KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), berkait projek Jana Wibawa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pertuduhan di bawah AMLATFPUAA terhadap pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, 13 Mac 2023.
Azam berkata, mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pada 10 Mac, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk parti Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai sementara 26 Mei sebagai tarikh sebutan kes.
Pilihan Editor: