Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi tumpuan pelbagai organisasi swasta yang menawarkan jawatan kepada beliau selepas dipecat keahlian oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Terbaharu, bekas Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu dilamar oleh sebuah stesen radio swasta, Hot FM.
Menerusi surat terbuka Hot FM yang dimuat naik di media sosial, Khairy ditawarkan menjadi penyampai radio bersama Johan, Farah Fauzana serta AG Azmeer dalam segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat.
Hot FM memaklumkan, pihaknya ingin menawarkan jawatan kepada bekas Menteri Kesihatan itu sebagai penyampai radio yang akan bertugas pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.
“Salam Tuan Khairy Jamaluddin, apa kata cuba bidang baru sebagai penyampai di Hot FM bersama Johan, Fafau (Farah Fauzana) dan AG di Bekpes Hot? On ke tak on?,” hantaran Hot FM di ruangan kapsyen Instagram, Facebook dan Twitter.
Stesen radio itu berkata pihak mereka sentiasa mengalu-alukan penyampai baharu dan percaya bahawa gandingan itu akan menjadi “hangat dan terbaik”.
Sebelum ini, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’azim (JDT) FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pantas ‘melamar’ bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah memuat naik gambar beliau bersama Khairy di media sosial dengan kapsyen, “Ketua Pegawai Eksekutif JDTFC dan penasihat belia Johor di masa depan.”
Khairy kemudian menyiarkan semula gambar itu di Instagram dengan jawapan ringkas, “Satu pintu ditutup, yang lain akan terbuka. Rezeki di tangan Allah.”
Umno memecat keahlian Khairy dengan alasan beliau telah melanggar perlembagaan parti ketika berkempen pada PRU15 lalu.
Khairy yang bertanding di kerusi Sungai Buloh pada PRU15, namun tewas kepada Datuk R. Ramanan dari PKR.
Pilihan Editor: