NEW DELHI: Angka kematian akibat runtuhan jambatan gantung di negeri Gujarat, India meningkat kepada 141 orang.
Beratus-ratus pengunjung menggunakan jambatan gantung yang dibina ketika era pemerintahan British di Sungai Machchhu di bandar Morbi itu sebelum ia tiba-tiba runtuh.
Pegawai kanan bomba daerah Morbi, Devendrasinh Jadeja memberitahu agensi Anadolu, operasi menyelamat diteruskan semalaman dan angka kematian mencecah 141 orang setakat pagi Isnin, 31 Oktober.

“Operasi menyelamat masih diteruskan,” katanya.
Jambatan pejalan kaki sepanjang 232 meter itu merupakan sebuah lokasi popular yang baru dibuka semula pada minggu lalu selepas ditutup selama tujuh bulan untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Pada awal pagi Isnin, Menteri Dalam Negeri Gujarat, Harsh Sanghavi berkata 132 orang telah disahkan meninggal dunia dan pasukan pegawai peringkat tinggi sedang menyiasat punca kejadian.
NDTV melaporkan semasa runtuhan, terdapat kira-kira 400 hingga 500 orang yang berada di atas jambatan gantung itu.

Mangsa termasuk kanak-kanak yang sedang bersiar-siar bersama keluarga. Ramai mangsa dilaporkan masih hilang.
Pentadbiran tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri telah memberi arahan untuk menyegerakan operasi menyelamat dengan bantuan tentera India.

Perdana Menteri India Narendra Modi pada hari Ahad, 30 Oktober berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Menteri Gujarat mengenai insiden itu.
“Perdana Menteri meminta pasukan bantuan digerakkan segera untuk operasi menyelamat. Beliau meminta agar keadaan itu dipantau dengan teliti dan berterusan, dan menghulurkan semua bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas,” kata jurucakap Modi di Twitter.
Pilihan Editor: