New Zealand dikejutkan dengan kejadian gempa bumi berukuran magnitud 6.1 pada 15 Februari selepas bencana Taufan Gabrielle telah mengakibatkan kerosakan besar di seluruh Pulau Utara.

Pusat gempa berlaku kira-kira 7.30 petang waktu tempatan berhampiran bandar Wellington pada kedalaman 48 kilometer dengan pusat gempa terletak kira-kira 50 kilometer daripada bandar Paraparaumu, menurut pusat pemantauan aktiviti seismik kerajaan, Geonet.

Gegaran tersebut diklasifikasikan sebagai “kuat” dengan gempa berlarutan selama 30 saat.

@geonet/Twitter

Namun, tiada amaran tsunami dikeluarkan, juga tiada kerosakan harta benda yang dilaporkan di kawasan terlibat setakat ini.

Lebih 61,000 orang dilaporkan merasai gegaran itu di pulau utara dan selatan.

Mereka menggambarkan gempa bumi tersebut sebagai ‘kuat’ dan ‘menakutkan’.

“Ia seperti kereta api barang melintasi rumah kami. Saya bersama isteri dan dua anak kami kemudian segera berkumpul berdekatan pintu dan menunggu gegaran tersebut reda.

“Rasanya ia berlangsung kira-kira 30 saat. Jantung kami semua berdegup kencang sepanjang waktu itu,” kata salah seorang penduduk kepada New Zealand Herald.

Sebuah pesawat dalam penerbangan dari Auckland juga dilaporkan terpaksa membatalkan pendaratan di Lapangan Terbang Wellington susulan kejadian gempa itu.

Darurat bencana ribut taufan diumumkan sehari sebelum kejadian gempa bumi melanda negara itu.

Kerajaan New Zealand mengisytiharkan darurat peringkat kebangsaan berikutan banjir besar dan kerosakan teruk akibat Taufan Tropika Gabrielle.

Taufan berkenaan telah menyebabkan kerosakan di sepanjang Pulau Utara pada minggu ini yang mengorbankan empat orang.

Manakala, ribuan penduduk di kawasan terjejas telah kehilangan tempat tinggal.

New Zealand terletak di ‘Lingkaran Api Pasifik’ yang aktif secara seismik dan merupakan lengkok gunung berapi aktif sepanjang 40,000 km dan parit lautan yang melingkari sebahagian besar Lautan Pasifik.

Pada 2011, kejadian gempa bumi yang berlaku di Christchurch, yang terletak di Pulau Selatan telah meragut kira-kira 185 nyawa dan memusnahkan ribuan rumah.

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini