Seorang wanita merekodkan penghantaran makanan paling jauh apabila dia mengambil tugasan menghantar makanan dari Singapura ke Antartika. Merentasi empat benua dengan perjalanan lebih 30,000 kilometer, kesanggupan Maanasa Gopal memenuhi pesanan pelanggan tersebut dikagumi orang ramai.

Maanasa berkongsi video di Instagram miliknya yang memaparkan pengalamannya menghantar makanan dari Singapura ke Antartika. Dia menulis kapsyen “Hari ini, saya ada penghantaran makanan istimewa dari Singapura ke Antartika! Seronoknya. Impian tercapai. Bukannya setiap hari anda berpeluang merentas lebih 30,000 kilometer dan empat benua hanya untuk menghantar makanan.”
Sejak video itu dikongsi, ia mendapat hampir 40,000 tontonan dan ramai warga siber meninggalkankan komen memuji wanita itu. Bukan hanya di Singapura, malah seluruh pelosok dunia memberi perhatian kepada berita tersebut.
Maanasa memulakan perjalanan dengan menaiki kapal terbang dari Singapura ke Hamburg, Jerman. Kemudian dia menyambung perjalanan dari Buenos Aires, ibu negara Argentina sebelum ke Ushuaia dan seterusnya ke Antartika.

Dalam satu video kelihatan Maanasa berjalan melalui padang, laluan berlumpur, hutan dan menyeberangi laut dengan bot. Selepas melalui perjalanan yang panjang, Maanasa akhirnya sampai di destinasi dan berjaya menghantar makanan kepada pelanggannya.
Maanasa mungkin wanita pertama yang menghantar makanan dari Singapura ke Antartika dan berjaya melengkapkan misi penghantaran makanan terjauh dunia. Dan apa yang dilakukan oleh Maanasa itu memang mengagumkan.
Untuk makluman, Maanasa sebenarnya merupakan antara aktivis yang terpilih untuk membuat kajian mengenai perubahan iklim dunia. Pada tahun 2021, dia cuba mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan ekspedisinya ke Antartika. Dia mahu sebuah jenama menaja pengembaraannya itu dan memilih FoodPanda sebagai penajanya. Maanasa mencuba nasib dengan menghantar emel kepada FoodPanda dan menjelaskan mengenai ekspedisinya. Selepas menghantar emel, Maanasa meneruskan kehidupannya tanpa meletakkan harapan tinggi terhadap FoodPanda.
Impian Maanasa untuk ke Antartika semakin menjadi nyata apabila FoodPanda membalas emelnya sebulan kemudian. Pihak berkenaan mahu berbincang lebih lanjut mengenai permintaan itu dan akhirnya mereka bersetuju untuk menaja ekspedisi Maanasa.
Menurut Maanasa sepanjang perjalanan ke Antartika, dia mengalami pelbagai cabaran sehinggakan pada satu tahap dia mahu berputus asa dan menghentikan ekspedisi tersebut. Namun atas sokongan yang diberikan oleh keluarganya, Maanasa meneruskan perjalanannya. Kata ibunya, “ambil risiko lebih baik daripada menyesal.”
Akhirnya pada 07 April 2022, Maanasa berjaya mendarat di Antartika. Maanasa begitu teruja dan bersyukur akhirnya dia tiba juga di destinasi yang ingin dituju.

Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai perjalanan Maanasa ke Antartika menerusi laman sesawang ini yang ditulis oleh Maanasa sendiri.
Pilihan Editor: