Video tular sekumpulan pelajar terlibat vandalisme dari sebuah sekolah di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang memusnahkan harta benda sekolah, telah mendapat perhatian masyarakat yang rata-rata terkejut dengan tindakan mereka.
Paparan video berdurasi 28 dan 58 saat itu memaparkan pelajar terbabit merobek pelindung papan putih, membaling kerusi, menendang dan memecahkan pintu tandas juga meruntuhkan kipas siling pada hari terakhir di sesi persekolahan 2022.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sedang meneliti perkara ini kerana ia melibatkan aktiviti vandalisme.
JPN Pulau Pinang juga memaklumkan bahawa pihak sekolah telah memanggil pelajar yang terlibat dalam video berkenaan bersama ibu bapa mereka ke sekolah pada 18 Februari untuk membincangkan isu itu.

Pelajar yang terlibat dalam perbuatan vandalisme ini akan menjalani khidmat komuniti sebagai “intervensi sahsiah dan adab” bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berulang lagi.
Nilai kerugian kerosakan harta benda yang musnah di sekolah itu kini masih dalam siasatan.

JPN juga berkata, mereka sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru dan pelajar sentiasa diberi perhatian.
“Justeru, kempen untuk menghentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan,” menurut JPN Pulau Pinang dalam kenyataan itu.
Pilihan Editor: