Boleh bayangkan bagaimana perasaan seseorang itu jika ikan peliharaan kesayangannya yang bernilai ribuan ringgit telah dimasak oleh ahli keluarga sendiri. Hendak marah tetapi tidak boleh marah.
Itulah perasaan yang terpaksa dihadapi Nizam Nabahan dari Sumatera Utara, Indonesia apabila mendapat tahu ahli keluarganya telah menggoreng ikan Arowana peliharaannya yang berharga RM4,000 (15 juta rupiah).
Alkisah bermula apabila Nizam menyedari ikan kesayangannya Arowana jenis super red short telah hilang dari akuariumnya.
Pada mulanya, Nizam menyangka ikan itu telah melompat keluar dari akuarium lantas segera mencarinya.
“Saya berada di tingkat atas, sedang melakukan beberapa kerja memasang peralatan di siling. Apabila saya turun ke bawah, saya melihat akuarium itu kosong jadi saya memberitahu isteri saya yang ikan itu telah melarikan diri tetapi saya tidak tahu di mana ia berada,” Kompas.com memetik kata Nizam.
Tidak lama kemudian, dua orang anak Nizam yang masih bersekolah rendah masuk dengan membawa sepinggan ikan.
Nizam melihat seekor ikan terbaring tidak bernyawa di atas pinggan plastik yang dipegang oleh anaknya adalah ikan Arowana yang hilang itu. Bapa ini terpegun dan terus terduduk tanpa mengeluarkan kata-kata.
“Saya mahu marah, kemudian saya teringat sesuatu yang berlaku semalam,” kata Nizam.
“Anak-anak sebenarnya makan ikan Arowana yang digoreng semalam dan berkata mereka mahu makan lagi kerana ia memang sedap. Jadi saya fikir, mereka mungkin memutuskan untuk menangkapnya dan memasaknya sendiri hari ini,” jelas Nizam.
Nizam kemudian memutuskan untuk memberitahu isteri dan anak-anaknya bahawa harga ikan itu ialah RM1,400 dan bukannya RM4,000 supaya keluarganya tidak berasa bersalah kerana memasak ikan itu.
“Sebenarnya ada dua lagi ekor ikan di situ, tetapi kenapa mereka tidak ambil yang itu?” kata Nizam.
“Mungkin niat mereka baik kerana hanya mahu mengambil yang kecil. Tapi yang kecil itulah yang paling mahal,” kata Nizam sambil ketawa.
Pilihan Editor: