Kemahiran bercakap bagi setiap anak-anak adalah berbeza-beza. Oleh yang demikian, sekiranya anak kecil terkini anda lambat bercakap berbanding anak-anak terdahulu, mungkin itu bukanlah sesuatu yang perlu anda bimbangkan. Apa yang perlu dan boleh ibu bapa lakukan untuk elak anak lambat bercakap ialah dengan mengikuti 7 tips ini.
1. Membaca bersama-sama
- Antara cara untuk menggalakkan perkembangan anak-anak sejak bayi ialah membaca bersama-sama mereka.
- Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2016 mendapati bahawa bayi yang dibacakan buku bergambar mempunyai lebih banyak perbendaharaan kata berbanding bayi yang hanya mendengar percakapan orang dewasa.
- Kajian pada tahun 2019 pula mendapati pada ketika anak-anak memasuki tadika, mereka telah terdedah kepada lebih 1.4 juta perkataan walaupun dibacakan sehari sebuah buku, berbanding anak-anak yang tidak dibacakan apa-apa langsung sejak bayi.
2. Gunakan bahasa isyarat dalam perbualan
- Untuk mengajar anak-anak bahasa isyarat, ibu bapa tidak perlu mahir dalam menguasai bahasa isyarat tersebut.
- Antara bahasa isyarat yang boleh diajarkan kepada anak-anak ialah ‘nak lagi’, ‘dah habis’, ‘nak susu’, ‘nak makan’, ‘nak buang air’ dan lain-lain.
- Tunjukkan isyarat sambil menyebut perkataan dengan betul. Contohnya, goyangkan tangan sebagai isyarat sesuatu sudah habis sambil katakan pada anak “dah habis”. Lakukan secara berulang-ulang supaya anak akan ingat isyarat dan perkataan tersebut.
- Penggunaan bahasa isyarat juga membantu anak-anak bercakap dengan lebih yakin dan kurang tertekan. Ini kerana, melalui isyarat mereka dapat meluahkan perasaan mereka tanpa perlu berkata-kata.
3. Tidak menggunakan ‘bahasa bayi’ ketika berbual
- Bagi sesetengah orang, mereka berpendapat bahawa ‘bahasa bayi’ itu ‘comel’. Namun tahukah anda kekerapan menggunakan ‘bahasa bayi’ boleh menjejaskan percakapan bayi?
- Apa yang perlu anda lakukan ialah jangan betulkan sebutan mereka (yang menggunakan ‘bahasa bayi’). Sebaliknya, anda lah yang perlu membalas percakapan mereka dengan menggunakan perkataan dan sebutan yang betul. Dengan cara ini, lama-kelamaan mereka akan sedar yang mana satu perkataan atau sebutan yang betul.
4. Kenalkan dan ajarkan anak kecil nama-nama barang
- Sesetengah kanak-kanak hanya menunjuk barang yang dia mahukan tanpa memintanya. Apa yang boleh anda lakukan ialah memberikan barang yang diminta dengan menyebut nama barang tersebut.
5. Tidak mengehadkan perbualan dengan bayi
- Contohnya jika anak anda nampak kambing dan cakap “kambing,” anda bolehlah panjangkan perbualan tersebut dengan mengatakan, “Ya, itu kambing hitam yang gemuk.”
- Anda boleh juga gunakan teknik yang sama apabila anak anda tertinggal perkataan yang hendak diucapkan. Contohnya, “kambing gemuk”, anda katakan “Kambing itu gemuk.”
6. Berikan pilihan kepada anak anda
- Galakkan perbualan dengan memberikan pilihan kepada anak anda.
- Contohnya, anda ada dua cawan jus dan mahu anak anda memilih sama ada jus epal atau jus oren. Jadi anda tanya anak anda, “Awak nak jus oren atau jus epal?” Jika anak anda hanya menunjuk, galakkan dia untuk bercakap menggunakan perkataan yang betul.
7. Hadkan penggunaan skrin
- Satu kajian pada tahun 2018, menunjukkan pertambahan masa penggunaan skrin gajet menyebabkan bayi berusia 18 bulan lewat bercakap.
- Pakar mendapati bayi yang tidak didedahkan dengan gajet pada awal usianya mengalami perkembangan yang lebih baik.
- Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), masa skrin yang disarankan untuk kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun ialah tidak melebihi satu jam sehari.
Pilihan Editor: