Jika seseorang ingin berbuat baik tidak perlu banyak bersusah, hanya lakukan perkara kecil dengan memberikan sedikit pertolongan, mungkin seseorang yang lain boleh mengukir senyuman sepanjang hari.
Baru-baru ini seorang lelaki berkongsi pengalaman manis ketika berada di kafe Starbucks cawangan berdekatan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur dan dia menzahirkan rasa gembira dan terharu berurusan dengan salah seorang pekerjanya.

Menerusi satu video TikTok oleh pengguna@angahazie888, ketika berada di situ, dia telah meminta sedikit air panas daripada pekerja Starbucks berkenaan kerana mahu membancuh susu anaknya.
Apa yang membuatkan bapa ini terharu ialah pekerja itu bukan sahaja mengisi air panas mengikut sukatan yang sepatutnya, tetapi turut membasuhkan botol susu anaknya dengan bersih.

“Terima kasih kat brother ni. Minta air panas sikit nak buat susu anak, siap basuh sekali. Ikut letak line air lagi,” kapsyen video itu.
Rakaman video berdurasi 35 saat itu memaparkan pekerja terbabit sedang membasuh botol susu di singki kafe itu sebelum mengisi air panas dengan teliti.

Tindakannya itu kemudian menjadi tular dan mendapat perhatian warganet yang rata-rata memuji kebaikan pekerja itu yang dianggap membantu memudahkan urusan orang lain.

Malahan, ada antara mereka yang mendoakan pemuda itu memperolehi ganjaran pahala dan dinaikkan gaji hasil kerajinan dan keikhlasan dalam pekerjaannya.
Apa-apa pun, memang tidak rugi apa-apa kalau kita sentiasa berbuat baik dan saling bantu membantu di mana sahaja.
Pilihan Editor: