Terdapat pelbagai cara untuk menghilangkan kerak botol susu. Namun, rupa-rupanya tanpa menggunakan bahan berkimia, botol susu dapat dibersihkan. Jom lihat cara hilangkan kerak botol susu dengan tiga bahan sahaja yang dikongsikan oleh Fitriah Azman di Facebook.

Menurut Fitriah, botol susu anaknya sering hilang. Namun tidak lama kemudian dia menjumpai semula botol susu tersebut. Tetapi kerak susu sudah tebal di dinding botol susu. Hendak dibuang sayang kerana menurut Fitriah, dia baru sahaja membeli botol susu tersebut.
Lalu Fitriah cuba untuk menghilangkan kerak botol susu dengan tiga bahan sahaja.
Bahan-bahan:
- Beras.
- Garam.
- Air panas.

Cara-caranya ialah:
- Masukkan beras ke dalam botol.
- Campurkan air panas ke dalam botol yang berisi beras itu.
- Tutup botol dengan penutupnya.
- Goncangkan botol tersebut. Kerak-kerak susu akan mula terpisah daripada dinding botol susu.
- Teruskan menggoncang botol susu tersebut sehingga semua kerak susu tertanggal.
- Bilas botol susu dengan air bersih.

Menurut Fitriah, selepas itu, ulang langkah yang sama dengan menggunakan garam pula. Untuk mendapatkan kesan yang lebih cepat, dia menggunakan berus botol susu dan menggosoknya pada dinding botol susu.

Bagi puting botol susu pula, Fitriah memberitahu dia memasukkan beras dan sedikit air panas ke dalam puting. Kemudian dia menggeserkan permukaan puting tersebut pada beras.

Fitriah walau bagaimanapun tidak menolak penggunaan sabun pencuci untuk membersihkan botol susu. Dia malah mengingatkan untuk membilas botol susu dengan lebih teliti sekiranya menggunakan sabun pencuci agar anak tidak mudah sakit perut.
Panduan ini memang menarik kerana bukan sahaja bahannya mudah didapati malah caranya juga mudah. Yang lebih penting ialah, cara hilangkan kerak botol susu dengan tiga bahan itu berkesan.
Selamat mencuba!
Pilihan Editor: