Kemarau teruk yang melanda akibat cuaca panas melampau ketika musim panas di Amerika Syarikat telah mengakibatkan penemuan jejak tapak kaki dinosaur berusia 113 tahun.
Bekas jejak dinosaur itu ditemui di sungai yang terletak di Taman Lembah Dinosaur Negeri yang berada di Texas.
Jejak tapak kaki dinosaur tersebut ditemui pada Ogos lalu di permukaan dasar sungai yang telah mengering akibat kemarau.

Gambar dalam hantaran di Facebook menunjukkan kesan tapak kaki dinosaur menuju ke dasar sungai yang dibarisi pokok kering di negeri Texas yang terletak di selatan Amerika Syarikat.
Kesan tapak kaki tersebut dikatakan merupakan kesan tapak kaki spesies dinosaur ‘Acrocanthosaurus’ yang tidak pernah dilihat sejak tahun 2000 kerana ia berada di bawah paras air sungai dan beberapa lapisan sedimen, yang menyebabkan ia tertimbus dan tidak kelihatan.
Acrocanthosaurus itu dilaporkan memiliki berat lebih kurang 6,350 kilogram atau 7 tan dan 15 kaki atau 4.5 meter tinggi.

Pegawai di Jabatan Taman dan Hidupan Liar Texas, Stephanie Salinas berkata jejak Acrocanthosaurus tersebut berkemungkinan adalah jejak tapak kaki terpanjang yang ditinggalkan oleh seekor dinosaur di Amerika Utara.
Dikenali sebagai ‘Laluan Jejak Lone Ranger’, dianggarkan terdapat 140 kesan tapak kaki dinosaur tersebut yang ditemui di lokasi tetapi hanya 60 sahaja yang dapat dilihat.

Walau bagaimanapun, selepas musim kemarau berakhir, jejak dinosaur ini akan lenyap semula selepas hujan turun dengan paras air sungai itu beransur-ansur naik dan pulih.
Cuaca panas melampau yang melanda Amerika Syarikat juga telah mendedahkan penemuan beberapa mayat manusia di kawasan takungan air terbesar Amerika Syarikat iaitu Tasik Mead di Nevada yang mengering.
Pilihan Editor: