Angka korban akibat gempa bumi Turkiye telah mencecah lebih 46,000 nyawa dan agak menyedihkan operasi mencari dan menyelamat masih berterusan sehingga hari ini dengan jumlah kematian yang terus meningkat.
Selain korban manusia, banyak haiwan peliharaan turut terperangkap dalam bencana yang dahsyat ini.
Baru-baru ini, video seorang anggota bomba Turkiye telah menjadi tular kerana menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Menerusi video yang disiarkan oleh seorang pegawai dari Ukraine, Anton Gerashchenko di Twitter, dapat dilihat seorang lelaki dengan topi keledar dan cermin mata berbasikal sedang berdiri berdekatan runtuhan bangunan.
Seekor kucing putih bertompok hitam duduk dengan patuh di bahunya sambil dia memegang cawan kertas di tangan kirinya.
Video ini telah mengumpul lebih 10 juta tontonan netizen.
Difahamkan kucing itu terperangkap selama 10 hari di dalam runtuhan bangunan sebelum anggota bomba berkenaan berjaya menyelamatkannya.
Sejak itu, kucing ini enggan berganjak meninggalkan sisi lelaki itu, lapor ABC7.
Anggota bomba berkenaan rupa-rupanya adalah Ali Cakas yang juga jurulatih pasukan berbasikal gunung kebangsaan Turkiye.
Dengan kucing itu yang sentiasa berada di sisinya, Ali membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai haiwan peliharaan dan membawanya pulang bersama ke rumah.
Menerusi catatan Instagramnya, dapat dilihat pasangan itu kini tidak dapat dipisahkan dan kucing itu dinamakan “Enkaz” yang bermaksud ‘runtuhan’ dalam bahasa Turki.
Kisah pertemuan dan jalinan kasih sayang erat tanpa diduga yang amat menyentuh hati. Doa kita sentiasa bersama mereka yang terjejas oleh gempa bumi Turkiye-Syria.
Tonton video di bawah:
Pilihan Editor: