Cyberjaya dan sedang menunggu kunjungan anda.
Tanpa mengenakan sebarang bayaran masuk bagi pengunjung, taman seluas 1,000 kaki persegi yang dibina di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) ini khas untuk memberi perlindungan kepada kucing jalanan di sekitar daerah Sepang dan fasilitinya mampu untuk menampung sehingga 200 ke 300 ekor kucing pada satu masa. Pun begitu, sejak dibuka kepada awam mulai Februari 2023, Taman Kucing ini baru menempatkan sebanyak 31 ekor kucing sahaja. Jumlah itupun sudah begitu banyak dan pengunjung pastinya akan berasa seronok dikelilingi oleh banyak ekor kucing yang comel-comel!
Memetik kenyataan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Abd Hamid Hussain semasa majlis pelancaran taman ini, pihaknya sangat mengalu-alukan penglibatan sektor korporat atau mana-mana pihak yang berbesar hati untuk memberi sumbangan serta bantuan kepada Taman Kucing ini.
Taman yang telah dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor pada Sabtu 18 Mac 2023 ini turut dilengkapi dengan sebuah pejabat, ruang rehat, klinik termasuk unit rawatan rapi, unit pemulihan dan unit rawatan ibu dan anak kucing.
Walau bagaimanapun, pihak MPSepang turut mengumumkan beberapa peringatan sekatan kepada semua pengunjung, antaranya adalah:
- Pengunjung yang mempunyai alahan tidak dibenarkan masuk.
- Pengunjung yang tidak sihat tidak dibenarkan masuk bagi mengelakkan jangkitan kepada kucing-kucing di bawah perlindungan.
- Pengunjung yang mempunyai kucing yang pernah dijangkiti penyakit “saporo” tidak dibenarkan masuk.
Majlis Perbandaran Sepang/Facebook
Disamping itu, dalam satu-satu masa, Taman Kucing ini hanya menerima seramai 20 orang pengunjung sahaja dan masa pembukaannya adalah seperti yang berikut:
Hari : Ahad
Masa : 8.30 pagi – 11.30 pagi
: 4.00 petang – 6.30 petang
Orang ramai juga bagaimanapun diingatkan untuk tidak membuang kucing di kawasan ini bagi mengawal jumlah populasi dan kapasiti taman. Ingat tu ya!
Pilihan Editor: