Sebelum ini, insiden seekor tapir yang tersesat telah berjaya ditangkap di sebuah hotel di Melaka dan kali ini berlaku di Dungun, Terengganu pula.
Tapir jantan tersesat berkenaan dilihat kelibatnya sedang melakukan ‘jelajah’ Dungun, apabila ia menjadi insiden haiwan liar tersesat yang paling banyak didokumentasikan di bandar itu ekoran beberapa gambar dan videonya heboh tular di media sosial.

Dalam beberapa rakaman video, tapir yang dianggarkan seberat 250 kilogram itu boleh dilihat berkeliaran di sekitar bandar Dungun sebelum akhirnya terjatuh ke dalam parit besar di Kampung Alor Tembesu dan terperangkap di situ.

Terdapat paparan video mengenai tapir itu melarikan diri daripada seorang lelaki yang cuba menangkap dan berusaha menyelamatkannya. Ketika lelaki itu memegang tali yang diikat pada tapir berkenaan, dia malahan terpaksa berlari mengejar haiwan liar itu.

Menurut ADUN Sura YB Wan Hapandi Wan Nik, tapir itu telah dikesan di beberapa lokasi di Dungun sejak pagi 15 Februari.

“Difahamkan, tapir itu telah ‘menjelajah’ seluruh Dungun,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Beliau juga berkata haiwan itu tidak sepatutnya berkeliaran di kawasan penempatan manusia kerana ia dikategorikan sebagai spesies terancam, sambil menambah “perkara akan jadi membahayakan sekiranya dia dilanggar kenderaan.”

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, tapir itu telah ditangkap dan akan dirawat kerana mengalami beberapa kecederaan ringan sebelum dilepaskan ke hutan simpan berhampiran.

“Tapir itu berjaya ditangkap oleh PERHILITAN dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan orang awam,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Pilihan Editor: