Seekor oyen yang nakal memutuskan untuk menghadiahkan ‘ketakutan’ kepada pemiliknya apabila menenggekkan dirinya di belebas sebuah pangsapuri sempena Hari Kekasih pada 14 Februari lalu.
Kucing itu yang bernama Fanta, entah bagaimana menemui jalan keluar dari tingkap rumahnya dan merayau ke kawasan seberang yang kelihatan seperti belebas terletak di luar pangsapuri itu.

Oleh kerana pemiliknya @pmqq tidak berjaya memanggil si oyen Fanta untuk kembali masuk ke rumahnya, jadi dia telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas untuk mendapatkan bantuan.
Menurut @pmqq menerusi video TikTok tular dengan lebih 2 juta tontonan yang merakam detik cemas itu, anggota bomba tiba dalam masa 15 minit dan mereka dengan tangkas segera bertindak.

Dalam video itu, dilihat dua anggota bomba bekerjasama dengan mengikat salah seorang rakan sekerja yang lain dengan peralatan khas mereka sebagai langkah keselamatan, dan selepas itu dia melompat keluar ke belebas itu untuk mengambil si oyen yang nakal.

Perlahan-lahan badannya digerakkan bagi membolehkan Fanta tidak melarikan diri secara tiba-tiba, abang bomba akhirnya berjaya menangkapnya dengan pantas di leher dan segera meletakkannya ke dalam bekas pengangkut bagi memastikan keselamatan Fanta.

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Balai Bomba Sri Hartamas dalam hantaran Facebook mereka, dapat dilihat abang bomba hanya mempunyai ruang kecil untuk dipijak dan berdiri dalam misi menyelamatkan Fanta.
Tengoklah muka dia, siap selamba menjenguk-jenguk lagi..

Menjengah di ruangan komen, kebanyakan netizen berkata yang mereka tidak terkejut dengan perangai luar jangka oyen kerana mereka ini memang terkenal sebagai si bulus yang paling nakal.
“Tak oyen la kan kalau tak buat hal..”
“Selalunya oyenlah. Terima kasih abang bomba!!”
“Boleh pula dia buat muka tak bersalah tengok kamera.. Oyen..Oyen..”

Apa-apapun, yang penting Fanta kini selamat dan semakin sihat dengan perangai oyennya yang seperti biasa. Jangan pergi bertenggek ke situ lagi tau.
Pilihan Editor: